Salam aksara.
Maaf kerana tidak dapat menulis dengan kerap sejak akhir-akhir ini. Walaubagaimanapun, bagi yang tidak menggemari cerita makanan atau resepi macam Teh, harap jangan bosan baca entri saya. Selepas ini, saya boleh cuba cerita bab kecantikan wajah pula ye! :)
Semalam hari lahir Rujhan yang ke 4. Sempat saya tinggalkan sebiji kek dengan gambar Pooh setelah pulang dari klinik semalam untuk anak saya kongsi bersama teman-teman tadikanya. Semenjak demam minggu lalu, Rujhan asyik berdalih sahaja daripada pergi ke tadika dengan alasan penat katanya.
Sedar tak sedar, dah hampir setahun saya tidak makan syawarma. Kali terakhir di Jordan tahun lalu. Mungkin atas sebab itu, saya teringin benar makan makanan arab. Jadi kami sekeluarga pun ke Restoran Bukhara/Tarboosh di KLCC. Pada mulanya, saya hampir saja mahu menelefon MOH untuk menangguhkan rancangan malam itu, kerana Itqan beriya-iya tidak mahu terlepas dari menonton Ultraman 3. Dalam keadaan seperti sekarang ini, saya bukannya mudah mahu mendukungnya untuk masuk ke dalam kereta. Sambil Itqan menangis, saya terangkan mengapa perlu segera ke KL kerana walid sudah menunggu. Sampai di stesen transit lain pula ceritanya. Itqan tidak mahu berjalan tetapi mahu saya mendukungnya sahaja. Rujhan pula yang bersemangat apabila sudah sampai di stesen. Maklumlah, nak naik "kapaltapi choon-choon". Jadi Rujhan perlahan-lahan berjaya memujuk abangnya yang tiba-tiba sahaja menjadi ok semula :)
Di dalam keretapi transit, anak-anak membuat pelbagai aksi yang munasabah dan tidak berapa munasabah. Beberapa orang pakcik mempelawa mereka duduk, sedangkan mereka lebih gemar bergerak dari satu tiang ke satu tiang. Saya hanya boleh berpesan supaya mereka berhati-hati kerana keretapi boleh berhenti mengejut. Mendengarkan itu, aksi-aksi mereka menjadi semakin munasabah. Lama-lama mereka sudah mahu duduk. Mungkin letih berdiri.
Sampai di KL Sentral, orang sangat ramai. Waktu pulang bekerja tentulah begitu. Anak-anak berjalan rapat dengan saya, kerana mereka memang tidak suka keadaan yang sesak. Naik ke stesen LRT, orang ramai sudah beratur, jadi kami ikut beratur. LRT yang tiba penuh sesak. Sebahagian yang turun, membolehkan sebahagian yang menunggu naik. Elok sahaja saya melangkah masuk, pintu pun tertutup. Bermulalah perjalanan yang amat panjang bagi Itqan dan Rujhan. Saya fikir, mereka tentu sangat rimas. Sudahlah separuh saiz saya (walaupun Itqan sudah 3/4 tinggi saya), Rujhan memaut kaki saya tidak henti-henti. Itqan pula semacam sedar yang Rujhan ketakutan, lalu dia juga memegang Rujhan supaya tidak jatuh. Sampai di KLCC, kami terus solat di surau tingkat 1, walaupun Rujhan berhenti sekali-sekala sebelum sampai kerana teringin naik permainan yang macam-macam di sepanjang jalan ke situ.
Di surau, jemaah memang ramai. Itqan solat, dan mengambil masa yang lama untuk selesai berdoa. Usai solat, saya lihat walid sudah menunggu.
No comments:
Post a Comment