Tuesday, 18 September 2007

Ramadhan dan Pengajaran




"Skreechhh...", bunyi kereta membrek cemas terdengar sangat hampir. MOH dan saya menoleh serentak. Pandangan tertancap pada sebuah Waja yang baru sahaja selamat daripada melanggar tepat tiang lampu isyarat, sewaktu cuba mengelak kereta kami yang sedang berhenti di persimpangan jalan kerana lampu merah. Beberapa saat, pemandu tidak bergerak. "OK ke tak orang tu?" tanya saya pada MOH sedangkan kereta kami sedikit terkebelakang, masakan dapat melihat si pemandu tadi. "Manalah tahu heart attack ke, pengsan ke.." kata saya. Lampu bertukar hijau. Di dalam Waja, kelihatan seorang wanita sedang memicit-micit telefon bimbitnya. Pemandu itu kelihatan ok. Perlahan-lahan kami berlalu dari situ.


* * * * *


" Sebelah kita je.." Kata-kata MOH masih terngiang-ngiang di telinga saya. Bayangkan impaknya kalau wanita tersebut terus melanggar kami dari belakang atau sisi tanpa sempat membrek. Kereta tersebut berhenti betul-betul di sebelah kiri kereta kami. Waktu tengah malam, mujur tidak banyak kenderaan, dan kebetulan tiada pula kereta lain yang hendak membelok ke kiri kerana kereta Waja itu berhenti menghalang susur keluar ke kiri. Berkali-kali saya mengucapkan syukur dalam hati. Saya kerling anak-anak yang tidur di belakang.


* * * * *


Perlukah kejadian sebegitu terjadi kepada kita baru kita mahu menginsafi diri bahawa maut itu boleh tiba pada bila-bila masa, bukan dengan sebab penyakit kronik atau kanser yang membarah, atau kerana umur sudah sangat lanjut? Menariknya sepanjang perjalanan pulang ke Muar itu, memang kami sedang asyik berbincang tentang kematian, tentang bagaimana Muslim dipandang bijak kerana mengingat maut dan berbincang tentang buku " Tuesdays with Morrie" yang menceritakan tentang perjalanan seorang pensyarah pengajian manusia menuju kematian kerana penyakit yang tidak dapat diubati. Tambahan pula sewaktu siangnya, saya sempat meneliti tulisan Ustaz Zaharudin tentang definisi kematian, kematian otak dan pemindahan organ daripada perspektif Islam. Begitu sahaja Allah menunjukkan bahawa maut itu hampir dan pasti.


* * * * *


"Apa yang akak fikir sejurus selepas nikah?". Saya simpan jawapan itu daripada Teh berminggu-minggu lamanya. Cuma pada hari itu sahaja saya tuliskan dalam teks ringkas: "Mati". Memang itu yang berada dalam otak saya berhari-hari lamanya. Tiada kaitan dengan harapan yang negatif kepada hari-hari selepas perkahwinan, sebaliknya saya berfikir begitu kerana setelah sekian banyak nikmat yang Allah anugerahkan kepada saya, termasuk sebuah perkahwinan, maka tidak dapat tidak, pastilah maut semakin hampir menemui saya.


* * * * *


"Akak ampunkan dosa-dosa saya jika saya mati sewaktu bersalin nanti", lebih kurang begitu teks ringkas daripada 'adik' saya selepas kejadian kereta Waja tadi. Jam lebih kurang 12.30 tengah malam. Saya kaget. Kenapa sampai begini? Teks bertalu-talu tiba daripadanya selepas itu. Saya fikir dia sudah mahu bersalin. Rupa-rupanya tahap hemoglobin dalam darahnya siang tadi serendah 8.7 sahaja. Dia bimbang akan kehilangan banyak darah sewaktu melahirkan nanti, lalu menemui ajal. Saya juga tahu ia satu kemungkinan, tetapi berupayakah kita memahami makna di sebalik kemungkinan itu?


Ramadhan mengajar kita mengejar peluang selagi masih ada. Apa jua kebaikan dan kebajikan yang terlepas dari kita di waktu yang lalu, bukan untuk kita berduka nestapa, sebaliknya ruang koreksi diri serta menambah bekal pada saat inilah satu-satunya harapan kita. Bukan esok, belum tentu lusa. Apatah lagi Ramadhan tahun-tahun akan datang. Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik-putar (turning point) untuk kita menjadi lebih baik pada setiap pertambahan umur.


Allah sahaja yang Maha Mengetahui bila dan di mana maut bakal menjemput kita...


Gambar: www.rimbundahan.org

No comments: