Friday 28 December 2007

Year End Goodbye

Hujung tahun ..

Rasanya sesuai untuk letak noktah pada blog ini, kerana nanti tugasan akan lebih banyak dan komitmen juga bakal bertambah.

Farewell.. terima kasih pada yang singgah dan meninggalkan komen.

Maaf kalau ada silap dan salah

Kalau ada jarum yang patah....

Kalau ada sumur di ladang...

Sekian...

Thursday 13 December 2007

Cuti-cuti Malaysia



Hujung tahun: sibuk dengan kerja-kerja pentadbiran sehingga saya merasakan saya telah banyak ketinggalan dalam kerja-kerja klinikal. Mujurlah anggota kerja di sini yang berumur lebih 35 tahun harus menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan, jikalau tidak saya seumpama doktor yang menggantung stetoskopnya bukan di atas bahu tetapi pada penyangkut baju. Oh ye! dan sesiapa yang bekerja dengan sektor awam ini tentu tahu tentang "Year End Shopping (YES) bukan Year End Sale, kerana kesibukan 'menyelesaikan' bajet kewangan yang tiba-tiba muncul tanpa disangka. Dan saya juga tidak ketinggalan memeriahkannya :)


Dalam kesibukan saya terpaksa juga mengambil cuti-cuti Malaysia. Itqan telah selamat berkhatan pada 2 Disember lalu, dan saya hanya dapat menjaganya selama 3 hari kerana kekangan kerja. Selebihnya, Itqan dijaga oleh To' Ibu. ALhamdulillah tidaklah teruk sangat, walaupun kadang-kadang dia berkeras tidak mahu mandi ataupun jenuh mengingatkan jika Itqan suka-suka sahaja memanjat ke sana sini dengan memakai kain! Selebihnya hanya memastikan dia mahu makan ubat. Hari kelima Itqan sudah memakai seluar seperti biasa dan naik basikal pada hari ketujuh. Walaubagaimanapun, saya tidak dapat merakamkan detik-detik cemas itu, kerana Itqan tidak cemas langsung menghadapinya. Gambar Itqan memakai kain klasik juga tidak ada kerana sekian lamanya, hajat saya hendak membeli coolpix masih lagi tidak kesampaian.... D'oh!


Kelmarin cuti di Selangor, kami anak beranak (kecuali MOH kerana beliau bekerja bukan di Selangor), berjalan ke Aquaria. "Seronok tengok fish" kata Rujhan. Semenjak anak-anak bercuti sekolah, saya belum sempat membawa mereka "makan angin" sehinggalah hari itu. Rujhan tentu paling bosan kerana selain perlu ditinggalkan ketika saya bekerja, banyak tumpuan saya berikan kepada Itqan yang telah dibedah kecil. Rengekannya sahaja sudah menandakan Rujhan mahukan perhatian daripada umminya yang perlu melakukan terlalu banyak kerja pada satu-satu masa. Jadi, naik "kapaltapi" dan tengok fish memang menggembirakan Rujhan.


Oh ye dan saya perlu menduduki peperiksaan minggu depan, padahal buku rujukan baru saya baca hanya pada tajuknya! Sedangkan sebelum itu semasa menjaga Itqan di kampung, saya sempat menghabiskan 4 buah novel (uhu) dan kemudiannya setelah pulang ke sini, menyelesaikan A Thousand Splendid Suns oleh Khaled Hosseini: Hadiah dari MOH dalam masa 1 hari :)

MOH mencadangkan saya mengambil cuti sehari sebelum itu supaya saya dapat menelaah dengan baik untuk peperiksaan. Walhal, saya sudah mengintai-intai The Kite Runner: hasil tulisan pengarang yang sama. Saya kira harus berkorban dulu dan menghabiskan bacaan untuk peperiksaan terlebih dahulu.


Doakan saya...

Saturday 24 November 2007

Apa Bikin?


Akhirnya... MOH dan saya sempat mengemas rumah hari ini. Terutamanya kotak-kotak yang tak pernah dapat saya sentuh secara serius (kecuali bila nak cari barang) sejak kami berpindah ke rumah tersebut. Kenapa sekarang dan tidak dulu? Oh mudah saja, nanti selepas sebulan berpantang di rumah To' Ibu, saya mungkin perlu selesakan diri di bilik tingkat bawah sahaja. (Err tapi TV di tingkat atas...) Dan seperti yang saya jangkakan, memang banyak 'khazanah' yang tidak berguna daripada yang boleh diguna, maka tong Ro yang tidak jauh dari taman kami menjadi sasaran.

Oh ya, dan Rabu lepas, saya berjaya memujuk MOH untuk menemankan saya membeli barang keperluan bayi. MOH masih lagi sempat bertanya: "Bukan lambat lagi ke?", saya jawab: " Nanti saya dah tak larat." Rasa lama sungguh tak bershopping barangan bayi sampai saya lupa berapa pasang baju yang harus dibeli dan apa lagi yang harus saya sediakan. Walaupun meluncur laman web bayi, ianya tidak banyak membantu saya.

Apabila orang sekeliling bertanya, bila lahirnya? Dengan jawapan saya, ramai yang mengatakan tidak lama lagi. Dan mungkin kerana itu saya sibuk-sibuk membeli barang untuk bayi ini....

Dan saya rasa, kali ini banyak pulalah saya membeli baju-bajunya...alahai!

Tuesday 20 November 2007

Lebih dari Sekadar Sawang...

Salam...

Bulan ini adalah bulan paling tidak produktif dari segi entri. Mungkin kerana mood cuti masih terasa, tapi saya kira bukan itu bahkan (perkataan kegemaran MOH) lebih kepada memilih untuk tidak menulis.

Saya telah menghadiri beberapa perjumpaan alumni secara rasmi atau tidak rasmi, sama ada kerana saya salah seorang ahli, atau kerana saya dan MOH dijemput menghadirinya. Salah satu daripadanya ialah Majlis Sirih Pulang ke Gagang SMAS (MAsPuGaS).



Majlis yang ringkas tetapi berjaya menemukan saya dengan beberapa kawan sekolah menengah rendah ( Tingkatan 1-3, batch 89-91). Ada yang saya tidak temui sejak tahun 91, iaitu kira-kira 16 tahun lepas. Seronok dapat berjumpa semula, walaupun tidak ramai tetapi meriah. Mungkin kami akan bertemu lebih kerap lagi selepas ini, siapa tahu?
Foto: Terima kasih Sofu :)


Tuesday 30 October 2007

More Old Ties Rekindled

I managed to catch up with few ol' friends' blogs via ol' friend's blog. Knowing what state they r right now and news and updates are kind of interesting. Perhaps I should gather them under ONE section. Happy reading.

Monday 29 October 2007

Sawang di Sesawang




Salam takzim.


Hari ini 17 Syawal, maka saya kira belum terlambat bagi saya mengucapkan Salam Eid Fitr. Maaf atas silap dan salah, pada perkara-perkara di waktu ini atau yang telah berlalu.


Maaf juga kepada pembaca yang menjenguk jika ada bahan berita terbaru di sini. Malangnya tiada, sehingga Teh menulis di dalam teks ringkas " Bersawang blog kita...". Balas saya - " Memang saya biarkan ia bersawang seketika buat memberi laluan pada beberapa perkara penting yang perlu diselesaikan kerana masa yang terhad".


* * * * *


Sebagaimana sambutan eid yang lalu, kami menerima banyak undangan rumah terbuka. Seingat saya, hanya empat majlis sahaja yang dapat kami pergi - 2 di tempat kerja kami dan 2 oleh alumni Jordan MOH dan alumni Australia.


Tahun ini mengajar kami untuk lebih bersederhana dalam menyambut Eid.


Tahun ini, mengingatkan kami kemenangan sebenar adalah di akhirat sana.


Oleh itu, kami perlu terus berusaha mencapai kemenangan itu - selagi hayat dikandung badan.


" The likeness of those who take Aulia' (protectors and helpers) other than Allah is as the likeness of spider, who builds (for itself a house), but verily, the frailest (weakest) of houses is the spider's house; - if they but knew. And these similitudes We put forward for mankind, but none will understand them except those who have knowledge."


Al-ankabuut (29:42-43)



Photo: Thanks to commons.wikimedia.org

Monday 8 October 2007

Belasungkawa

Hari-hari akhir Ramadhan, menyaksikan pelajaran paling besar buat saya secara peribadi. Jika membaca entri saya yang lalu, topik ajal dan maut telah menjadi semacam tema buat Ramadhan kali ini.

Janji Allah adalah benar. Rupanya dalam memikirkan tentang kematian, pelajaran paling hampir dari Allah buat saya, dan ahli keluarga yang lain adalah dengan kembalinya adik ipar saya ke rahmatullah pada 23 Ramadhan yang lalu. Beliau meninggalkan suami dan 2 orang anak-anak yang masih kecil.

Sesungguhnya ajal itu pasti, dan tidak akan dapat dilambatkan atau dipercepatkan walau sesaat pun.

Al-fatihah buat Allahyarhamah Aini Amirah bt. Mahmud.

Monday 24 September 2007

Pertemuan yang Mengundang :~(


Sah! Memang itulah raut anak yang tidak pernah saya lihat dengan mata sendiri (kecuali di sini). Di sana dia berdiri, menanti seorang wanita separuh abad (mungkin neneknya) menyarungkan sepasang baju melayu warna gangsa yang sangat molek jahitannya. Sambil disarungkan seluar, dia memandang tepat ke arah saya. Pandangan kami bertentangan, namun tiada siapa di antara kami yang mengalihkan renungan. Saya terpaku. Masakan anak ini mengerti bahawa saya pernah mengenali ibunya Allahyarhamah Qin?

Akhirnya saya yang mengalah lalu berpaling... kerana ada air bening di kedua pelupuk mata saya. Sungguh saya merindukan saat itu, tetapi bukan dengan cara yang begini. Dan ingatan saya buat arwah menjalar lagi...

Foto: http://nuun.blogspot.com/

Akhir bagi Debaran Hari-hari yang Kelam

Adik Nurin Jazlin selamat disemadikan. Ibu dan ayahnya menerima hakikat bahawa mayat budak perempuan yang ditemui dalam keadaan menyayat hati itu adalah anak mereka. Tiada ujian DNA kedua, dan segalanya dilakukan semata-mata agar mayat anak itu tidak bertambah sengsara.

Tetapi buat si pembunuh, episod hitam ini bukan titik akhir buatnya/mereka. Tinta telah pun kering kerana tertulis sudah kisah durjana yang dilakukan ke atas seorang kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa. Dosa telah tercatat. Hanya tinggal hukuman yang setimpal dari Tuhan buat yang menzalimi. Tunggulah...kerana akan tiba juga saat itu!

Friday 21 September 2007

Nilai Nyawa Manusia




Dalam perjalanan ke hospital semalam, saya mendengar berita di Lite FM tentang Nurin Jazlin. Tentang DNA mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dijumpai di dalam beg sukan disahkan sepadan dengan DNA ayah dan ibu Nurin.

Saya terkedu.

Sememangnya saya mengikuti secara sepintas lalu sejak kehilangan Nurin. Wajahnya terpampang di dada akhbar, dan juga di poster-poster hasil bantuan banyak pihak. Namun berita semalam mendatangkan getar di dalam hati saya. Apakah nilaian nyawa manusia sekecil itu di mata pembunuhnya dan sesiapa jua yang terlibat menzaliminya?

Ibubapa Nurin merasakan mayat itu bukan anaknya semasa pengecaman mayat dilakukan. Ujian DNA kedua akan turut menggunakan darah kakaknya.
Siapapun kanak-kanak berkenaan, ternyata hukuman Tuhan sahaja yang adil untuk si pembunuh. Akhirat adalah harapan pembelaan buat anak itu. Al-fatihah untuknya...

Foto oleh cedrico fernandez di http://photo.net/.

Lagi berita gembira

Ingatkah pada entri saya di sini?

Alhamdulillah, semalam saya medapat teks ringkas yang memberitahu Makcik saya telah didiagnosa, telah menjalani rawatan permulaan dan insyaallah akan dibenarkan pulang pada hari ini. Saya yakin makcik saya gembira, ahli keluarganya gembira dan saya juga gembira.

Saya terharu pada pakcik saya yang setia menemankan isterinya setiap siang hari di hospital. Sebelah malamnya pula, beliau akan ke rumah sesiapa jua anaknya yang datang mengambil beliau pada hari tersebut. Sebuah beg berisi pakaian akan sentiasa bersamanya kerana malam ini rumah yang ini, esok mungkin rumah yang berbeza, sehingga beliau menggelarkan dirinya "Musafir Kelana". Bahkan, pakcik saya antara yang paling seronok untuk pulang ke rumah setelah lebih 2 minggu berulang-alik ke hospital.

Doa saya semoga makcik saya cepat sembuh dan doa saya semoga pakcik saya kekal sihat dan ceria.

Announcing the Arrival of...




Baby Balqis Sofea
Born on 8 Ramadhan 1428/20th September 2007 @0140H - An-Nur Medical Centre, Bangi.
Daughter of 'Ain and Wan.
Congratulations to both Umi and Abi.


To Balqis:
Semoga menjadi anak yang solehah.
To 'Ain:
Welcome to ze' club! :)


P/S Nanti makcik pergi tengok Balqis, insyaallah.


Foto: www.balloonmaniacs.com

Wednesday 19 September 2007

Atas Tema yang Sama

Salam hormat

Audio CD Rabbani bertajuk Epik adalah antara CD pertama yang saya beli selain daripada Our World oleh Zain Bikha. Antara sebab mengapa CD ini saya beli adalah kerana lirik nasyid Subuh Yang Terakhir yang merupakan trek pertama di dalam CD tersebut. Baru-baru ini, dalam perjalanan pulang ke KL sekaligus menghantar adik ke Batu Kikir, N9, sempat saya putarkan CD ini kerana sudah lama tidak didengar. Anak-anak selalunya lebih suka memasang nasyid kanak-kanak nyanyian di tadika atau pun CD Reading is Easy. Selebihnya, mereka asyik mengulang CD Wadi-L-Jadid dan satu CD pelbagai lagu Shoutul Harokah sebuah kumpulan nasyid Indonesia.

Atas tema yang sama, saya sertakan lirik nasyid Subuh Yang Terakhir:

Subuh Yang Terakhir
Album : Epik
Munsyid : Rabbani
http://liriknasyid.com

Bilakah kali yang terakhir kau ucapkan sayang
Pada insan yang setia berkongsi susah dan senang
Luahkan isi hati, andainya sudah ditakdir
Tadi subuh yang terakhir

Bila berdekatan kadangnya makin kita leka
Bila berjauhan barulah merindu di dada
Selagi berkesempatan ucapkan terima kasih
Andai esok takkan hadir

Tika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerna sayangkan dirimu
Namun di hati mampukah dilupakan
Rayulah kemaafan
Jangan sebelum nyawa dipulangkan

Bilakah kali yang terakhir kau kucupi pipi
Ayah bonda yang tak mungkin kau terbalas budi
Tunjukkanlah syukurmu bertuahnya kau dilahir
Andai esok takkan hadir

Tika terkasar bahasa mungkin ada yang terasa
Tapi tak kedengaran rintihan kerna sayangkan dirimu
Namun di hati mampukah dilupakan
Rayulah kemaafan
Jangan sebelum nyawa dipulangkan

Lihatlah saja isterimu berkorban separuh nyawa
Demi menjamin kebahagian anak dan suami tercinta
Buktikan padanya pilihan jodohmu tepat
Sebelum semua terlewat
Lafazkan rasa cinta...andainya sudah ditakdir
Tadi subuh yang terakhir

* * * * *

Berikut adalah nasyid kegemaran Itqan dalam CD Shoutul Harokah

Ini Langkahku
Album : Ini Langkahku
Munsyid : Shoutul Harokah
http://liriknasyid.com

Aaa... Ini langkahku
Aaa... Terus melaju
Aaa... Ini langkahku
Aaa... Bangkitkan jihad

Ini Langkahku yang kan kuayun
Walaupun payah tak akan jera
Ini langkahku kan trus melaju
Setegar karang bangkitkan jihadku

Aral rintangan datang menghadang
Tapi syurga di bawah kilatan pedang
Hancurkan kedzaliman
Tegakkan keadilan

Pastikan langkahmu wahai pejuang
Dengan Al-Qur'an menjadi pedoman
Hembuskanlah angin pembaharuan
Karena kita khalifaturrahman

* * * * *

Berikut pula antara lagu hits pilihan Rujhan

Indonesia Memanggil
Album : Ini Langkahku
Munsyid : Shoutul Harokah
http://liriknasyid.com

ha... ha... ha...
Singsingkan lengan baju pancangkan asa
Ukirlah hari esok pertiwi jaya
Bergandengan tangan tuk meraih ridho Allah

Buatlah negri ini selalu tersenyum
Bahagia dan Sejahtera dalam cinta-Nya
Tiada lagi resah tiada lagi duka lara

Negeri indah Indonesia
Memanggil namamu
Menyapa nuranimu

Negeri Indah Indonesia
Menanti hadirmu
Rindukan karyamu

* * * * *

Ini nasyid yang paling saya suka daripada Shoutul Harokah, ketika mereka membuat persembahan secara live di Medan, sewaktu saya pulang dari Acheh.

Merah Saga
Album : Tak Kenal Henti
Munsyid : Shoutul Harokah
http://liriknasyid.com

Saat langit berwarna merah saga
Dan kerikil perkasa berlarian
Meluncur laksana puluhan peluru
Terbang bersama teriakan takbir

Semua menjadi saksi
Atas langkah keberanianmu
Kita juga menjadi saksi
Atas keteguhanmu

Ketika yahudi-yahudi membantaimu
Merah berkesimbah ditanah airmu
Mewangi harum genangan darahmu
Membebaskan bumi jihad palestina
Perjuangan telah kau bayar dengan jiwa
Syahid dalam cinta-NYA

* * * * *

Dan ini nasyid yang digemari MOH.

Setanggi Kasih
Album : Qiblat
Munsyid : Rabbani
http://liriknasyid.com

Mari kita nyalakan setanggi kasih yang mewangi
Di seluruh semesta pada sepanjang kembara
Kita akan temui bunga-bunga kebaikan
Hulurkan salam
Bersyukur kepada Tuhan

Hindari kejahatan dengan satu kebaikan
Agar kau kan rasa erti kemanisan iman
Ini setanggi kasih di persada cinta Tuhan
Suburkan cinta kita sesama insan

Tiada selain Tuhan berkuasa mendamaikan
Tiada selain Tuhan yang dapat menyatukan insan
Pasti kau temui nanti duri-duri permusuhan (kejahatan)
Hadapilah segalanya dengan kesabaran
Dan tempuhilah rintangan dengan keyakinan

Mari kita padamkan nyalaan benci yang membakar
Di sepenuh buana pada seluruh manusia
Kita akan sedari titik-titik persamaan
Taburkan damai
Bersyukur kepada insan

Hindari kejahatan dengan satu kebaikan
Agar kau kan rasa erti kemanisan iman
Ini setanggi kasih di persada cinta Tuhan
Suburkan cinta kita sesama insan
Hulurkan salam
Bersyukur kepada Tuhan


Nasyid-nasyid semua boleh dilayari di http://liriknasyid.com: eXpresi PENYEGARAN diri.

Tuesday 18 September 2007

Saje Ngade-ngade




Aaminah, a 3-syllable girl's name of Arabic origin, means: Peace, harmony.
It has religious backgrounds in Muslim.

Rania, a 3-syllable girl's name of Indic (of a branch of Indo-European consisting of many of the languages of India, including Sanskrit, Hindi and Urdu)/Norse (of ancient and medieval Scandinavia) origin, means: Queen; of nobility.

Farah, a 2-syllable girl's name of Persian origin, means: Beautiful; happy :)


Ramadhan dan Pengajaran




"Skreechhh...", bunyi kereta membrek cemas terdengar sangat hampir. MOH dan saya menoleh serentak. Pandangan tertancap pada sebuah Waja yang baru sahaja selamat daripada melanggar tepat tiang lampu isyarat, sewaktu cuba mengelak kereta kami yang sedang berhenti di persimpangan jalan kerana lampu merah. Beberapa saat, pemandu tidak bergerak. "OK ke tak orang tu?" tanya saya pada MOH sedangkan kereta kami sedikit terkebelakang, masakan dapat melihat si pemandu tadi. "Manalah tahu heart attack ke, pengsan ke.." kata saya. Lampu bertukar hijau. Di dalam Waja, kelihatan seorang wanita sedang memicit-micit telefon bimbitnya. Pemandu itu kelihatan ok. Perlahan-lahan kami berlalu dari situ.


* * * * *


" Sebelah kita je.." Kata-kata MOH masih terngiang-ngiang di telinga saya. Bayangkan impaknya kalau wanita tersebut terus melanggar kami dari belakang atau sisi tanpa sempat membrek. Kereta tersebut berhenti betul-betul di sebelah kiri kereta kami. Waktu tengah malam, mujur tidak banyak kenderaan, dan kebetulan tiada pula kereta lain yang hendak membelok ke kiri kerana kereta Waja itu berhenti menghalang susur keluar ke kiri. Berkali-kali saya mengucapkan syukur dalam hati. Saya kerling anak-anak yang tidur di belakang.


* * * * *


Perlukah kejadian sebegitu terjadi kepada kita baru kita mahu menginsafi diri bahawa maut itu boleh tiba pada bila-bila masa, bukan dengan sebab penyakit kronik atau kanser yang membarah, atau kerana umur sudah sangat lanjut? Menariknya sepanjang perjalanan pulang ke Muar itu, memang kami sedang asyik berbincang tentang kematian, tentang bagaimana Muslim dipandang bijak kerana mengingat maut dan berbincang tentang buku " Tuesdays with Morrie" yang menceritakan tentang perjalanan seorang pensyarah pengajian manusia menuju kematian kerana penyakit yang tidak dapat diubati. Tambahan pula sewaktu siangnya, saya sempat meneliti tulisan Ustaz Zaharudin tentang definisi kematian, kematian otak dan pemindahan organ daripada perspektif Islam. Begitu sahaja Allah menunjukkan bahawa maut itu hampir dan pasti.


* * * * *


"Apa yang akak fikir sejurus selepas nikah?". Saya simpan jawapan itu daripada Teh berminggu-minggu lamanya. Cuma pada hari itu sahaja saya tuliskan dalam teks ringkas: "Mati". Memang itu yang berada dalam otak saya berhari-hari lamanya. Tiada kaitan dengan harapan yang negatif kepada hari-hari selepas perkahwinan, sebaliknya saya berfikir begitu kerana setelah sekian banyak nikmat yang Allah anugerahkan kepada saya, termasuk sebuah perkahwinan, maka tidak dapat tidak, pastilah maut semakin hampir menemui saya.


* * * * *


"Akak ampunkan dosa-dosa saya jika saya mati sewaktu bersalin nanti", lebih kurang begitu teks ringkas daripada 'adik' saya selepas kejadian kereta Waja tadi. Jam lebih kurang 12.30 tengah malam. Saya kaget. Kenapa sampai begini? Teks bertalu-talu tiba daripadanya selepas itu. Saya fikir dia sudah mahu bersalin. Rupa-rupanya tahap hemoglobin dalam darahnya siang tadi serendah 8.7 sahaja. Dia bimbang akan kehilangan banyak darah sewaktu melahirkan nanti, lalu menemui ajal. Saya juga tahu ia satu kemungkinan, tetapi berupayakah kita memahami makna di sebalik kemungkinan itu?


Ramadhan mengajar kita mengejar peluang selagi masih ada. Apa jua kebaikan dan kebajikan yang terlepas dari kita di waktu yang lalu, bukan untuk kita berduka nestapa, sebaliknya ruang koreksi diri serta menambah bekal pada saat inilah satu-satunya harapan kita. Bukan esok, belum tentu lusa. Apatah lagi Ramadhan tahun-tahun akan datang. Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik-putar (turning point) untuk kita menjadi lebih baik pada setiap pertambahan umur.


Allah sahaja yang Maha Mengetahui bila dan di mana maut bakal menjemput kita...


Gambar: www.rimbundahan.org

Thursday 13 September 2007

Harapan Pada Ramadhan


Mengetuk hati di bulan ini
Menjenguk diri setelah meninggalkan 11 bulan yang panjang
Penuh dosa, sedikit amal
Penuh khilaf, sedikit tawakkal
Penuh lalai, sedikit bekal

Lalu pada bulan yang dijanjikan
Keberkatan, kesamarataan, kebajikan, kedermawanan, kefasihan, kekhusyukan...
Muthmainnah, ukhuwwah, mahabbah, uzlah, syafaa'ah, sakinah...
Kehambaan, keinsafan, kerendahan, kemurnian, kekayaan...

Aku merenung butiran muhasabah dan menenun indah muraqabah
Moga-moga Tuhan menerima ibadah
Dan membasmi mazmumah


Kuala Lumpur
1 Ramadhan 1428
13 September 2007


Foto: Jabal Qasiyyun, Damsyiq.

Friday 7 September 2007

Teruja



Salam hormat.

Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke hospital. Kali terakhir, menziarahi saudara di SMC dan sebelum itu, membawa Rujhan berjumpa pakar THT. Jadi, Isnin lalu, apabila saya berpeluang menghantar seorang saudara ke sana, perasaan saya jadi berbaur-baur. Sedikit rindu dan selebihnya teruja. Perasaan yang akan datang setiap kali saya berada di kawasan hospital, sama ada atas sebab tugasan, kursus atau ziarah.

Sehari suntuk saya di hospital, sehingga urusan pada hari tersebut selesai buat sementara waktu. Beberapa sahabat lama yang sudah beberapa tahun tidak bertemu, saya jumpa semula di sana. Ada yang bertugas, menyambung pengajian di peringkat sarjana dan ada yang menjaga ahli keluarga lain yang sakit.

Sebagaimana selalunya, setelah saya pulang dari hospital, saya akan rasakan kesibukan, ketekunan dan keprihatinan warga kerja hospital. Tidaklah bermakna, di dalam hospital itu sempurna, tetapi pergerakan aktiviti yang berlaku di dalam institusi tersebut ibarat susunan koreografi yang indah di mata saya. Bunyi hiruk pikuk manusia di dalamnya, seumpama sebuah dendangan lagu yang telah lama tidak didengari telinga saya. Saya jadi sentimental dengan hospital :) Lebih menghairankan, walaupun saya masih ingat perit getir hari-hari yang dilalui di hospital, saya tidak pernah berasa bosan.

Lalu petanda apakah ini? Adakah saya harus kembali bertugas di sana? Jika kembali ke hospital, saya pasti sibuk dengan tugas atas panggilan dan natijah lain yang bakal menanti. Tetapi, kesibukan itu memberi kepuasan kepada banyak doktor yang masih setia bertugas di hospital-hospital dan akur dengan beban tugas yang menghimpit, kerana tugas menyelamatkan nyawa manusia itu tugas yang mulia. Dengan kesusahan, mereka dianugerahkan banyak kemudahan.

Istikharahlah!

Gambar ehsan: www.medicine.ukm.my

Thursday 6 September 2007

Surat & Sotong



Akhirnya saya dapat tulis sesuatu khusus untuk Teh, setelah dikejutkan jam 1 pagi dan berjaga sehingga ke siang.

Di Tanjong Katong airnya biru,
Di situ tempatnya dara jelita,
Sama sekampung lagikan rindu,
Kononlah pula nun jauh di mata.

:)

Pasca skrip: Tanjong Katong bukan tempat mencandat sotong.


Wednesday 5 September 2007

Tinta Terakhir (Seorang Pejuang)



Lirik saya ambil dari Album Bahana Cinta - Wadi-L-Jadid
(Dedikasi dan Terima kasih buat Nur kerana beri hadiah sebotol buah zaitun tempoh hari)

Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu
Mematahkan
Semangat perjuanganmu
Kerna kita telah dijanjikan Allah
Dengan DUA kemuliaan
Tergugur syahid di medan perjuangan
Atau meraih kemenangan

Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, Yakinilah
Kita pasti berjaya


Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu
Mematahkan
Semangat perjuanganmu
Kerna perjuangan memerlukan pengorbanan

Kerna PEJUANG
Tak mengenal kerehatan
Aturkanlah langkahmu dengan penuh keimanan
Suburkanlah jiwamu
Dengan segala keyakinan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah
Islam pasti berjaya

Relakanlah pemergianku ini
Iringi dengan seribu doa
SEMOGA KITAKAN BERJUMPA SEMULA
DI SYURGA TUHAN YANG INDAH
YANG INDAH...


Tuesday 4 September 2007

LOVE is CINTA

Sebenarnya saya ingin benar menulis sesuatu yang khusus untuk Teh kerana semenjak akhir-akhir ini, kami menjadi begitu akrab lewat panggilan telefon dan sms yang telah dihantar, juga yang telah diterima, meliputi pelbagai kisah masyarakat, lawak sekolah rendah dan cerita tentang penulis dan bidang penulisan. Amat sedikit daripadanya berunsur peribadi, apatah lagi yang berkaitan dengan isu yang tidak relevan. Walaupun saya telah cuba untuk menulis tentang tips menjaga kecantikan wajah (atau lebih tepat kebersihan), tetapi rasanya elok cerita-cerita itu saya hantarkan kepada Teh melalui sms dan bukannya di sini (takut kena gelak kuat-kuat dengan pakar kecantikan!)


Walaubagaimanapun, untuk kesekian kalinya, saya tidak boleh memerah otak, menandingi penulisan Teh, maka selain cerita resepi ayam masak kicap yang masih terhutang dengan Teh, saya akan menulis tentang aktiviti saya sepanjang cuti panjang yang lalu.


Pada malam menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 tahun, saya telah melenguhkan kaki kerana melawat Alamanda Putrajaya dengan hasrat membeli sepasang kasut baru berwarna hitam. (Kasut warna hitam kesayangan saya yang telah rosak dan tidak dapat dibaiki lagi telah tidak berganti dengan warna yang serupa melainkan dengan warna merah dan cokelat). Namun malangnya, saya tidak berjumpa dengan kasut yang menarik hati saya (dan tidak melemahkan poket saya), lalu wang saya terluak dengan membeli dua buah buku di MPH bertajuk Virus Jihad (Antologi cerpen sempena peraduan menulis puisi dan cerpen berunsur Islam kali ke-X terbitan DBP) yang berharga RM 15 dan Selamat Malam Anakku, Kisah daripada Al-quran untuk si kecil (yang berharga RM 30+). Selain itu, saya membeli-belah juga di Miss T iaitu kedai aksesori yang banyak barang berwarna merah jambu. Saya melihat banyak baju bayi yang dijual dengan diskaun di beberapa kedai di sana tetapi belum ada perasaan yang cukup kuat untuk membelinya.


Pulang bersama anak-anak, kami melalui jalan sebelah belakang Putrajaya yang selalunya sangat suram juga tidak banyak kenderaan. Tetapi malam itu, saya sedikit menyesal melaluinya kerana jalanraya sangat sesak kerana orang ramai sesuka hati meletak kenderaan di bahu jalan, lorong paling kiri dan akhirnya sehingga ke lorong tengah (apabila berhampiran dengan PICC) kerana hendak menyaksikan pertunjukan bunga api sempena menyambut kemerdekaan ke-50. Maka pada pendapat saya, merdeka sungguh jiwa mereka yang menyusahkan orang lain sebegini rupa!


31 Ogos 2007.
Saya terpanggil membuat sedikit 'spring cleaning' dalam rumah dengan menyisihkan baju keluarga yang sudah tidak digunakan lagi dan yang seangkatan dengannya. Tengahari, kami pulang ke rumah Mak kerana ada kenduri. Mak masak mee goreng dengan ayam goreng berempah dan menempah kuih muih seperti talam berlauk. Saya menanggung tugas sebagai penyambut tetamu dan tukang jaga air.


Malamnya kami melawat seorang saudara di SMC. Sejuknya bilik itu walaupun penghawa dingin diletakkan pada suhu 30 darjah. Saya kira technician air-con tidak membuat PPM dengan tepat, kerana suhunya tentu lebih rendah daripada 20 darjah selsius!

1 September 2007.
Pagi-pagi lagi saya sudah menunggu komuter untuk ke KL. Destinasi: KL Sentral singgah sebentar membeli nasi goreng (yang tiada sotong :)) dan air tembikai susu untuk dibuat sarapan kemudian naik LRT ke KLCC. Berjalan laju terus ke Masjid as-Syakirin untuk ini:





Terima kasih kepada sahabat saya Nur yang sudi datang setelah saya mengajak beliau dan tahniah kerana sudah hamil 5 minggu. Ustaz Zamri (TV9) memang bijak memberi huraian dan tidak ketingalan Ustazah Teh yang banyak memberi kalimah-kalimah baru di dalam forum tersebut. Ina Naim kelihatan lebih kecil daripada yang saya lihat di akhbar atau TV dan Suhaimie memang sedap suaranya ketika mendendangkan Pesona Zulaikha dan Kias Cinta. Kesimpulan daripada sesi forum ini, boleh dihayati dengan mendengarkan lagu Bahana Cinta oleh Wadi-L-Jadid (juga memuatkan Rintihan Merentas Benua).


Pulang tengahari, saya bergegas ke Hotel Sri Malaysia, PD kerana perlu merasmikan kursus anjuran jabatan, dan berakhir keesokan harinya.

Terima kasih buat Ibu Long kerana bersusah payah mengirimkan tamar, kopiah dan pakaian untuk kami tidak ketinggalan air zam-zam.


Saya letih bercuti panjang, kerana banyak yang perlu dilakukan, tetapi apalah gunanya hari-hari cuti jika tidak diisi?

Tuesday 28 August 2007

Meniti Hari-hari yang Pinta Diisi (Mengimbau Pengisian Kemerdekaan)


Lima hari bercuti, alhamdulillah keadaan di pejabat masih baik lagi. Cuma jumlah kertas yang terkandung di dalam " Lubang Merpati" saya kelihatan sesak dan mengingatkan bahawa hari berlalu dan terus berlalu sama ada kita mengisinya dengan sesuatu atau tidak. Dua kursus menanti sebelum Ramadhan dan beberapa tugas kecil menanti kepulangan. Namun tugas yang agak besar telah selesai semalam juga.

Lima hari bercuti, apa yang diisi? Oh ye, senang memasak untuk anak-anak dan melayan kerenah mereka setiap hari. Mengulang baca novel "Catcher in the Rye" yang tidak begitu saya fahami sewaktu Pre-Bridging Course di USM, Kubang Krian, tetapi lebih saya fahami kini.

Mencari sekolah untuk Itqan tidak semudah yang diharapkan. Akhirnya terfikir apakah perlu sekolah di tempat yang begitu? Prasarana hebat dan meyakinkan. Sayalah antara ibu yang tidak yakin dengan sistem persekolahan kini, walaupun saya terdidik dengan sistem yang sama dahulu. Sikap guru, kurikulum sekolah, pendekatan "suapan-sudu" dan orientasi peperiksaan menakutkan saya. Anak 4 tahun sudah dihantar ke tiusyen? Mak juga bekas guru dan memahami kemelut saya. Adik ipar saya seorang guru di salah sebuah sekolah rendah cemerlang di Lembah Klang juga tersepit. Untung sahaja boleh mengajar anak di sekolah seperti Mak Anjang saya dulu. Jadi, jika orang pelajaran, atau pendidikan angkat kening baca tulisan ini, saya mohon maaf. Saya cuma berharap saya boleh lakukan sesuatu untuk masa depan anak saya, tanpa perlu menghantar anak ke sekolah rendah yang yurannya setaraf yuran pengajian di IPTA (oh ye sebelum subsidi kerajaan jumlahnya)!

Saya jenguk keluar lagi. Kali ini di KLCC. Tiada tempat letak kereta dan ketuk dahi sendiri kerana beriya-iya memandu ke sana. Angan-angan mahu ke Aquaria, tapi silap hari. Terlalu ramai manusia dan terlalu cemburu masa. Duduk-duduk di Kinokuniya sambil melayan anak membaca. Pandang ke luar kaca dan memerhati pengisian kemerdekaan negara. Oh Pertandingan Bunga Api di Putrajaya... dan Mak sebut juga tentang Ekspo cintanya (Bunga) di Putrajaya juga. Konsert di Ikano Power Centre dan Jalur Gemilang terbesar merata-rata. Kereta Kancil dengan bendera kecil berceracakan di atas kenderaan, dan eh... Jalur Gemilang dah terlepas ikatannya pada hud kereta tidakkah mengundang kemalangan?

Saya keliru...

(Ada yang akan kata buat apa susah-susah keliru, buat sahajalah apa yang seronok dan bergaya dan mengikut aliran semasa).

Saya pula akan kata - kalau saya keliru... anak-anak saya pula bagaimana?


Saturday 18 August 2007

Dari Mana Nak Ke Mana?

Ke mana saya hari ini?

Pagi: Menghantar ibu dan ayah long ke KLIA untuk menunaikan umrah.

T/hari: Makan nasi impit yang To' Ibu masak :) (Kata beg Dora...Yum yum yum yum yum... Delicious!)

Petang: Majlis Hi Tea Bersama Keluarga Syuhada Palestin oleh Persatuan Mawaddah Malaysia dan Aman Palestin. ( Menu: Bukan Pisang Goreng). Masih mahu makankah setelah menonton klip video dan tayangan multimedia itu?

Malam: Makan nasi lemak Mak :) dan menulis di sini.

Nanti tulis lagi.


* * * * *

"Kunjungilah Masjid Al-Aqsa dan bersolatlah di dalamnya. Sekiranya kamu tidak dapat mengunjunginya dan bersolat di dalamnya, maka hantarkanlah minyak untuk menyalakan lampu-lampunya." Hadith Rasulullah.

Ke atas kita, adalah lebih dari sekadar menghantarkan minyak untuk menyalakan lampu Masjidil Aqsa. Ke atas kita, bayaran ke atas harga nyawa, maruah, darah dan airmata saudara-saudara yang menjadikan tubuh badan mereka sebagai perisai Al-Aqsa.

* * * * *

Al-ardhu lana
Wal Qudsu lana
Allahu biquwwatihi ma'ana...

Monday 13 August 2007

Setelah 12 Purnama





Setelah 12 purnama
Cerita duka, cerita lama, cerita nyawa
Terkorban, berkorban
Cerita bangsa yang semakin dilupa
Cerita jaya, cerita derita
Cerita setelah 12 purnama


Ada sisa kenangan
Ada langkah tak kesampaian
Ada keringat, ada darah
Ada airmata yang tumpah
Ada suka, ada nestapa
Ada budi harum mewangi
Ada cerita tanpa berita
Ada ingatan kubawa mati

Setelah 12 purnama
Ada hati yang masih tersentuh
Lewat bangunan diterobos peluru
Runtuh ranap melubang bumi
Ada jiwa yang masih mencari
Jawapan... pada sekian 12 purnama yang ditinggalkan
Ada doa dalam simpuh
Moga semangat mereka terus ampuh!

Setelah 12 purnama...
Aku menjejak perjalanan panjang
Mengukur nestapa di bumi orang...


KL 12/08/07

* * * * *
Pasca skrip:
Memori KL-Dubai-Damsyik-Beirut-Amman
23 Ogos 2006
Foto: Beirut, Ogos 2006

Thursday 9 August 2007

Jangan bosan 2

Salam pertemuan.

Kami terus ke Restoran setelah solat maghrib. Situasi di dalam restoran ringkas tetapi menarik. Dah datang ke restoran arab, tentulah ada lagu-lagu " Padang pasir" yang MOH pun tak berapa faham maksudnya.

Menu diberi sejurus kami duduk. Saya terpaksa meneliti dua tiga kali sebab syawarma tak tersenarai dalam menu. Di Malaysia lebih dikenali dengan nama kebab kalau tak silap saya. Tapi malam itu, saya menempah sejenis masakan ayam berempah bersama-sama sos kentang. MOH pun sama. Itqan lebih senang dengan sup cendawan dan Rujhan kentang goreng. Pembuka selera kami minta falafel sejenis makanan bergoreng daripada campuran kacang dhal (lentils) yang dibentuk seperti bebola sebesar bola ping-pong, dimakan dengan sedikit 'plain greek style yoghurt' atau 'laban'. Pencuci mulut pula, MOH minta Tiramisu (sejenis kek ringan) dan saya sendiri: Baklava (sejenis manisan Mediterranean) juga ada di dalam masakan Turki, Greek selain Lubnan. Dulu, saya pernah mencuba beberapa kali resepi Baklava ini, cuma semenjak di Malaysia dan dengan harga Filo Pastry yang memang mahal (oh ye dan kerana saya tidak punyai oven juga), saya tidak pernah mencubanya di sini. Mungkin saya boleh cuba bila saya pulang ke rumah Mak. Minuman, Rujhan tersenyum lebar mendapat Jus Strawberi, Itqan dengan Apple-Lime Juice (tetapi ditukar dengan minuman saya kerana rasanya yang sangat masam) dan MOH dan saya memilih Cool Mediterranean yang memang sedap iaitu campuran jus mangga dan beberapa buah-buahan lain.


Apabila makanan dihidang, saya rasa sedikit menyesal kerana portion ayam tersebut sangat banyak. Jika tahu, kami pasti minta satu sahaja. Selebihnya MOH habiskan untuk saya :) Rujhan dan Itqan berebut Sup Cendawan, dan akhirnya kami membuat keputusan menempah semangkuk lagi untuk mereka, tetapi Rujhan suka-suka sahaja makan dengan mencecah kentang goreng ke dalam sup.


Di luar, tiada tanda orang ramai semakin surut. Kelihatan banyak keluarga arab masuk ke restoran tersebut. Walaupun tidak sesak seperti waktu siang, tapi KLCC masih ramai orang. Hadiah untuk hari lahir Rujhan: krayon saiz besar dengan pemegang khas yang saya dapatkan di Times Bookstore.


Sebelum pulang, kami solat Isya' terlebih dahulu di surau yang sama sebelumnya. Mengambil LRT pada jam 10 malam, tidak bermakna kami dapat duduk, malah kami berdiri sehingga ke KL Sentral. Keretapi transit pula lebih lengang pada waktu-waktu begitu. Anak-anak sudah tertidur di pangkuan kami. Mahu tak mahu saya terpaksa mendukung Rujhan ke kereta, dan manakala MOH mendukung Itqan.


Walaupun letih, anak-anak sangat gembira. Mereka masih lagi mengulang-ulang cerita malam itu untuk beberapa hari berikutnya.


Esok, kami harus kerja dan anak-anak harus ke tadika.

Friday 3 August 2007

Jangan bosan!

Salam aksara.

Maaf kerana tidak dapat menulis dengan kerap sejak akhir-akhir ini. Walaubagaimanapun, bagi yang tidak menggemari cerita makanan atau resepi macam Teh, harap jangan bosan baca entri saya. Selepas ini, saya boleh cuba cerita bab kecantikan wajah pula ye! :)

Semalam hari lahir Rujhan yang ke 4. Sempat saya tinggalkan sebiji kek dengan gambar Pooh setelah pulang dari klinik semalam untuk anak saya kongsi bersama teman-teman tadikanya. Semenjak demam minggu lalu, Rujhan asyik berdalih sahaja daripada pergi ke tadika dengan alasan penat katanya.

Sedar tak sedar, dah hampir setahun saya tidak makan syawarma. Kali terakhir di Jordan tahun lalu. Mungkin atas sebab itu, saya teringin benar makan makanan arab. Jadi kami sekeluarga pun ke Restoran Bukhara/Tarboosh di KLCC. Pada mulanya, saya hampir saja mahu menelefon MOH untuk menangguhkan rancangan malam itu, kerana Itqan beriya-iya tidak mahu terlepas dari menonton Ultraman 3. Dalam keadaan seperti sekarang ini, saya bukannya mudah mahu mendukungnya untuk masuk ke dalam kereta. Sambil Itqan menangis, saya terangkan mengapa perlu segera ke KL kerana walid sudah menunggu. Sampai di stesen transit lain pula ceritanya. Itqan tidak mahu berjalan tetapi mahu saya mendukungnya sahaja. Rujhan pula yang bersemangat apabila sudah sampai di stesen. Maklumlah, nak naik "kapaltapi choon-choon". Jadi Rujhan perlahan-lahan berjaya memujuk abangnya yang tiba-tiba sahaja menjadi ok semula :)

Di dalam keretapi transit, anak-anak membuat pelbagai aksi yang munasabah dan tidak berapa munasabah. Beberapa orang pakcik mempelawa mereka duduk, sedangkan mereka lebih gemar bergerak dari satu tiang ke satu tiang. Saya hanya boleh berpesan supaya mereka berhati-hati kerana keretapi boleh berhenti mengejut. Mendengarkan itu, aksi-aksi mereka menjadi semakin munasabah. Lama-lama mereka sudah mahu duduk. Mungkin letih berdiri.

Sampai di KL Sentral, orang sangat ramai. Waktu pulang bekerja tentulah begitu. Anak-anak berjalan rapat dengan saya, kerana mereka memang tidak suka keadaan yang sesak. Naik ke stesen LRT, orang ramai sudah beratur, jadi kami ikut beratur. LRT yang tiba penuh sesak. Sebahagian yang turun, membolehkan sebahagian yang menunggu naik. Elok sahaja saya melangkah masuk, pintu pun tertutup. Bermulalah perjalanan yang amat panjang bagi Itqan dan Rujhan. Saya fikir, mereka tentu sangat rimas. Sudahlah separuh saiz saya (walaupun Itqan sudah 3/4 tinggi saya), Rujhan memaut kaki saya tidak henti-henti. Itqan pula semacam sedar yang Rujhan ketakutan, lalu dia juga memegang Rujhan supaya tidak jatuh. Sampai di KLCC, kami terus solat di surau tingkat 1, walaupun Rujhan berhenti sekali-sekala sebelum sampai kerana teringin naik permainan yang macam-macam di sepanjang jalan ke situ.

Di surau, jemaah memang ramai. Itqan solat, dan mengambil masa yang lama untuk selesai berdoa. Usai solat, saya lihat walid sudah menunggu.

Tuesday 31 July 2007

Lagi Pasal Makanan

Salam.

Maaf kerana lama berhibernasi. Rujhan tidak sihat minggu lalu kerana jangkitan respiratori dan juga telinga. Cuti yang saya rancang untuk membeli-belah minggu ini telah saya gunakan buat menjaga Rujhan. Hari Jumaat lalu saya membawanya ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut di Klinik Pakar THT. ALhamdulillah, semuanya baik-baik belaka.

Minggu ini, saya pula terkena flu. Hujan semenjak Jumaat lalu, sedikit sebanyak menyumbang kepada keadaan saya sekarang ini. Walaubagaimanapun, ia tidaklah menjadi masalah besar kerana saya tidak demam. Sekadar perlu berbungkus ke pejabat tidak mengapa. Pendingin hawa di pejabat ni kadangkala rasa macam bilik mayat pula.

Hujung minggu lalu, kami sekeluarga menyempurnakan hajat Pak Uda anak-anak saya. Kakak Marha tersengih-sengih bergambar di sisi Princess Pak Uda. Saya pula yang bergenangan airmata apabila menyuakan cincin pertunangan pada ibu saya untuk disarungkan pada jari manis bakal adik ipar saya. Ibu pula kelihatan biasa-biasa sahaja. Ini kali pertama keluarga kami pergi menyunting bunga di taman - sepatah kata Pak Anjang saya yang menjadi wakil keluarga kami. Ini kerana, adik lelaki saya bukannya ramai, harap 2 orang itulah. Pak Uda di Dubai dan Pak Andak di Kedah. Pak Andak sedang menghabiskan semester akhir dalam bidang IT. Pak Uda merantau jauh mencari rezeki halal di samping menggali ilmu senibina canggih atas tanah yang ditambak dengan corak pokok dan pelepah kurma. Untuk itu, terima kasih yang tidak terhingga pada keluarga Ima yang sudi menerima kami. Serta untuk Kak Ana yang membenarkan kami singgah sebentar sebelum ke majlis - otak-otak dan kuih tepung talam yang dijamu memang menyelerakan. Tidak ketinggalan buat flower girl (teman-teman Mak Anjang) dari UIA (Gombak dan Kuantan) - Zuhra, Dhiya dan Fiza, kerana membantu menatang dulang hadiah.

Kemudian kami terus menghantar Mak (ibu mertuaku) yang tergesa-gesa perlu pulang kerana ada kelas pengajian. Walaupun sudah bersara dari kerjayanya sebagai seorang guru, Mak masih aktif; malah lebih aktif daripada dulu. Kelas Mak hari itu di surau berhampiran sahaja. Walaupun kepenatan memenuhi jemputan ayah dan ibu saya ke majlis itu, Mak tidak mahu menghampakan pelajar-pelajarnya.

Mak memang pandai memasak dan masakan Mak tidak pernah mengecewakan saya yang sememangnya kuat makan (jika nak dibandingkan dengan anak-anak Mak). Antara masakan kegemaran saya (yang seringkali Mak masak bila teringatkan mahu menjamu saya) ialah Mi kari dan Nasi Impit bersama lauk-pauknya. Tidak ketinggalan Kuih Tepung Talam dan oh ye, Krim Karamel yang Mak selalu campurkan sedikit roti supaya tidak terlalu hanyir. Mak pandai buat serba-serbi makanan sendiri termasuk nuget, popia, kuah rojak, acar buah dll. Paling seronok bila tolong Mak cari buku resepi, kerana tentu ada sesuatu yang istimewa yang mahu Mak masak untuk kami.

Keesokannya saya memasak antara resepi kegemaran saya yang saya dapat daripada Mak. Sungguhpun mudah dan nampak remeh, tetapi sedap. Di bawah ini saya turunkan resepi tersebut bagi yang teringin nak makan apa yang saya makan hari Ahad lalu.

Jemput-jemput Kentang

2-3 biji kentang - potong kiub kecil
2-3 biji bawang besar - juga dipotong kiub kecil
1/2 kg tepung gandum
Dua genggam ikan bilis/udang geragau
2-3 batang daun sup yang diracik halus
1 biji telur
sedikit lada sulah
Garam secukup rasa
Air untuk mengadun

Caranya: Adunkan semua bahan di atas sehingga sebati dengan memastikan adunan tidak terlalu cair atau terlalu pekat. Paling sesuai apabila adunan tadi jika ditarik kelihatan seperti keju mozarella yang ditarik daripada piza yang panas. Gorengkan sehingga kekuningan di atas api yang sederhana. Sedia dimakan.

Tengahari itu, Mak memenuhkan hajat saya untuk makan masak lemak tempoyak. Ikan patin dari kolam Mak di belakang rumah: 3 ekor semuanya menjadi hidangan kami tengahari itu. Mak kata ikan patin ini susah nak ditangkap tetapi Alhamdulillah, sekali cedok di dasar sahaja, Mak telah dapat menangkapnya.

Oh ye, jika anda ada resepi couscous yang sedap, boleh tak beri pada saya? Yang telah diuji sedap sahaja ok? Kalau ada kesempatan, insyaallah saya akan tuliskan resepi Makloubeh, sejenis makanan arab yang sangat digemari MOH.

Sampai jumpa lagi :)

Monday 16 July 2007

Di Persimpangan




* Sila beri jawapan 14 hari dari tarikh surat ini.


"Alamak, hari ni dah 16 hb, dah terlewat la", getus saya dalam hati. Pagi ini saya baru tersedar, surat yang telah saya terima hampir 3 minggu lalu perlu dijawab segera. Dan tarikh jawapan sudah melebihi daripada waktu yang ditetapkan. Saya menyalahkan diri sendiri berkali-kali kerana tidak mempedulikan surat itu sebaik saya menerimanya. Hanya MOH yang tidak jemu-jemu mengingatkan saya tentang itu. Saya mencapai telefon bimbit dan mendail nombor yang dikehendaki. " Bolehkah saya fakskan sahaja borang ini," tanya saya. Wanita di hujung talian berkata boleh lantas memberi nombor faks yang harus dihubungi. Saya fikir, jika ada rezeki saya, mereka masih akan menerima saya. Jika tidak, pasti ada hikmahnya.

* * * * *

Di suatu petang nan damai, sedang sembang-sembang bertukar cerita:

A: Apa pendapat awak tentang blog akak?
T: Nampak macam tak telus - macam tak ada bekas dan bentuk, macam tak jadi diri sendiri... Tapi lama-lama boleh dibawa berbincang rupanya.
A: :) (tapi dia tahu saya tersengih dengar jawapan itu).

* * * * *
Minimalism: A design or style using the simplest and fewest elements to create the maximum effect. (Collins Compact Dictionary)
Minimalist design

The term minimalism is also used to describe a trend in design and architecture where in the subject is reduced to its necessary elements. Minimalist design has been highly influenced by Japanese traditional design and architecture. In addition, the work De Stijl artists is a big source of reference this kind of work. De Stijl expanded the ideas that could be expressed by using basic elements such as lines and planes organized in very particular manners.


Architect Ludwig Mies van der Rohe adopted the motto "Less is more" to describe his aesthetic tactics of flattening and emphasizing the building's frame, eliminating interior walls and adopting an open plan, and reducing the structure to a strong, transparent, elegant skin. Designer Buckminster Fuller adopted a similar saying, "Doing more with less", but his concerns were oriented towards technology and engineering rather than aesthetics. The other modern master people still observe to study reductivist ideas is Luis Barragan. In minimalism, the architectural designers pay special attention to the connection between perfect planes, elegant lighting, and careful consideration of the void spaces left over after the removal of three dimensional shapes from an architectural design.

Contemporary architects working in this tradition include John Pawson, Eduardo Souto de Moura, Alvaro Siza, Tadao Ando, Alberto Campo Baeza,Yoshio Taniguchi, Peter Zumthor, Vincent Van Duysen, Claudio Silvestrin, Michael Gabellini, and Richard Gluckman.[2]

Kredit untuk Wikipedia.

Friday 13 July 2007

Bila Mati Cinta Terhenti

Entri ini diambil dari laman Teh. Oleh kerana lirik/puisinya bagus, maka saya tampalkan juga di sini. Segala komen, boleh hantar pada Teh ye :)

Tajuk: Bila Mati Cinta Terhenti

Lagu : Razman Riza
Lirik : Mukhlis Nor

Cinta dari pilihan yang diragukan
Cinta dari pilihan yang diragukan
Tidak ada kiranya menjalar di dada dendam
Sinar nyala tiada
Bila mati cinta terhenti.

Di genggaman kini tangan direnggang
Ku sedari pilihan yang diragukan
Tidak ada kiranya menjalar di dada dendam
Bila mati cinta terhenti

Budi dalam gembira ada
Curi jalan yang di minda
Duri dalam sendi pudar daripada hati, pada harga
Budi dalam gembira ada
Curi jalan yang diredha
Duri dalam sendi pudar daripada hati dan harganya

Budi dalam gembira ada
Curi jalan yang di minda
Duri dalam sendi pudar daripada ragam bahasanya
Budi dalam gembira ada
Curi jalan yang diredha
Duri dalam sendi pudar daripada rasa bahasanya

Ku sedari tulisan yang diragakan
Tumpah darah pilihan antara resah
Tidak ada kiranya menjalar di dada yang jahat
Sinar nyala tiada
Bila mati cinta terhenti.

* * * * *

Dendam selamanya akan menyebabkan cinta mati dan terhenti.

Monday 9 July 2007

Kalau rasa gembira...

Saya sudah beli kurung batik hijau untuk majlis esok.
Saya sedang menunggu waktu untuk memulakan tugas yang berat.
Dan saya telah terima berita yang ditunggu dari Libya.

Saya sangat gembira hari ini :)

Berikut adalah komen dari IsaNai yang panjang lebar. Memandangkan isinya bagus, saya jadikan ia satu entri supaya boleh dihayati oleh orang lain. Kredit buat IsaNai yang menulis (walaupun kiranya ia sekadar 'tiru' dan 'tampal'.

Dalam meniti liku-liku kehidupan ini, kita seringkali berasa kecewa. Kecewa kerana sesuatu yang terlepas dari genggaman tangan, keinginan yang tidak kesampaian, kenyataan yang tidak dapat diterima..dan akhirnya ia mengakibatkan sesuatu yang mengganggu jiwa dan perasaan. Hidup ini ibarat sebuah belantara. Tempat kita mengejar segala keinginan dan sememangnya manusia diciptakan-Nya mempunyai kehendak dan keinginan. Namun, tidak semua yang kita inginkan akan tercapai, tidak setiap yang kita idamkan mampu menjadi realiti. Dan, bukan sesuatu yang mudah untuk menyedari dan menerima kenyataan bahawa apa yang bukan menjadi milik kita tidak perlu kita tangisi. Ramai orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: mesti berjaya, mesti bahagia atau yang lainnya. Berapa ramai orang yang berjaya tetapi lupa bahawa segalanya adalah pemberian Allah yang Maha Pemurah sehingga kejayaan itu membuatnya sombong dan bertindak mengikut nasfsunya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan tenang dan sabar sedangkan dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Apa yang memang menjadi hak kita di dunia, pasti akan Allah tunaikan. Namun apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akan mungkin kita miliki, walaupun ia mungkin telah menghampiri kita, walaupun kita telah bermati-matian mengusahakannya. Seorang mukmin tidak akan bersedih ketika ditimpa musibah, malapetaka, dan sebagainya. Tetapi dia bersyukur kepada Allah dan menjadikan musibah itu sebagai peringatan dari Allah terhadap dirinya. Oleh itu, bila seorang mukmin merasa sedih ketika ditimpa musibah, maka dia bukan mukmin sejati. Sebab, apa pun musibah yang menimpa seorang mukmin, selalu menguntungkan dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis: “Sungguh menakjubkan! Urusan orang mukmin selalu menjadi hal yang menguntungkan bagi dirinya. Dan yang demikian itu hanyalah dialami oleh seorang mukmin.” Seorang mukmin bila ditimpa kesusahan, dan dia mengingat Allah, dengan jalan itu itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yan terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya. Seorang mukmin adalah selalu mengingat Allah dalam keadaan ditimpa penderitaan yang amat sangat sekalipun, baik dengan mengucapkan tasbih, takbir, istighfar, doa mahupun dengan membaca Al-Quran, sehingga membuat jiwanya bersih, bening, perasaannya tenang dan tenteram. Rasulullah pun bersabda: “Ingat akan Allah adalah penawar kalbu,” diriwayatkan oleh Ad-Dailami oleh Anas. Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkan firman Allah SWT; “...Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui.” (QS. Al-Baqarah 216) Maka setelah ini wahai jiwa, jangan kau hanyut dalam dalam nestapa yang berpanjangan terhadap apa-apa yang terlepas dari genggamanmu, dari dakapanmu. Kita lihat di sekeliling kita, kemudian cerminlah diri sendiri – andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, mulai hari ini ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri! Manusia yang mulia adalah yang menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah hamba, benar-benar hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar-benarnya, baik secara teori mahupun praktikal. Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik bagi kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya, dan lebih dari itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan ‘kecantikan’ Maha Pemurah. Andai ternyata keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah SWT, ternyata apa yang diharapkannya esok hari tidak menjadi nyata, malah yang terjadi adalah sesuatu yang sebaliknya, maka kita mesti tetap ikhlas! Kita menerima semuanya dengan senyum yang mengembang, dengan redha yang tidak terhitung. Hidupnya hanya untuk-Nya. DIA-lah tujuan hidup, sebaik-baik tujuan hidup! Sedang yang lainnya adalah wasilah, alat, bekal, modal untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Maka, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu! Kerana, ia memang bukan milikmu! Maka, bersihkan hatimu, ikhlaslah...redha dengan ketentuan-Nya. Kerana, kita ini adalah sebenar-benar hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat kepada-Nya. Sumber rujukan : “Mengatasi Gangguan Stress” – Muhammad Thalib.


Selagi belum tiba esok hari, selagi itu blog ini akan sepi :)

Wednesday 4 July 2007

What the?


Enough of writing, I'm just gonna put pictures and more pictures. Ais kacang anyone?

Tuesday 3 July 2007

TQ


Terima kasih buat Cik I dan Cik P kerana bersusah payah mengirimkan Tim Tam Perisa Pudina dari jauh. (Kegembiraan saya tidak akan langsai hanya dengan ucapan terima kasih sahaja, seperti tikus kecil itu!)

Mahu apa-apakah dari Malaysia?

Thursday 28 June 2007

,


Saya akan meletakkan tanda koma (,) kepada blog ini buat beberapa waktu, kerana berhasrat mengurangkan pancaran radiasi sebanyak mungkin serta buat memberi laluan kepada fokus yang berbeza.
Apa pun, saya akan cuba mencatat sesuatu dari semasa ke semasa.

* * * * *

Oh ya.. dan saya sangat mahu makan Tim Tam berperisa pudina sekarang ini!

Tuesday 19 June 2007

Petanda


Sampul surat putih
Dalam "lubang merpati" di tepi pintu masuk ke bilik
Dengan setem RM 1 gambar Punai Tanah (Green Winged Pigeon)

Terkandung:
Sebuah buku tipis merah
Dengan seorang lelaki bergambar menutup mata
Hitam baju, hitam topi
Tertulis:
Sajak
Sajak
Suci

..
..
..
abdullahjones

Petanda
Harus segera ke CIMB!

Wednesday 6 June 2007

Kisah Kesaksian


Selepas kes Lina Joy, MOH tidak jemu memberitahu saya perkembangan terkini lain berkait soal perundangan negara. Katanya: Selepas ini kes Antaltuya pula akan disebut semula.

Bermulalah episod baru, dan khabarnya banyak juga watak-watak baru di dalam episod kali ini setelah watak-watak lama dilenyapkan; baik dari pihak Hakim, Peguamcara atau Peguambela.

Lalu saya cuba-cuba beringat dengan ini (maaf tidak dapat menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu kerana kitab ini di dalam Bahasa Inggeris, dan saya bimbang kalau saya menterjemahkan takut tersalah pula) :

Narrated 'Imran bin Husain r.a: Allah's Messenger sallallahu 'alahi wasallam said: " The best of my people are my generation, then their immediate followers, then their immediate followers. After them there will be people who will give (false) testimony without being asked(*), who will be treacherous and are not to be trusted, who will make vows which they do not fulfill, among whom obesity will appear." (Muttafaqun 'alaih)

* dijelaskan dengan: These are the kind of people who testify on their own in order that their reliability be established by any means, fair or unfair. These are in fact driven by an ulterior motive to establish a misleading and fictitious groundwork for the trial so that it may progress on the basis of misrepresentation and distortion of facts. These are the witnesses of the worst kind.

Hadith dipetik daripada The book of Judgement: Chapter 1: The Testimonies di dalam Bulugh al-Maram yang dikumpulkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, ditulis oleh Muhammad bin Ismail as-Sanani: Dar-us-Salam Publications (Riyadh, Saudi Arabia)

Sunday 3 June 2007

Jalan-jalan

Hari Jumaat lepas, saya memenuhi permintaan Rujhan untuk menaiki keretapi. Sudah berkali-kali diajak, setiap kali lalu di sebelah landasan keretapi apabila pulang dari tempat mengajinya. Kadang-kadang, sampai mengalirkan air mata, waktu lain merajuk sendiri apabila saya katakan "Ok, tapi bukan hari ini."

Keretapi yang kami naiki ialah KLIA Transit ke KL Sentral. Tambang untuk dewasa ialah RM 12.50 jika dari stesen terhampir rumah kami, dan RM 8.40 untuk kanak-kanak. Perjalanannya mengambil masa kira-kira 40 minit. Kami akan melalui beberapa perhentian sebelum sampai di KL Sentral.

Rujhan ternyata sangat gembira. Dalam pada gembira pun, dia masih teringatkan Itqan yang sedang menghabiskan cuti di rumah nenek. Rujhan fikir kami akan mengambil abangnya terlebih dahulu sebelum menaiki keretapi. Tetapi hari ini saya mahu jalan-jalan dengan Rujhan sahaja.

Memang begitu kaedah saya menghabiskan masa bersama anak-anak. Kadangkala bersama mereka berdua, kadangkala secara individu. Saya mahu mereka faham bahawa mereka disayangi dengan cara tersendiri, secara berseorangan atau kolektif. Aktiviti pula bergantung kepada dengan siapa saya keluar. Jika dengan Itqan, kami senang-senang sahaja menghabiskan masa di kedai buku kerana Itqan sudah boleh membaca, manakala dengan Rujhan, tentunya melayannya menaiki dari satu permainan tunggangan ke permainan lain sambil hanya melihat-lihat atau makan minum. Jika bersama-sama Itqan dan Rujhan biasanya aktiviti harus lebih terancang seperti berenang, ke Aquaria dan seumpamanya supaya mereka tidak cepat berasa bosan.




Bersama Rujhan, kami ke KLCC. Tempat yang besar, tidak begitu ramai orang pada hari bekerja, dan dekat dengan tempat kerja MOH. Kami janji mahu makan tengahari bersama lalu saya sempat berpusing-pusing sementara menanti MOH. Kali ini, saya tidak ke Kinokuniya sebagaimana biasa jika ke KLCC. Kami ke Galeri Petronas yang sedang menganjurkan 'BUMI MANUSIA : Nusantara Journey' oleh Masnoor Ramli. Ia mempamerkan hasil seni beliau dalam bentuk lukisan, fotografi dan tayangan video sewaktu menjelajah Indonesia bersama PETRONAS Adventure Team. Banyak juga soalan yang ditanya Rujhan sewaktu mengelilingi pameran tersebut: "Kenapa begitu" atau "kenapa tidak begini". Simbolik karya-karya beliau adakalanya sukar untuk difahami tetapi ada juga yang menyampaikan mesej secara terus, sebagaimana yang terhasil pada sebuah lukisan akrilik yang menunjukkan gambar dua orang kanak-kanak lelaki yang sedang menghadap horizon (seolah-olah memikirkan masa hadapan) dengan seorang daripadanya memakai kemeja dengan gambar kartun "The Incredibles" dan seorang lagi dengan tulisan "International Monetary Funding" secara 'imej-cermin', dengan tajuk karya semacam "Petaka Penjajah".

Sememangnya jalan-jalan saya dan Rujhan berhasil mendekatkan hubungan kami. Di hujung hari dalam hujan renyai, kami pulang bersama MOH dan Rujhan tertidur di kereta kerana keletihan.


Pasca-skrip: " Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghina diri, tetapi menghembus kegagahan." - HAMKA-

Thursday 31 May 2007

Bukan Cerita Buku


Cuti sekolah anak-anak tidak ke tadika. Itqan dengan tegas mahu tinggal di rumah nenek kerana sepupu baiknya juga berada di sana buat beberapa hari. Waktu saya kursus tempoh hari, Itqan tinggal di rumah nenek juga. Kemudian setelah saya habis kursus, hari pertama pulang sahaja dia sudah kelihatan sugul dan apabila ditanya rupanya dia sedang menangis. Katanya: Teringatkan sepupunya.

Sekarang giliran saya pula teringatkan Itqan. Tambahan pula saya sedang membaca buku " Love, Laughter and Parenting: The Precious Years from birth to 6 years old" oleh Steve dan Sharon Biddulph yang turut menulis " Secrets to Happy Childhood". Buku yang saya baca itu bukan berkisar tentang bagaimana menukar lampin, atau kesan sampingan imunisasi tetapi lebih kepada bagaimana menjadikan 6 tahun pertama kehidupan seorang kanak-kanak, suatu pengalaman yang berharga dan akan diingati oleh ibubapa juga.

Itqan lahir pada tahun 2001 pada musim gugur, hari Isnin sehari selepas hari ibu. Jika pernah membaca entri saya sebelum ini, ternyata musim gugur adalah musim yang sangat saya sukai dan mengasyikkan. Secara ringkas saya akan ceritakan detik-detik proses kelahiran Itqan. Malam sebelumnya kami berusrah di rumah sahabat saya. Saya masih ingat yang dia menyuruh saya makan lebih banyak daripada selalu kerana katanya nanti kalau dah berpantang, lambat lagi nak merasa masakannya. Dia masak mi goreng dan ternyata dia memang pandai memasak. Lalu, saya memang makan banyak malam itu. Pulang ke rumah juga sudah agak lewat, kira-kira jam 10 malam. Saya membayangkan yang saya harus bangun awal keesokan harinya kerana saya mempunyai kelas tutorial subjek Neonatalogi (kajian bayi baru lahir) pada jam 6.30 pagi di hospital.

Jam 1.00 pagi tiba-tiba saya berasa sakit perut yang amat sangat. Sangka saya kerana terlalu banyak makan mi goreng, tetapi lain pula rasanya kerana disertai dengan kontraksi yang sangat kuat. Saya pula serba salah mahu mengejutkan MOH kerana dia kepenatan setelah semalaman (Sabtu) sebelumnya bekerja. Saya gagahkan berjalan dan menelefon pihak hospital tempat saya bercadang untuk bersalin. Apabila ditanya berapakah kekerapan sakit saya, saya beritahu sudah 1 kali setiap 10 minit, sejak dari awal saya merasa sakit. Lalu, jururawat itu menasihatkan saya segera ke hospital. Peralatan dan pakaian telah pun saya sediakan beberapa minggu sebelumnya walaupun saya baru masuk 38 minggu pada ketika itu. Saya kejutkan MOH dan beritahu mungkin sudah masa untuk saya bersalin. Hendak dijadikan cerita air panas pula bermasalah, maka saya terpaksa bersiap-siap dengan suhu yang sejuk.

Sampai di hospital sakit saya semakin kuat dan menjadi lebih kerap. Apabila diperiksa, saya sudah pun memasuki fasa kedua kelahiran. Saya ditolak masuk dengan kerusi roda ke dalam salah satu bilik yang masih sedikit basah kerana baru dicuci. " Memang banyak kelahiran malam tadi," kata bidan saya memberitahu. Saya memang memilih bidan dan bukannya doktor kerana mahukan pembantu wanita. Saya diminta memilih sama ada mahu berbaring di katil atau duduk sahaja. Saya pilih duduk kerana saya tahu jika saya berbaring, proses itu akan menjadi lebih lambat. Saya gagahkan juga, sambil di mulut tidak putus-putus membaca apa sahaja ayat al-Quran yang terlintas. MOH setia menemani.

Kira-kira jam 4 pagi saya sudah tidak dapat duduk dengan baik dan mula berbaring. Waktu itu saya beritahu bidan yang saya terasa hendak menolak keluar bayi itu. Bidan memberitahu, saya boleh mencubanya. Dia bertanya sama ada saya mahu menggunakan apa-apa ubat penahan sakit tetapi saya sekadar menggeleng dan menekup muka saya dengan bantal untuk mencari keselesaan. Bidan meredupkan sedikit kecerahan lampu di bilik saya. Saya cuba menolak sedikit-sedikit setiap kali sakit dan kontraksi datang. Lalu tiba-tiba, saya terasa kepala bayi telah keluar sedangkan bidan masih belum sempat membuka set kelahiran untuk saya. MOH disuruh menekan butang kecemasan dan dengan serta merta seluruh kakitangan hospital telah datang ke bilik saya. Akhirnya, bidan menyambut Itqan dengan mudah sekali dan MOH telah memotong tali pusatnya. Kami ditinggalkan sendirian sambil Itqan dibacakan azan. Sejurus itu juga Itqan telah boleh menyusu.

Itqan disahkan menghadapi suhu badan yang rendah (hipotermia). Itqan perlu tidur di dalam inkubator sehingga suhunya stabil. Saya juga perlu kerap menyusukannya supaya Itqan kembali normal. Saya yakin Itqan akan menjadi lebih baik keadaannya.

Memandangkan saya bersalin di hospital tempat saya belajar, maka tidak putus-putus saya menerima kunjungan daripada teman sekuliah dan teman dari Malaysia. Saya pula perlu menjaga kesihatan sebaiknya kerana 2 minggu sahaja cuti yang diberikan kepada saya. Selepas itu saya perlu datang ke kelas seperti biasa.

Oh ye, saya mahu telefon Itqan dan bertanya khabar dia di rumah nenek. Walaupun dia sudah berusia 6 tahun, saya masih dapat mengingati detik kelahirannya. Sememangnya detik menjadi seorang ibu adalah sesuatu yang sukar digambarkan. Segala kesakitan lenyap selepas melihat bayi dalam dakapan dan disertai pula dengan kecintaan yang mencurah.

(Gambar menunjukkan Adelaide Women's and Children's Hospital tempat Itqan dilahirkan.)

Monday 21 May 2007

Kursus dan Buku Yang Sempat Diteroka

Salam hormat.

Alhamdulillah saya telah kembali dari kursus di suatu tempat di lereng bukit. Alhamdulillah kerana Tuhan beri saya kesempatan untuk menghabiskan dua buah buku tipis dengan judul " Impian Palestin" dan "Pudarnya Pesona Cleopatra". Kedua-dua buah buku ini saya beli dalam perjalanan ke tempat kursus di Nile Book Store, KL Sentral.

Buku Impian Palestin berkisar tentang beberapa watak sahabat yang berusaha untuk terus hidup dalam situasi peperangan. Nama-nama seperti Ibrahim, Nidhal, Ahmad, Reham dan Jihad merupakan watak-watak utama sedang nama-nama lain seperti Sara, Rami dan Muhammad adalah watak sampingan yang turut disebut dalam cerita ini. Apabila membaca karya terjemahan sebegini, dengan lenggok bahasa dan jalan cerita budaya lain bukanlah mudah. Walaubagaimanapun, saya tetap berusaha untuk mengetahui penghujungnya kerana saya pasti, kisah sebegini adalah satu antara jutaan kisah-kisah kehidupan dalam kancah peperangan yang perlu diceritakan pada orang lain dan sebagai satu ajakan untuk masyarakat luar (yang aman) supaya memahami kegetiran anak-anak yang berusia belasan tahun berusaha untuk kekal hidup seterusnya memberi semangat kepada orang lain untuk terus hidup.

Buku ini ditulis oleh seorang remaja perempuan bernama Randa Ghazy warganegara Itali, berketurunan Mesir yang mendapat ilham menulis selepas menyaksikan pembunuhan seorang kanak-kanak Palestin oleh askar Israel yang ditonton di kaca televisyen. Rentetan peristiwa yang menyayat hati itu, Randa telah menulis cerpen berkaitan peristiwa itu sekaligus memenangi sebuah pertandingan menulis di negaranya. Cerpen itu kemudiannya disambung menjadi sebuah novel. Olahan tulisan beliau membayangkan keupayaannya memahami konflik sebenar di Palestin dan berjaya menarik saya untuk ikut sama membayangkan kesengsaraan yang dihadapi oleh saudara-saudara di Palestin. Yang paling mengesankan adalah apabila watak-watak di dalam cerita ini seringkali menyangka yang dunia sebenarnya tidak pernah peduli akan kesengsaraan mereka kerana sehingga kini, kemerdekaan mereka seolah-olah tidak akan pernah terjadi dan tangisan mereka seringkali dipandang sepi.

Bagi yang berupaya menjiwai, karya yang sarat dengan cerita kesedihan dan tangisan, silalah membaca buku ini. Bagi yang tidak gemarkan cerita berunsur kekerasan dan kepiluan seperti ini juga mesti membacanya kerana dengan cara ini kita akan dapat memahami dengan jelas perjuangan penduduk Palestin yang menderita di negara sendiri. Berhentilah menjadi manusia yang menafikan kemelut dunia mereka. Baca dan sikapi situasi mereka dengan sebaiknya.




* * * * *


Buku kedua yang sempat saya baca ialah salah satu antara karya Kang Abik dan merupakan antara karya terawal yang dihasilkan sebelum Ayat-ayat Cinta. Buku yang saya beli itu adalah hasil terjemahan ke Bahasa Malaysia yang merupakan cetakan pertama tahun 2007. Di dalam buku itu, terdapat 2 buah kisah iaitu Pudarnya Pesona Cleopatra dan Setitis Embun Cinta Niyala.
Tentang Pudarnya Pesona Cleopatra: Andaikata anda pernah membaca AAC, mungkin terfikir apakah tiada kisah cinta yang tidak dipinta atau kasih yang bertepuk sebelah tangan? Kang Abik justeru telah menulis tentangnya sebelum kisah yang berkesudahan indah seperti AAC. Di dalam PPC diceritakan tentang seorang pemuda Indonesia yang telah dijodohkan dengan seorang gadis bernama Raihana oleh ibunya. Beliau menerima dengan terpaksa dan menghadapi kesukaran menerima isterinya. Kisah dilanjutkan dengan perbuatan-perbuatannya terhadap isterinya yang akhirnya mengundang kekesalan dalam diri.

Pelajaran ringkas yang saya dapati daripada kisah ini adalah menghargai apa yang kita ada lebih daripada menginginkan apa yang kita tidak punya. Selain itu, seorang lulusan pengajian agama pun jika tidak dituntun dengan cahaya kebenaran sukar untuk melihat dengan mata hati sama seperti manusia lain. Seringkali kita akan ditegur oleh Tuhan atas sikap keterlaluan kita dengan perantaraan orang lain, baik dalam bentuk pengalaman ataupun nasihat. Oleh itu, apabila kita mendengar atau membaca cerita orang lain, bererti ada nasihat dan iktibar untuk kita dan bukannya dibaca dengan pandangan kosong semata-mata.

Kisah kedua iaitu Setitis Embun Cinta Niyala pula merupakan kisah ringkas seorang bakal doktor bernama Niyala yang mengalami hari-hari getir kerana terpaksa menerima lamaran seorang pemuda kampungnya yang bersifat liar kerana hutang piutang ayah beliau menyekolahkannya sehingga ke peringkat universiti. Kisah yang agak sinonim dengan masyarakat Malaysia kerana saya pernah juga terbaca cerita sebegini di dalam novel atau surat khabar, yang kadang-kadang mengakibatkan penyesalan seumur hidup. Bagi Niyala, keputusan ayahnya seolah-olah berupaya menamatkan riwayat hidupnya. Namun beliau tetap berusaha berdoa agar Tuhan memberikannya jalan keluar. Kisah tamat dengan perkahwinan Niyala. Siapa akhirnya suami Niyala adalah untuk kita cari dengan membaca SECN.

Kedua-dua cerita mungkin bersifat biasa sahaja (tiada yang fenomenal) bagi yang pernah membaca karya-karya Kang Abik. Bagi saya, kebolehan beliau mempelbagaikan penulisan di dalam tema yang sama iaitu cinta adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Pada akhirnya cinta Tuhan itu yang kekal abadi.

Monday 14 May 2007

Antara Cerpen dan Puisi



Saya baru selesai membaca "Kalau Kita Menjadi Kayu" yang mengundang pertanyaan daripada Itqan " Macam mana orang boleh jadi kayu Ummi?". Ia merupakan himpunan cerpen, puisi dan artikel sastera yang telah disenarai pendek sebagai penerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - ExxonMobil 2005 .

Di dalam buku ini termuat 10 karya cerpen, 10 puisi dan 3 artikel sastera. Cerpen yang paling saya suka ialah Hikayat Naga Gunung Cimayu hasil Ghazali Lateh. Puisi pula saya tersentuh dengan Al-Andalus Menangis karya pena Fahd Razy.

Kepada yang ingin baca tetapi belum mempunyainya, boleh dapatkan daripada Ujana Ilmu kerana saya juga mendapatkannya dari Puan Nisah Haron.

Selamat Membaca.

Hari Ibu


Semalam Hari Ibu. Selain melayan anak-anak yang tidak berapa sihat, saya berbalasan pesanan ringkas yang tidak putus-putus seputar tema yang sama. Ibu pula pagi-pagi lagi sudah mendoakan anak-anaknya yang sudah bergelar ibu untuk menjadi ibu mithali.

"Jom beli bunga untuk ibu?" Mesej ringkas untuk Pak Uda.
" Minta tolong Mak Teh" jawab Pak Uda.

Lalu Mak Teh berkenan menyempurnakan hajat adik-beradiknya kerana beliau tinggal paling hampir dengan ibu. Sejambak bunga kekwa pelbagai warna, tanda ingatan buat ibunda tercinta.


* * * * *


Kalau ditanya apakah tabiat ibu yang paling kuat dalam diri saya, jawapannya ialah membaca. Jadi saya memang sangat berterima kasih pada ibu kerana mendidik saya untuk rajin membaca. Buku-buku kami berpusing keliling antara adik beradik. Selalunya ibu yang paling sabar menanti kalau kami berebut mahu membaca dahulu baik novel, majalah atau buku-buku ilmiah lainnya.


Apa tabiat ibu anda yang menjadi ikutan anda?

Hari Lahir - Keenam


Mohon doa buat Itqan untuk hari lahirnya yang keenam.

Pagi ini jamu kek gambar badut untuk teman-teman tadikanya, seumpama gambar hiasan di atas. Ummi bawa kamera tetapi tertinggal dalam kereta, D'uh!


Thursday 10 May 2007

Benarkah?


Saya sudah lama mahu menulis sesuatu tentang buku Surat-surat Perempuan Johor karya penulis terkenal Faisal Tehrani yang saya sudahi minggu lalu sebelum memulai Ketika Cinta Bertasbih. Buku itu saya dapatkan semasa Seminar Pencinta Buku di Perpustakaan Shah Alam daripada Puan Nisah Haron.

Saya membeli buku itu kerana tertarik dengan tajuk dan ulasan di belakangnya. Buku yang digarap berdasarkan kisah benar dan FT pula mencari informasi sehingga ke Turki khabarnya. Buku yang memenangi antara hadiah sempena Sayembara Menulis Novel kisah sejarah Johor oleh Yayasan Warisan Johor (kalau tidak silap saya). Sudah lama saya tidak membuka karya bukan fiksyen, maka novel ini saya rasa mungkin dekat dengan non-fiksyen walaupun masih merupakan karya fiksyen.

Apabila saya membaca buku ini, persoalan yang timbul di dalam benak saya adalah " Benarkah?". Benarkah pada zaman kehebatan kerajaan Johor yang merupakan kerajaan terakhir yang jatuh ke tangan penjajah, negeri ini mempunyai hubungan rapat dengan khilafah Uthmaniyyah? Saya telusuri maklumat di dalamnya dengan saksama terutamanya berkaitan dengan rujukan-rujukan yang diambil bagi memperkuatkan fakta itu. Yang menarik, pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar (Bapa pemodenan Johor) dan kemudiannya Sultan Ibrahim, Johor dikatakan mengamalkan undang-undang syariah Islam yang dibukukan di dalam Majalah Ahkam Johor (sama seperti Majalah Ahkam yang dikeluarkan oleh Khilafah Uthmaniyyah).
Kesimpulan daripada pembacaan saya ini ialah saya perlu mencari lebih banyak pengetahuan tentang fakta-fakta yang diketengahkan di dalam buku tersebut. Kalau dapat, saya mahu lihat sendiri Majalah Ahkam Johor itu.

Saya suka bahasa lama di dalam warkah-warkah yang tertulis di dalam novel ini. Saya yakin ianya hampir sama dengan tulisan bahasa orang lama. Paling menarik, bunga bahasa dan santun perkataan-perkataannya, berlapik dan berlapis tetapi tidak mengubah sedikit pun maksud jika diteliti. Ia membuatkan saya faham, bahawa untuk memperkatakan sesuatu dalam bahasa yang sopan tidaklah sukar, dan tidak juga berbelit-belit. Terpulang kepada kita, sama ada mahu mengekalkan kehalusan lenggok bahasa itu, atau lebih berbangga dengan cara percakapan kita hari ini yang bercampur aduk dan tidak sedikit pula berbunyi sumbang.

Bagi yang sukakan novel berbentuk sejarah, bagus mencuba baca novel ini. Sekurang-kurangnya, ia boleh menjadi pencetus keinginan memperdalam pengetahuan tentang sejarah bangsa sendiri dan kesannya kepada hidup kita hari ini.