Monday, 21 May 2007

Kursus dan Buku Yang Sempat Diteroka

Salam hormat.

Alhamdulillah saya telah kembali dari kursus di suatu tempat di lereng bukit. Alhamdulillah kerana Tuhan beri saya kesempatan untuk menghabiskan dua buah buku tipis dengan judul " Impian Palestin" dan "Pudarnya Pesona Cleopatra". Kedua-dua buah buku ini saya beli dalam perjalanan ke tempat kursus di Nile Book Store, KL Sentral.

Buku Impian Palestin berkisar tentang beberapa watak sahabat yang berusaha untuk terus hidup dalam situasi peperangan. Nama-nama seperti Ibrahim, Nidhal, Ahmad, Reham dan Jihad merupakan watak-watak utama sedang nama-nama lain seperti Sara, Rami dan Muhammad adalah watak sampingan yang turut disebut dalam cerita ini. Apabila membaca karya terjemahan sebegini, dengan lenggok bahasa dan jalan cerita budaya lain bukanlah mudah. Walaubagaimanapun, saya tetap berusaha untuk mengetahui penghujungnya kerana saya pasti, kisah sebegini adalah satu antara jutaan kisah-kisah kehidupan dalam kancah peperangan yang perlu diceritakan pada orang lain dan sebagai satu ajakan untuk masyarakat luar (yang aman) supaya memahami kegetiran anak-anak yang berusia belasan tahun berusaha untuk kekal hidup seterusnya memberi semangat kepada orang lain untuk terus hidup.

Buku ini ditulis oleh seorang remaja perempuan bernama Randa Ghazy warganegara Itali, berketurunan Mesir yang mendapat ilham menulis selepas menyaksikan pembunuhan seorang kanak-kanak Palestin oleh askar Israel yang ditonton di kaca televisyen. Rentetan peristiwa yang menyayat hati itu, Randa telah menulis cerpen berkaitan peristiwa itu sekaligus memenangi sebuah pertandingan menulis di negaranya. Cerpen itu kemudiannya disambung menjadi sebuah novel. Olahan tulisan beliau membayangkan keupayaannya memahami konflik sebenar di Palestin dan berjaya menarik saya untuk ikut sama membayangkan kesengsaraan yang dihadapi oleh saudara-saudara di Palestin. Yang paling mengesankan adalah apabila watak-watak di dalam cerita ini seringkali menyangka yang dunia sebenarnya tidak pernah peduli akan kesengsaraan mereka kerana sehingga kini, kemerdekaan mereka seolah-olah tidak akan pernah terjadi dan tangisan mereka seringkali dipandang sepi.

Bagi yang berupaya menjiwai, karya yang sarat dengan cerita kesedihan dan tangisan, silalah membaca buku ini. Bagi yang tidak gemarkan cerita berunsur kekerasan dan kepiluan seperti ini juga mesti membacanya kerana dengan cara ini kita akan dapat memahami dengan jelas perjuangan penduduk Palestin yang menderita di negara sendiri. Berhentilah menjadi manusia yang menafikan kemelut dunia mereka. Baca dan sikapi situasi mereka dengan sebaiknya.




* * * * *


Buku kedua yang sempat saya baca ialah salah satu antara karya Kang Abik dan merupakan antara karya terawal yang dihasilkan sebelum Ayat-ayat Cinta. Buku yang saya beli itu adalah hasil terjemahan ke Bahasa Malaysia yang merupakan cetakan pertama tahun 2007. Di dalam buku itu, terdapat 2 buah kisah iaitu Pudarnya Pesona Cleopatra dan Setitis Embun Cinta Niyala.
Tentang Pudarnya Pesona Cleopatra: Andaikata anda pernah membaca AAC, mungkin terfikir apakah tiada kisah cinta yang tidak dipinta atau kasih yang bertepuk sebelah tangan? Kang Abik justeru telah menulis tentangnya sebelum kisah yang berkesudahan indah seperti AAC. Di dalam PPC diceritakan tentang seorang pemuda Indonesia yang telah dijodohkan dengan seorang gadis bernama Raihana oleh ibunya. Beliau menerima dengan terpaksa dan menghadapi kesukaran menerima isterinya. Kisah dilanjutkan dengan perbuatan-perbuatannya terhadap isterinya yang akhirnya mengundang kekesalan dalam diri.

Pelajaran ringkas yang saya dapati daripada kisah ini adalah menghargai apa yang kita ada lebih daripada menginginkan apa yang kita tidak punya. Selain itu, seorang lulusan pengajian agama pun jika tidak dituntun dengan cahaya kebenaran sukar untuk melihat dengan mata hati sama seperti manusia lain. Seringkali kita akan ditegur oleh Tuhan atas sikap keterlaluan kita dengan perantaraan orang lain, baik dalam bentuk pengalaman ataupun nasihat. Oleh itu, apabila kita mendengar atau membaca cerita orang lain, bererti ada nasihat dan iktibar untuk kita dan bukannya dibaca dengan pandangan kosong semata-mata.

Kisah kedua iaitu Setitis Embun Cinta Niyala pula merupakan kisah ringkas seorang bakal doktor bernama Niyala yang mengalami hari-hari getir kerana terpaksa menerima lamaran seorang pemuda kampungnya yang bersifat liar kerana hutang piutang ayah beliau menyekolahkannya sehingga ke peringkat universiti. Kisah yang agak sinonim dengan masyarakat Malaysia kerana saya pernah juga terbaca cerita sebegini di dalam novel atau surat khabar, yang kadang-kadang mengakibatkan penyesalan seumur hidup. Bagi Niyala, keputusan ayahnya seolah-olah berupaya menamatkan riwayat hidupnya. Namun beliau tetap berusaha berdoa agar Tuhan memberikannya jalan keluar. Kisah tamat dengan perkahwinan Niyala. Siapa akhirnya suami Niyala adalah untuk kita cari dengan membaca SECN.

Kedua-dua cerita mungkin bersifat biasa sahaja (tiada yang fenomenal) bagi yang pernah membaca karya-karya Kang Abik. Bagi saya, kebolehan beliau mempelbagaikan penulisan di dalam tema yang sama iaitu cinta adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Pada akhirnya cinta Tuhan itu yang kekal abadi.

8 comments:

Unknown said...

Salam,

Kedai buku Nile di KL Sentral tu antara kedai buku yang saya suka singgah jika berkesempatan. Banyak koleksi bukunya dan selalu ada jualan murah buku-buku lama.

Chrysalis said...

Kedai buku ni sedang direnovasi. Jadi tak banyak buku yang dipamerkan.

Anonymous said...

Nampaknya, saya dan En. Jiwa menyukai tempat yg sama. Selain dari FB saya juga suka singgah di Nile Book kt KL Sentral tu, dan lepak-lepak kat depan tu sambil membaca.

Kak Farah,
terima kasih utk Impian Palestine. Kat mana nk dapatkan buku tu?

Chrysalis said...

Sama-sama Teh. Buku tu boleh cari di Kedai Buku Nil di KL Sentral itulah. Terletak di rak paling atas betul-betul berhadapan dengan kaunter juruwang.

Anonymous said...

Tidak tahu bagaimana mahu keluar?

Cari [1] jalan apakah yang dapat menghubungkan antara teori, isi ilmu dan perbahasan dalam kumpulan diskusi dengan persekitaran negara/global/umat Islam dan [2] fikirkan/kerjakan apakah yang kita (Sdri, rakan2) boleh lakukan untuk menjadikan wacana menjadi "praxis" berdasarkan minat (cinta) yang mendalam, keperluan kerjaya Sdri dan juga minat rakan2.

Maksud saya, jangan jadikan tema2 diskusi sekadar "ruang sembang" yang jauh daripada diri sendiri; ambillah tanggungjawab memikul amanah untuk memperbaiki (reformasi) masyarakat dengan slogan "baikilah diri sendiri, dan serulah orang lain."

Dan, bersifat terbuka, belajar daripada kekuatan orang lain, termasuk bukan Islam, dan berusahalah untuk mencapai tingkat tinggi (cemerlang) dalam bidang pemikiran, keilmuan dan kerjaya ... dan seterusnya berbuat baiklah sesama manusia.

Begitulah ringkasnya....

[Usrah, diskusi, sembang, forum] sekadar jalan pintas yang tidak berjaya untuk merancakkan kegiatan berfikir.

Usrah [wacana] harus melalui pengamatan, perenungan dan peresahan yang secukupnya.

Kemudian anak muda berdiskusi, di mana-mana tidak menjadi isu, baik di bilik empat segi atau di meja warung.

Peresahan [yakni: tenaga di dalam diri untuk berjuang mengubah masyarakat] itu nanti akan menimbulkan kerasaan yang sama.

Kerasaan untuk tidak sanggup menampung keresahan batin [yakni: prihatin pada nasib bangsa/ummah] lebih lama.

Lalu, kita pun bertemu, berdiskusi, berdebat dan berwacana. Idea akan sangat rancak tingkah-meningkah, seolah-olah kerinduan lama yang baru terubat.

Dalamnya idea untuk seorang muda harus seperti dalamnya cinta.

Anonymous said...

Maksudnya lagi, kita mesti sanggup berkorban, bekerja keras.

Kalau orang baca 3 buku, kita kena baca 30 buku (pelbagai bidang ---> biar fikiran luas, lapang); orang tidur banyak, kita tidur sedikit; orang jadi "katak bawah tempurung", kita kena bergaul dengan macam2 kelompok; orang cakap benda yang sama, yang sudah kita ketahui, kita cakap dengan sisi-sisi pandang yang baru, yang disemak semula (bukan stereotype, cliche).

Majukan diri, jadilah manusia cemerlang dan berbuat baik, simpatilah pada sesama manusia. Tolonglah bangsa ini menjadi bangsa yang tinggi & bermaruah di pentas globalisasi.

Apakah tidak mungkin? Mungkin ... jalannya sudah luas terbentang, mahu lalu atau tidak. Itu sahaja pilihannya... kerana ada sesetengah orang hanya mahu jadi "macam orang lain."

Kami di Komunite Seni Jalan Telawi tidak mahu jadi seperti orang lain!

Fathi Aris Omar, faomar@yahoo.com

CerminDiri said...

salam kehidupan,
memang anda peminat sastera ke?.....banyak novel nampaknya yang dah dibaca.

Chrysalis said...

Pak Fathi: Terima kasih atas sumbang-sarannya. Diskusi memang patut berlaku di mana-mana, selalunya utk saya di atas kenderaan bersama keluarga dan sahabat. Saya suka dengan kata-kata:

"Dalamnya idea untuk seorang muda harus seperti dalamnya cinta"...

cuma kadang-kadang saya tidak pandai menyuarakan idea jadi pendapat akan kelihatan cetek dan tidak cukup masak. Harus banyak belajar lagi.

Cermin: Saya suka baca buku, tidak kira jenis apa. Novel juga suka. Terima kasih kerana sudi melawat.