Tuesday 28 August 2007

Meniti Hari-hari yang Pinta Diisi (Mengimbau Pengisian Kemerdekaan)


Lima hari bercuti, alhamdulillah keadaan di pejabat masih baik lagi. Cuma jumlah kertas yang terkandung di dalam " Lubang Merpati" saya kelihatan sesak dan mengingatkan bahawa hari berlalu dan terus berlalu sama ada kita mengisinya dengan sesuatu atau tidak. Dua kursus menanti sebelum Ramadhan dan beberapa tugas kecil menanti kepulangan. Namun tugas yang agak besar telah selesai semalam juga.

Lima hari bercuti, apa yang diisi? Oh ye, senang memasak untuk anak-anak dan melayan kerenah mereka setiap hari. Mengulang baca novel "Catcher in the Rye" yang tidak begitu saya fahami sewaktu Pre-Bridging Course di USM, Kubang Krian, tetapi lebih saya fahami kini.

Mencari sekolah untuk Itqan tidak semudah yang diharapkan. Akhirnya terfikir apakah perlu sekolah di tempat yang begitu? Prasarana hebat dan meyakinkan. Sayalah antara ibu yang tidak yakin dengan sistem persekolahan kini, walaupun saya terdidik dengan sistem yang sama dahulu. Sikap guru, kurikulum sekolah, pendekatan "suapan-sudu" dan orientasi peperiksaan menakutkan saya. Anak 4 tahun sudah dihantar ke tiusyen? Mak juga bekas guru dan memahami kemelut saya. Adik ipar saya seorang guru di salah sebuah sekolah rendah cemerlang di Lembah Klang juga tersepit. Untung sahaja boleh mengajar anak di sekolah seperti Mak Anjang saya dulu. Jadi, jika orang pelajaran, atau pendidikan angkat kening baca tulisan ini, saya mohon maaf. Saya cuma berharap saya boleh lakukan sesuatu untuk masa depan anak saya, tanpa perlu menghantar anak ke sekolah rendah yang yurannya setaraf yuran pengajian di IPTA (oh ye sebelum subsidi kerajaan jumlahnya)!

Saya jenguk keluar lagi. Kali ini di KLCC. Tiada tempat letak kereta dan ketuk dahi sendiri kerana beriya-iya memandu ke sana. Angan-angan mahu ke Aquaria, tapi silap hari. Terlalu ramai manusia dan terlalu cemburu masa. Duduk-duduk di Kinokuniya sambil melayan anak membaca. Pandang ke luar kaca dan memerhati pengisian kemerdekaan negara. Oh Pertandingan Bunga Api di Putrajaya... dan Mak sebut juga tentang Ekspo cintanya (Bunga) di Putrajaya juga. Konsert di Ikano Power Centre dan Jalur Gemilang terbesar merata-rata. Kereta Kancil dengan bendera kecil berceracakan di atas kenderaan, dan eh... Jalur Gemilang dah terlepas ikatannya pada hud kereta tidakkah mengundang kemalangan?

Saya keliru...

(Ada yang akan kata buat apa susah-susah keliru, buat sahajalah apa yang seronok dan bergaya dan mengikut aliran semasa).

Saya pula akan kata - kalau saya keliru... anak-anak saya pula bagaimana?


Saturday 18 August 2007

Dari Mana Nak Ke Mana?

Ke mana saya hari ini?

Pagi: Menghantar ibu dan ayah long ke KLIA untuk menunaikan umrah.

T/hari: Makan nasi impit yang To' Ibu masak :) (Kata beg Dora...Yum yum yum yum yum... Delicious!)

Petang: Majlis Hi Tea Bersama Keluarga Syuhada Palestin oleh Persatuan Mawaddah Malaysia dan Aman Palestin. ( Menu: Bukan Pisang Goreng). Masih mahu makankah setelah menonton klip video dan tayangan multimedia itu?

Malam: Makan nasi lemak Mak :) dan menulis di sini.

Nanti tulis lagi.


* * * * *

"Kunjungilah Masjid Al-Aqsa dan bersolatlah di dalamnya. Sekiranya kamu tidak dapat mengunjunginya dan bersolat di dalamnya, maka hantarkanlah minyak untuk menyalakan lampu-lampunya." Hadith Rasulullah.

Ke atas kita, adalah lebih dari sekadar menghantarkan minyak untuk menyalakan lampu Masjidil Aqsa. Ke atas kita, bayaran ke atas harga nyawa, maruah, darah dan airmata saudara-saudara yang menjadikan tubuh badan mereka sebagai perisai Al-Aqsa.

* * * * *

Al-ardhu lana
Wal Qudsu lana
Allahu biquwwatihi ma'ana...

Monday 13 August 2007

Setelah 12 Purnama





Setelah 12 purnama
Cerita duka, cerita lama, cerita nyawa
Terkorban, berkorban
Cerita bangsa yang semakin dilupa
Cerita jaya, cerita derita
Cerita setelah 12 purnama


Ada sisa kenangan
Ada langkah tak kesampaian
Ada keringat, ada darah
Ada airmata yang tumpah
Ada suka, ada nestapa
Ada budi harum mewangi
Ada cerita tanpa berita
Ada ingatan kubawa mati

Setelah 12 purnama
Ada hati yang masih tersentuh
Lewat bangunan diterobos peluru
Runtuh ranap melubang bumi
Ada jiwa yang masih mencari
Jawapan... pada sekian 12 purnama yang ditinggalkan
Ada doa dalam simpuh
Moga semangat mereka terus ampuh!

Setelah 12 purnama...
Aku menjejak perjalanan panjang
Mengukur nestapa di bumi orang...


KL 12/08/07

* * * * *
Pasca skrip:
Memori KL-Dubai-Damsyik-Beirut-Amman
23 Ogos 2006
Foto: Beirut, Ogos 2006

Thursday 9 August 2007

Jangan bosan 2

Salam pertemuan.

Kami terus ke Restoran setelah solat maghrib. Situasi di dalam restoran ringkas tetapi menarik. Dah datang ke restoran arab, tentulah ada lagu-lagu " Padang pasir" yang MOH pun tak berapa faham maksudnya.

Menu diberi sejurus kami duduk. Saya terpaksa meneliti dua tiga kali sebab syawarma tak tersenarai dalam menu. Di Malaysia lebih dikenali dengan nama kebab kalau tak silap saya. Tapi malam itu, saya menempah sejenis masakan ayam berempah bersama-sama sos kentang. MOH pun sama. Itqan lebih senang dengan sup cendawan dan Rujhan kentang goreng. Pembuka selera kami minta falafel sejenis makanan bergoreng daripada campuran kacang dhal (lentils) yang dibentuk seperti bebola sebesar bola ping-pong, dimakan dengan sedikit 'plain greek style yoghurt' atau 'laban'. Pencuci mulut pula, MOH minta Tiramisu (sejenis kek ringan) dan saya sendiri: Baklava (sejenis manisan Mediterranean) juga ada di dalam masakan Turki, Greek selain Lubnan. Dulu, saya pernah mencuba beberapa kali resepi Baklava ini, cuma semenjak di Malaysia dan dengan harga Filo Pastry yang memang mahal (oh ye dan kerana saya tidak punyai oven juga), saya tidak pernah mencubanya di sini. Mungkin saya boleh cuba bila saya pulang ke rumah Mak. Minuman, Rujhan tersenyum lebar mendapat Jus Strawberi, Itqan dengan Apple-Lime Juice (tetapi ditukar dengan minuman saya kerana rasanya yang sangat masam) dan MOH dan saya memilih Cool Mediterranean yang memang sedap iaitu campuran jus mangga dan beberapa buah-buahan lain.


Apabila makanan dihidang, saya rasa sedikit menyesal kerana portion ayam tersebut sangat banyak. Jika tahu, kami pasti minta satu sahaja. Selebihnya MOH habiskan untuk saya :) Rujhan dan Itqan berebut Sup Cendawan, dan akhirnya kami membuat keputusan menempah semangkuk lagi untuk mereka, tetapi Rujhan suka-suka sahaja makan dengan mencecah kentang goreng ke dalam sup.


Di luar, tiada tanda orang ramai semakin surut. Kelihatan banyak keluarga arab masuk ke restoran tersebut. Walaupun tidak sesak seperti waktu siang, tapi KLCC masih ramai orang. Hadiah untuk hari lahir Rujhan: krayon saiz besar dengan pemegang khas yang saya dapatkan di Times Bookstore.


Sebelum pulang, kami solat Isya' terlebih dahulu di surau yang sama sebelumnya. Mengambil LRT pada jam 10 malam, tidak bermakna kami dapat duduk, malah kami berdiri sehingga ke KL Sentral. Keretapi transit pula lebih lengang pada waktu-waktu begitu. Anak-anak sudah tertidur di pangkuan kami. Mahu tak mahu saya terpaksa mendukung Rujhan ke kereta, dan manakala MOH mendukung Itqan.


Walaupun letih, anak-anak sangat gembira. Mereka masih lagi mengulang-ulang cerita malam itu untuk beberapa hari berikutnya.


Esok, kami harus kerja dan anak-anak harus ke tadika.

Friday 3 August 2007

Jangan bosan!

Salam aksara.

Maaf kerana tidak dapat menulis dengan kerap sejak akhir-akhir ini. Walaubagaimanapun, bagi yang tidak menggemari cerita makanan atau resepi macam Teh, harap jangan bosan baca entri saya. Selepas ini, saya boleh cuba cerita bab kecantikan wajah pula ye! :)

Semalam hari lahir Rujhan yang ke 4. Sempat saya tinggalkan sebiji kek dengan gambar Pooh setelah pulang dari klinik semalam untuk anak saya kongsi bersama teman-teman tadikanya. Semenjak demam minggu lalu, Rujhan asyik berdalih sahaja daripada pergi ke tadika dengan alasan penat katanya.

Sedar tak sedar, dah hampir setahun saya tidak makan syawarma. Kali terakhir di Jordan tahun lalu. Mungkin atas sebab itu, saya teringin benar makan makanan arab. Jadi kami sekeluarga pun ke Restoran Bukhara/Tarboosh di KLCC. Pada mulanya, saya hampir saja mahu menelefon MOH untuk menangguhkan rancangan malam itu, kerana Itqan beriya-iya tidak mahu terlepas dari menonton Ultraman 3. Dalam keadaan seperti sekarang ini, saya bukannya mudah mahu mendukungnya untuk masuk ke dalam kereta. Sambil Itqan menangis, saya terangkan mengapa perlu segera ke KL kerana walid sudah menunggu. Sampai di stesen transit lain pula ceritanya. Itqan tidak mahu berjalan tetapi mahu saya mendukungnya sahaja. Rujhan pula yang bersemangat apabila sudah sampai di stesen. Maklumlah, nak naik "kapaltapi choon-choon". Jadi Rujhan perlahan-lahan berjaya memujuk abangnya yang tiba-tiba sahaja menjadi ok semula :)

Di dalam keretapi transit, anak-anak membuat pelbagai aksi yang munasabah dan tidak berapa munasabah. Beberapa orang pakcik mempelawa mereka duduk, sedangkan mereka lebih gemar bergerak dari satu tiang ke satu tiang. Saya hanya boleh berpesan supaya mereka berhati-hati kerana keretapi boleh berhenti mengejut. Mendengarkan itu, aksi-aksi mereka menjadi semakin munasabah. Lama-lama mereka sudah mahu duduk. Mungkin letih berdiri.

Sampai di KL Sentral, orang sangat ramai. Waktu pulang bekerja tentulah begitu. Anak-anak berjalan rapat dengan saya, kerana mereka memang tidak suka keadaan yang sesak. Naik ke stesen LRT, orang ramai sudah beratur, jadi kami ikut beratur. LRT yang tiba penuh sesak. Sebahagian yang turun, membolehkan sebahagian yang menunggu naik. Elok sahaja saya melangkah masuk, pintu pun tertutup. Bermulalah perjalanan yang amat panjang bagi Itqan dan Rujhan. Saya fikir, mereka tentu sangat rimas. Sudahlah separuh saiz saya (walaupun Itqan sudah 3/4 tinggi saya), Rujhan memaut kaki saya tidak henti-henti. Itqan pula semacam sedar yang Rujhan ketakutan, lalu dia juga memegang Rujhan supaya tidak jatuh. Sampai di KLCC, kami terus solat di surau tingkat 1, walaupun Rujhan berhenti sekali-sekala sebelum sampai kerana teringin naik permainan yang macam-macam di sepanjang jalan ke situ.

Di surau, jemaah memang ramai. Itqan solat, dan mengambil masa yang lama untuk selesai berdoa. Usai solat, saya lihat walid sudah menunggu.