Friday 23 February 2007

Kembara Silaturrahim

"Nak letak tajuk apa dalam entri jalan-jalan kita ni?", tanya saya pada MOH, sedang dalam kepala saya mencongak-congak bilakah dapat saya tuliskan sesuatu mengenai perjalanan kami sempena cuti umum baru-baru ini. Seperti biasa MOH hanya akan tersenyum dan bertanya saya kembali, "Tajuk apa yang sesuai?", dan bermakna saya perlu membuat pilihan sendiri dan MOH percaya dengan pilihan saya itu baik, kalau pun bukan yang terbaik.

Perjalanan yang panjang dan meletihkan bermula seawal sebelum dinihari hari Jumaat. Bukan! Bukan kami ke P Pinang pada hari Jumaat tetapi keletihan telah terasa kerana sehari sebelum itu Rujhan demam panas. Bibirnya kemerahan dan air liurnya mengalir keluar sekali-sekala. Saya meraba-raba di bahagian bawah rahangnya, "Sah.. Acute Tonsillitis lagi ni", dan apabila mulutnya terbuka luas, tonsil di kiri kanan dinding tekak kelihatan garang dan merah. Saya membawanya ke klinik pada malam Jumaat itu. Walaupun suhunya masih rendah, saya tidak mahu mengambil mudah tentang masalah Rujhan. Cukuplah sekali dia dimasukkan ke wad kerana mengalami kekeringan badan (Dehydration) akibat masalah yang sama. Sudahlah tak boleh menelan, muntah-muntah pula kerana batuk yang berpanjangan. Terbayang-bayang saat dia tidak mahu baring di atas katil kerana ketakutan tinggal di Wad 6B, dan kesakitan yang dirasai setiap kali ubat antibiotik disuntik ke dalam branula.

Pagi itu saya harus ke tempat kerja. Rujhan tidak boleh saya biarkan di tadika. Keadaan demam yang naik mendadak membuatkan saya lebih risau. Takut Demam Denggi, kerana dua tiga yang lalu ada kenderaan kesihatan datang membuat semburan di kawasan taman perumahan kami. Kebetulan pula ada sahabat meminta tolong "melihat-lihat" assignment yang mesti dihantar pagi itu. Mahu tidak mahu terpaksa saya bawa Rujhan ke tempat kerja. Saya tidak terus ke pejabat tetapi ke terminal terlebih dahulu. Pagi itu CNE telah dijadualkan. Kalau saya post-pone lagi, bermakna kami akan terlepas sesi tersebut untuk bulan Februari. Rujhan kelihatan lemah dan tidak berminat. Kebiasaannya dia akan teruja jika berada di tempat baru. CNE pagi itu bertajuk Diabetes Mellitus. Mujurlah tidak banyak soalan yang diajukan kepada saya, kerana Rujhan telah bertambah gelisah.

Selesai CNE, kami bergegas ke pejabat. Di pintu bilik bos menegur saya, memberitahu supaya saya mengambil cuti sahaja pada hari itu. Saya segera masuk ke bilik untuk menunaikan permintaan sahabat saya itu. Ada juga yang perlu diedit. Majoriti kerana kesalahan ejaan. Bahagian tatabahasa, hanya diperbetulkan mana yang saya tahu. Selebihnya, isi kandungan saya biarkan sebagaimana adanya.

Telefon berdering, "... kalau masalah kereta tak selesai, kita takkan ke Pulau Pinang", tegas MOH. Kereta yang baru berusia 2 tahun sudah menunjukkan tanda kecederaan. Saya mengambil keputusan ke bengkel.

Thursday 22 February 2007

A Reminder for Myself: My Responsibilities towards Al-Aqsa and Palestine.




"And march forth in the way (which leads to) forgiveness from your Lord, and for Paradise as wide as are the heavens and the earth, prepared for Al- Muttaqun. Those who spend (in Allah's cause) in prosperity and in adversity, who repress anger, an who pardon men, verily Allah loves Al-Muhsinun. And those who, when they have committed Fahishah or wronged themselves with evil, remember ALlah and ask forgiveness for their sins; and none can forgive sins but Allah. And do not persist in what (wrong) they have done, while they know. For such, the reward is Forgiveness from their Lord, and Gardens with rivers flowing underneath (Paradise), wherein they shall abide forever. How excellent is this reward for the doers. Many similar ways (and mishaps of life) were faced by nation that have passed away before you, so travel through the earth, and see what was the end of those who disbelieved. This (the Quran) is a plain statement for mankind, a guidance and instruction to those who are Al-Muttaqun. So do not become weak, nor be sad, and you will be superior if you are indeed (true) believers. If a wound has touched you, make sure a similar wound has touched the others. And so are the days (good and not so good), We give to men by turns, that ALlah may test those who believe, and that He may take the martyrs from among you. And Allah likes not the Zalimun. And that ALlah may test (or purify) the believers (from sins) and destroy the disbelievers. Do you think that you will enter Paradise before ALlah tests those of you who fought and tests those who are As-Sabirin? You did indeed wish for death before you met it. Now you have seen it openly with your own eyes."

(Ali-Imran: 133-143)


Teringat berdiri di suatu kawasan perbukitan di Selatan Lubnan memerhati dari jauh bumi Palestin. " Ayah saya seorang syahid," kata seorang budak perempuan comel waktu hampir Maghrib ketika kami sampai di penjuru paling selatan Lubnan yang pernah diduduki oleh rejim Zionis beberapa tahun sebelum itu. Kampung tersebut sangat teruk dibom pada serangan Lubnan oleh tentera Israel tahun lalu. Gadis kecil yang saya temui bersama-sama dengan 2 orang sahabatnya yang lain kelihatan girang dengan kedatangan kami. Tiada tanda-tanda kedukaan atau kemurungan. " Begitu juga abang-abang kami", sahut adik-adik perempuan yang lain, berlumba-lumba mahu bercerita tentang perang yang meletus lebih kurang seminggu sebelumnya.
"Itu rumah saya", kata gadis itu menuding dari jauh. Kawasan itu seakan-akan pekan kecil yang sebahagian besarnya telah ranap. Namun, sebahagian kecil rumah gadis kecil itu masih teguh strukturnya, berselang-seli besi-besi yang berceracakan setelah batuan dindingnya runtuh. Kelihatan mentol lampu bernyala di sebelah atas. Gadis-gadis sekitar 8-10 tahun itu memaut lengan dan tangan saya, tidak sabar hendak menunjuk mortar yang masih belum meletup. " Hati-hati! ", kata pemandu yang membawa kami ke tempat itu.
* * * *
Perasaan saya bercampur-campur ketika menonton berita di TV beberapa malam lepas tentang(kononnya) pencarian artifak di kawasan MasjidAl-Aqsa. Dan apabila saya membaca ayat-ayat dalam surah Ali Imran, hati saya seperti tersiat-siat. Sudah lama benar saya lena. Saya berangan kepada fantasi keamanan yang tidak mungkin akan terjadi selagi umat Islam tidak mahu mengikut telunjuk Yahudi dan Nasrani. Sudah lama benar saya terbuai dengan cerita dongeng yang entah dari mana asalnya.

Wednesday 14 February 2007

WAKTU dan KEHIDUPAN


Bismillahirrahmanirrahim

ALhamdulillah, wa solatu wa salamu 'ala Rasulillah.

Seminggu lebih saya tidak dapat menulis apa-apa. Di celah- celah kesibukan berkejaran saban pagi ke Hospital Putrajaya dan tugasan awal tahun yang memerlukan daya konsentrasi yang tinggi membuatkan saya kering idea untuk menulis di sini. Pada waktu yang sama, fokus saya adalah kepada beberapa buku yang sempat saya cedok ilmunya, kerana serasa saya tahun lalu saya sudah baca terlalu banyak novel sehingga buku-buku ilmiah terpinggir. Tetapi, novel tidak bermakna tiada ilmu yang boleh dipelajari di dalamnya. Jika tidak, saya tidak mungkin menjadi penggemar setia Zaharah Muhammad (semoga ALlah memberi lebih banyak ilham berdakwah melalui tulisan kepadanya).

Antara buku yang sempat saya habiskan ialah Bagaimana Menyentuh Hati oleh 'Abbas Assisi, Al-Isti'aab oleh Fathi Yakan ( yang saya beli di Pustaka Fajar Ilmu Baru- Kredit buat Jiwa Rasa kerana memperkenalkan saya pada tempat tersebut, dan juga pada adik saya x-ibnu 'aqil yang sudi menemankan saya menjelajah Wisma Yakin yang mempunyai 'rahsia'nya yang tersendiri), kemudian Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani yang akhirnya dapat saya pinjam daripada seorang adik yang manis bernama Asma' dan juga Tentang Cinta oleh Pahrol Md. Juoi. Sekarang saya sedang mengulit Surat Dari Garis Depan (Suara Hati Tokoh Perlawanan) yang juga saya dapatkan dari Fajar Ilmu Baru. Kesemuanya memberikan kesan positif kepada minda dan buku yang sedang saya baca sekarang ini lebih-lebih lagi menyeru saya untuk tambah bekerja keras.

Saya sangat bersyukur kerana Allah beri saya kesempatan untuk membaca buku-buku motivasi yang Islami. Secara tulus, saya telah berhenti membaca buku-buku sebegitu, dari buah tangan non-muslim secara sedar beberapa tahun lalu. Saya sudah membaca hampir kesemua buku Stephen Covey et al sejak di universiti, juga buku-buku Dale Carnegie kerana perpustakaan komuniti dekat rumah di Cowandilla mempunyai banyak buku-buku seperti itu. Tidak ketinggalan buku tulisan Zig Ziglar dan Tony Buzan yang saya jumpa dalam perpustakaan di rumah mertua, dan bermacam-macam lagi buku "self-help" yang saya baca melebihi buku-buku perubatan saya! Walaubagaimanapun, semacam ada kekurangan pada setiap sentuhan tulisan mereka kerana ditulis oleh insan yang bertongkatkan akal dan kalau adapun yang memberi sentuhan spiritual, tentulah jauh tercicir berbanding jika digarap saudara seaqidah. Mesej penulis-penulis barat sangat jelas, dan saya kagum kerana iltizam dan praktik seiring. Tetapi tanpa unsur tauhidic mindset (meminjam kata-kata penulis Pahrol), amal menjadi sia-sia dan kadang-kadang keliru pula.

Syukur saya pada yang berhak, dan segala puji dan syukur buat Allah sahaja kerana selalu melorongkan saya pada jalan kebaikan walaupun saya sering saja lupa dan tersasar.


* * * * *


Waktu itu kehidupan
Bukan yang termaktub pada panjang angan
Juga bukan pada titis-titis hujan yang terintai-intai di balik awan
Entahkan turun, entahkan tidak
Jika bukan di situ hamburnya.

Waktu itu kehidupan
Bukan yang tersulam pada masa lalu yang melekakan
Juga bukan pada parut luka bernanar menitik perlahan
Entahkan sembuh, entahkan tidak
Jika bukan di sini penawarnya.

Waktu itu kehidupan
Bukan sampan kecil oleng-olengan
Juga bukan pada fatwa hati yang tidak keruan
Entahkan tetap, entahkan tidak
Jika bukan pada Allah letaknya.

Waktu itu sesungguhnya kehidupan
Yang diguna buat mengumpul bekalan
Pada suatu perjalanan
Entahkan cukup, entahkan tidak
Jika bukan kehendak Tuhan yang Empunya!


* * * * *

Lalu berusahalah kita mengisi kehidupan dengan segala yang Allah redha semata.