Saya sudah lama mahu menulis sesuatu tentang buku Surat-surat Perempuan Johor karya penulis terkenal Faisal Tehrani yang saya sudahi minggu lalu sebelum memulai Ketika Cinta Bertasbih. Buku itu saya dapatkan semasa Seminar Pencinta Buku di Perpustakaan Shah Alam daripada Puan Nisah Haron.
Saya membeli buku itu kerana tertarik dengan tajuk dan ulasan di belakangnya. Buku yang digarap berdasarkan kisah benar dan FT pula mencari informasi sehingga ke Turki khabarnya. Buku yang memenangi antara hadiah sempena Sayembara Menulis Novel kisah sejarah Johor oleh Yayasan Warisan Johor (kalau tidak silap saya). Sudah lama saya tidak membuka karya bukan fiksyen, maka novel ini saya rasa mungkin dekat dengan non-fiksyen walaupun masih merupakan karya fiksyen.
Apabila saya membaca buku ini, persoalan yang timbul di dalam benak saya adalah " Benarkah?". Benarkah pada zaman kehebatan kerajaan Johor yang merupakan kerajaan terakhir yang jatuh ke tangan penjajah, negeri ini mempunyai hubungan rapat dengan khilafah Uthmaniyyah? Saya telusuri maklumat di dalamnya dengan saksama terutamanya berkaitan dengan rujukan-rujukan yang diambil bagi memperkuatkan fakta itu. Yang menarik, pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar (Bapa pemodenan Johor) dan kemudiannya Sultan Ibrahim, Johor dikatakan mengamalkan undang-undang syariah Islam yang dibukukan di dalam Majalah Ahkam Johor (sama seperti Majalah Ahkam yang dikeluarkan oleh Khilafah Uthmaniyyah).
Kesimpulan daripada pembacaan saya ini ialah saya perlu mencari lebih banyak pengetahuan tentang fakta-fakta yang diketengahkan di dalam buku tersebut. Kalau dapat, saya mahu lihat sendiri Majalah Ahkam Johor itu.
Saya suka bahasa lama di dalam warkah-warkah yang tertulis di dalam novel ini. Saya yakin ianya hampir sama dengan tulisan bahasa orang lama. Paling menarik, bunga bahasa dan santun perkataan-perkataannya, berlapik dan berlapis tetapi tidak mengubah sedikit pun maksud jika diteliti. Ia membuatkan saya faham, bahawa untuk memperkatakan sesuatu dalam bahasa yang sopan tidaklah sukar, dan tidak juga berbelit-belit. Terpulang kepada kita, sama ada mahu mengekalkan kehalusan lenggok bahasa itu, atau lebih berbangga dengan cara percakapan kita hari ini yang bercampur aduk dan tidak sedikit pula berbunyi sumbang.
Bagi yang sukakan novel berbentuk sejarah, bagus mencuba baca novel ini. Sekurang-kurangnya, ia boleh menjadi pencetus keinginan memperdalam pengetahuan tentang sejarah bangsa sendiri dan kesannya kepada hidup kita hari ini.
7 comments:
sayang, banyak sudah buku demi buku terbaru di malaysia bayu lambat dapat ikuti...
doakan bayu lulus ok :)
Ini antara beberapa Buku Faisal Tehrani yang saya masih belum baca.
Dengar cerita akan diulangterbit dengan bentuk dan cetakan yang lebih bagus...
begitulah penangan FT.. hasil karya beliau memang buat kita terfikir.. kalaupun tak terbuka kotak tanya.
akak sudah belek 1515? kisah nyemah mulya lagi menimbulkan persoalan 'benarkah'? cerita pembebasan wash1ngt0n DC sebelum membebaskan baitulm@qdis dalam 1511H juga mengujakan. :)
Bayu: Bittaufiq wannajah Insyaallah! Man Jadda wajada.
JR: Cepat beli! Atau Tuan mahu tungu buku yang diulang cetak sahaja? Kalau lebih bagus, boleh sahaja beli satu lagi.
Intan: Salam Kenal. Ada beberapa buah sahaja buku FT yang telah akak punyai iaitu Advencer Si Peniup Ney dan Tunggu Teduh Dulu, selain Surat-surat Perempuan Johor. Sudah lama berhajat membaca 1515 dan 1511H, insyaallah.
salam kenal?
saya ingat akak cam url itu.. walau tidak kenal.. hehe.
buku FT senang sahaja mahu cari di ujana ilmu. saya mahu cari 'bila tuhan berbicara' pula nanti.
-intan melben-
Intan.. Ada dua gadis bernama Intan yang akak tahu tapi belum pernah bersua di Bumi Kanggaru tu, satu awak dan satu lagi di Adelaide :) So satu Intan Melben dan satu Intan Adelaide lah!
hehe.. intan adelaide saya pun penah dengar nama saja.
intan di melben ni sudah 2-3 orang juga saya rasa. mmg boleh konpius dibuatnya.
Post a Comment