Tuesday, 4 September 2007

LOVE is CINTA

Sebenarnya saya ingin benar menulis sesuatu yang khusus untuk Teh kerana semenjak akhir-akhir ini, kami menjadi begitu akrab lewat panggilan telefon dan sms yang telah dihantar, juga yang telah diterima, meliputi pelbagai kisah masyarakat, lawak sekolah rendah dan cerita tentang penulis dan bidang penulisan. Amat sedikit daripadanya berunsur peribadi, apatah lagi yang berkaitan dengan isu yang tidak relevan. Walaupun saya telah cuba untuk menulis tentang tips menjaga kecantikan wajah (atau lebih tepat kebersihan), tetapi rasanya elok cerita-cerita itu saya hantarkan kepada Teh melalui sms dan bukannya di sini (takut kena gelak kuat-kuat dengan pakar kecantikan!)


Walaubagaimanapun, untuk kesekian kalinya, saya tidak boleh memerah otak, menandingi penulisan Teh, maka selain cerita resepi ayam masak kicap yang masih terhutang dengan Teh, saya akan menulis tentang aktiviti saya sepanjang cuti panjang yang lalu.


Pada malam menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 tahun, saya telah melenguhkan kaki kerana melawat Alamanda Putrajaya dengan hasrat membeli sepasang kasut baru berwarna hitam. (Kasut warna hitam kesayangan saya yang telah rosak dan tidak dapat dibaiki lagi telah tidak berganti dengan warna yang serupa melainkan dengan warna merah dan cokelat). Namun malangnya, saya tidak berjumpa dengan kasut yang menarik hati saya (dan tidak melemahkan poket saya), lalu wang saya terluak dengan membeli dua buah buku di MPH bertajuk Virus Jihad (Antologi cerpen sempena peraduan menulis puisi dan cerpen berunsur Islam kali ke-X terbitan DBP) yang berharga RM 15 dan Selamat Malam Anakku, Kisah daripada Al-quran untuk si kecil (yang berharga RM 30+). Selain itu, saya membeli-belah juga di Miss T iaitu kedai aksesori yang banyak barang berwarna merah jambu. Saya melihat banyak baju bayi yang dijual dengan diskaun di beberapa kedai di sana tetapi belum ada perasaan yang cukup kuat untuk membelinya.


Pulang bersama anak-anak, kami melalui jalan sebelah belakang Putrajaya yang selalunya sangat suram juga tidak banyak kenderaan. Tetapi malam itu, saya sedikit menyesal melaluinya kerana jalanraya sangat sesak kerana orang ramai sesuka hati meletak kenderaan di bahu jalan, lorong paling kiri dan akhirnya sehingga ke lorong tengah (apabila berhampiran dengan PICC) kerana hendak menyaksikan pertunjukan bunga api sempena menyambut kemerdekaan ke-50. Maka pada pendapat saya, merdeka sungguh jiwa mereka yang menyusahkan orang lain sebegini rupa!


31 Ogos 2007.
Saya terpanggil membuat sedikit 'spring cleaning' dalam rumah dengan menyisihkan baju keluarga yang sudah tidak digunakan lagi dan yang seangkatan dengannya. Tengahari, kami pulang ke rumah Mak kerana ada kenduri. Mak masak mee goreng dengan ayam goreng berempah dan menempah kuih muih seperti talam berlauk. Saya menanggung tugas sebagai penyambut tetamu dan tukang jaga air.


Malamnya kami melawat seorang saudara di SMC. Sejuknya bilik itu walaupun penghawa dingin diletakkan pada suhu 30 darjah. Saya kira technician air-con tidak membuat PPM dengan tepat, kerana suhunya tentu lebih rendah daripada 20 darjah selsius!

1 September 2007.
Pagi-pagi lagi saya sudah menunggu komuter untuk ke KL. Destinasi: KL Sentral singgah sebentar membeli nasi goreng (yang tiada sotong :)) dan air tembikai susu untuk dibuat sarapan kemudian naik LRT ke KLCC. Berjalan laju terus ke Masjid as-Syakirin untuk ini:





Terima kasih kepada sahabat saya Nur yang sudi datang setelah saya mengajak beliau dan tahniah kerana sudah hamil 5 minggu. Ustaz Zamri (TV9) memang bijak memberi huraian dan tidak ketingalan Ustazah Teh yang banyak memberi kalimah-kalimah baru di dalam forum tersebut. Ina Naim kelihatan lebih kecil daripada yang saya lihat di akhbar atau TV dan Suhaimie memang sedap suaranya ketika mendendangkan Pesona Zulaikha dan Kias Cinta. Kesimpulan daripada sesi forum ini, boleh dihayati dengan mendengarkan lagu Bahana Cinta oleh Wadi-L-Jadid (juga memuatkan Rintihan Merentas Benua).


Pulang tengahari, saya bergegas ke Hotel Sri Malaysia, PD kerana perlu merasmikan kursus anjuran jabatan, dan berakhir keesokan harinya.

Terima kasih buat Ibu Long kerana bersusah payah mengirimkan tamar, kopiah dan pakaian untuk kami tidak ketinggalan air zam-zam.


Saya letih bercuti panjang, kerana banyak yang perlu dilakukan, tetapi apalah gunanya hari-hari cuti jika tidak diisi?

1 comment:

Unknown said...

mashaAllah.akak merasmikan kursus jabatan ke? ni mesti dah jadi orang besar..Boleh share pengalaman skop kerja akak?