Sunday, 3 June 2007

Jalan-jalan

Hari Jumaat lepas, saya memenuhi permintaan Rujhan untuk menaiki keretapi. Sudah berkali-kali diajak, setiap kali lalu di sebelah landasan keretapi apabila pulang dari tempat mengajinya. Kadang-kadang, sampai mengalirkan air mata, waktu lain merajuk sendiri apabila saya katakan "Ok, tapi bukan hari ini."

Keretapi yang kami naiki ialah KLIA Transit ke KL Sentral. Tambang untuk dewasa ialah RM 12.50 jika dari stesen terhampir rumah kami, dan RM 8.40 untuk kanak-kanak. Perjalanannya mengambil masa kira-kira 40 minit. Kami akan melalui beberapa perhentian sebelum sampai di KL Sentral.

Rujhan ternyata sangat gembira. Dalam pada gembira pun, dia masih teringatkan Itqan yang sedang menghabiskan cuti di rumah nenek. Rujhan fikir kami akan mengambil abangnya terlebih dahulu sebelum menaiki keretapi. Tetapi hari ini saya mahu jalan-jalan dengan Rujhan sahaja.

Memang begitu kaedah saya menghabiskan masa bersama anak-anak. Kadangkala bersama mereka berdua, kadangkala secara individu. Saya mahu mereka faham bahawa mereka disayangi dengan cara tersendiri, secara berseorangan atau kolektif. Aktiviti pula bergantung kepada dengan siapa saya keluar. Jika dengan Itqan, kami senang-senang sahaja menghabiskan masa di kedai buku kerana Itqan sudah boleh membaca, manakala dengan Rujhan, tentunya melayannya menaiki dari satu permainan tunggangan ke permainan lain sambil hanya melihat-lihat atau makan minum. Jika bersama-sama Itqan dan Rujhan biasanya aktiviti harus lebih terancang seperti berenang, ke Aquaria dan seumpamanya supaya mereka tidak cepat berasa bosan.




Bersama Rujhan, kami ke KLCC. Tempat yang besar, tidak begitu ramai orang pada hari bekerja, dan dekat dengan tempat kerja MOH. Kami janji mahu makan tengahari bersama lalu saya sempat berpusing-pusing sementara menanti MOH. Kali ini, saya tidak ke Kinokuniya sebagaimana biasa jika ke KLCC. Kami ke Galeri Petronas yang sedang menganjurkan 'BUMI MANUSIA : Nusantara Journey' oleh Masnoor Ramli. Ia mempamerkan hasil seni beliau dalam bentuk lukisan, fotografi dan tayangan video sewaktu menjelajah Indonesia bersama PETRONAS Adventure Team. Banyak juga soalan yang ditanya Rujhan sewaktu mengelilingi pameran tersebut: "Kenapa begitu" atau "kenapa tidak begini". Simbolik karya-karya beliau adakalanya sukar untuk difahami tetapi ada juga yang menyampaikan mesej secara terus, sebagaimana yang terhasil pada sebuah lukisan akrilik yang menunjukkan gambar dua orang kanak-kanak lelaki yang sedang menghadap horizon (seolah-olah memikirkan masa hadapan) dengan seorang daripadanya memakai kemeja dengan gambar kartun "The Incredibles" dan seorang lagi dengan tulisan "International Monetary Funding" secara 'imej-cermin', dengan tajuk karya semacam "Petaka Penjajah".

Sememangnya jalan-jalan saya dan Rujhan berhasil mendekatkan hubungan kami. Di hujung hari dalam hujan renyai, kami pulang bersama MOH dan Rujhan tertidur di kereta kerana keletihan.


Pasca-skrip: " Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghina diri, tetapi menghembus kegagahan." - HAMKA-

5 comments:

CerminDiri said...

salam kehidupan,
menarik kata2 di bawah tue seolah2 memerli insan masa kini.

Chrysalis said...

Salam kembali Sdr.Cermin,

Saya menulisnya untuk mengingatkan diri saya dan anak-anak saya apabila mereka sudah boleh membaca tulisan-tulisan saya.

Anonymous said...

salam saudari

Oh, sungguh menarik tulisan akak ni. Izinkan saya meletakkan linknya ya.

Chrysalis said...

Sdr al-Qasam: Dipersilakan memaut dengan segala hormatnya. Yang baik buat ingatan, yang buruk buat peringatan.

Anonymous said...

:)

sekali sekala ingin ku dengar kisah berjalan bersama MOH. Atau ianya satu rahsia?