Tuesday, 31 July 2007

Lagi Pasal Makanan

Salam.

Maaf kerana lama berhibernasi. Rujhan tidak sihat minggu lalu kerana jangkitan respiratori dan juga telinga. Cuti yang saya rancang untuk membeli-belah minggu ini telah saya gunakan buat menjaga Rujhan. Hari Jumaat lalu saya membawanya ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut di Klinik Pakar THT. ALhamdulillah, semuanya baik-baik belaka.

Minggu ini, saya pula terkena flu. Hujan semenjak Jumaat lalu, sedikit sebanyak menyumbang kepada keadaan saya sekarang ini. Walaubagaimanapun, ia tidaklah menjadi masalah besar kerana saya tidak demam. Sekadar perlu berbungkus ke pejabat tidak mengapa. Pendingin hawa di pejabat ni kadangkala rasa macam bilik mayat pula.

Hujung minggu lalu, kami sekeluarga menyempurnakan hajat Pak Uda anak-anak saya. Kakak Marha tersengih-sengih bergambar di sisi Princess Pak Uda. Saya pula yang bergenangan airmata apabila menyuakan cincin pertunangan pada ibu saya untuk disarungkan pada jari manis bakal adik ipar saya. Ibu pula kelihatan biasa-biasa sahaja. Ini kali pertama keluarga kami pergi menyunting bunga di taman - sepatah kata Pak Anjang saya yang menjadi wakil keluarga kami. Ini kerana, adik lelaki saya bukannya ramai, harap 2 orang itulah. Pak Uda di Dubai dan Pak Andak di Kedah. Pak Andak sedang menghabiskan semester akhir dalam bidang IT. Pak Uda merantau jauh mencari rezeki halal di samping menggali ilmu senibina canggih atas tanah yang ditambak dengan corak pokok dan pelepah kurma. Untuk itu, terima kasih yang tidak terhingga pada keluarga Ima yang sudi menerima kami. Serta untuk Kak Ana yang membenarkan kami singgah sebentar sebelum ke majlis - otak-otak dan kuih tepung talam yang dijamu memang menyelerakan. Tidak ketinggalan buat flower girl (teman-teman Mak Anjang) dari UIA (Gombak dan Kuantan) - Zuhra, Dhiya dan Fiza, kerana membantu menatang dulang hadiah.

Kemudian kami terus menghantar Mak (ibu mertuaku) yang tergesa-gesa perlu pulang kerana ada kelas pengajian. Walaupun sudah bersara dari kerjayanya sebagai seorang guru, Mak masih aktif; malah lebih aktif daripada dulu. Kelas Mak hari itu di surau berhampiran sahaja. Walaupun kepenatan memenuhi jemputan ayah dan ibu saya ke majlis itu, Mak tidak mahu menghampakan pelajar-pelajarnya.

Mak memang pandai memasak dan masakan Mak tidak pernah mengecewakan saya yang sememangnya kuat makan (jika nak dibandingkan dengan anak-anak Mak). Antara masakan kegemaran saya (yang seringkali Mak masak bila teringatkan mahu menjamu saya) ialah Mi kari dan Nasi Impit bersama lauk-pauknya. Tidak ketinggalan Kuih Tepung Talam dan oh ye, Krim Karamel yang Mak selalu campurkan sedikit roti supaya tidak terlalu hanyir. Mak pandai buat serba-serbi makanan sendiri termasuk nuget, popia, kuah rojak, acar buah dll. Paling seronok bila tolong Mak cari buku resepi, kerana tentu ada sesuatu yang istimewa yang mahu Mak masak untuk kami.

Keesokannya saya memasak antara resepi kegemaran saya yang saya dapat daripada Mak. Sungguhpun mudah dan nampak remeh, tetapi sedap. Di bawah ini saya turunkan resepi tersebut bagi yang teringin nak makan apa yang saya makan hari Ahad lalu.

Jemput-jemput Kentang

2-3 biji kentang - potong kiub kecil
2-3 biji bawang besar - juga dipotong kiub kecil
1/2 kg tepung gandum
Dua genggam ikan bilis/udang geragau
2-3 batang daun sup yang diracik halus
1 biji telur
sedikit lada sulah
Garam secukup rasa
Air untuk mengadun

Caranya: Adunkan semua bahan di atas sehingga sebati dengan memastikan adunan tidak terlalu cair atau terlalu pekat. Paling sesuai apabila adunan tadi jika ditarik kelihatan seperti keju mozarella yang ditarik daripada piza yang panas. Gorengkan sehingga kekuningan di atas api yang sederhana. Sedia dimakan.

Tengahari itu, Mak memenuhkan hajat saya untuk makan masak lemak tempoyak. Ikan patin dari kolam Mak di belakang rumah: 3 ekor semuanya menjadi hidangan kami tengahari itu. Mak kata ikan patin ini susah nak ditangkap tetapi Alhamdulillah, sekali cedok di dasar sahaja, Mak telah dapat menangkapnya.

Oh ye, jika anda ada resepi couscous yang sedap, boleh tak beri pada saya? Yang telah diuji sedap sahaja ok? Kalau ada kesempatan, insyaallah saya akan tuliskan resepi Makloubeh, sejenis makanan arab yang sangat digemari MOH.

Sampai jumpa lagi :)

3 comments:

aie144 said...

makan aje? mengidam ni.. haha

Zaharah said...

Salam.
Kak, sebut pasa tangkap ikan, ini yang buat saya nak balik kampung ni. Uhuuu.......selalunya, saya yang tangkap ikan, dan mak saya yang masak. Alahai, terkenang kampung halaman.

Pasal resipi tu, saya tak dapat nak menolong akak. Sebab saya ni tak reti masak. Walaupun saya ni jenis yang suka makan. Uhu....

Nur' said...

huhu..mmg dh mtk chef wan kite tlg gorengkan jemput2 kentang tu..x sabo nak tunggu resepi makloubeh tu..