Alhamdulillah, beberapa waktu lepas saya mendapat berita yang menggembirakan saya. Tidak lama lagi saya bakal menerima anak saudara baru. Sebagai seorang kakak dan ibu, saya dapat merasakan kegirangan yang bernyanyi dalam hati adik saya. Mungkin atas sebab yang sama, ternyata saya masih ingat kenangan pertama kali hamil. Kenangan itu biar saya simpan dan kongsikan dengan menantu saya sahaja nanti :). Jangan pula menyangka saya tidak ingatkan kehamilan kedua, kerana ternyata ia sama hebat dan tidak sedikit pula cabarannya!
Pelbagai soalan yang telah ditanyakan pada saya (mungkin kerana saya seorang doktor), kerana beberapa waktu yang lampau adik saya sudah mengalami sedikit sebanyak perubahan pada diri, cuma tidak dapat dipastikan apakah ia. Runsing bunyi suaranya setiap kali dia menelefon bertanya tentang masalah kesihatan yang dihadapi. Tetapi, jauh di hujung fikiran saya, terdetik dan sudah pun saya nyatakan "Ntah-ntah awak pregnant tak?", yang disambut dengan deraian ketawa kecil kami. Soalan-soalannya berkisar tentang pemakanan, penjagaan kesihatan secara amnya, petua-petua (walaupun saya selalunya orang yang paling susah mengikut petua), dan berlarutan sehingga bercerita tentang kelucuan yang menyelubungi kehamilan ini. Maklumlah, banyak perkara-perkara merbahaya yang telah dilakukan akibat tidak sedar yang dia sebenarnya telah mengandung.
Sungguh indah perasaan itu. Walaupun sebahagian besarnya tidak diluah, cukuplah suara "senyuman" mengungkap segalanya.
Untuk adik, saya doakan kehamilannya adalah kehamilan yang sentiasa diisi dengan keindahan dan kebaikan.
Selamat menjadi ibu hai adikku...!
* * * * *
Hari ini, saya menjenguk-jenguk deretan majalah di kedai comel di tingkat bawah bangunan pejabat saya. Setiap hari saya pasti mengerling ke arah majalah-majalah itu, tetapi oleh kerana saya tidak begitu berminat dengan majalah wanita (kecuali satu), atau majalah hiburan atau majalah kereta (yang majoriti saya beli untuk MOH), maka seperti selalunya kerlingan itu tidak memberi apa-apa makna. Tetapi hari ini, sebuah majalah telah saya beli hanya kerana "8 Kediaman Sempit Sensasi", dengan gambar lataran ruang tamu sebuah kediaman. Saya hampir lupa bilakah kali terakhir saya membeli majalah seumpama itu, rata-ratanya kerana isu utama seperti dapur mewah atau bagaimana menata bilik mandi tidaklah begitu menarik perhatian saya.
Seperti kasut, saya sukakan yang praktikal (dengan beberapa pengecualian terpencil). Kepada sesiapa yang pernah bertandang ke rumah saya, tentu pelik mengapa saya terpanggil meneliti isu rumah sempit. Rumah kontrakan saya sekarang adalah teres dua tingkat yang luas. Cukup untuk anak-anak saya bermain kejar-kejar dan bermain badminton. Tetapi, sudah namanya pun rumah sewa, maka tiadalah apa-apa yang istimewa di dalamnya. Sekadar satu set tempat lepak merangkap tempat letak beg anak-anak pulang sekolah, tanpa meja kopi yang dah berkurun hendak membeli tapi sampai ke saat ini belum kesampaian, kemudian satu meja makan bulat 4 tempat duduk yang kami perolehi secara percuma daripada pejabat adik ipar yang berniat melupuskannya dan kerusi plastik ihsan ibu mertua. Tak lupa 2 rak buku comel adik saya yang ditinggalkan sementelahan dia berkelana di Pakistan. Esok lusa akan kembali semula kepadanya.
Kalau ditanya apakah konsep rumah yang paling sesuai dengan jiwa saya, tentulah pantas saya akan menjawab - "Minimalist". MOH pula gemarkan warna-warna gelap, (konsep maskulin?) jadi setakat ini perabot kami hanya sekadar bertona coklat atau perang terang. Kami sukakan kayu dan kerana itu doakan rumah kami tiada anai-anai. Ada satu kerusi plastik warna hijau pucuk pisang yang saya dapatkan kerana mempunyai dua tempat duduk satu untuk dewasa dan satu untuk anak kecil. Mudah untuk saya melayan mereka membaca atau menonton "Pocoyo". Memandangkan ianya plastik, maka ia mudah dilap dan dibersihkan jika dicomoti coklat dan keringat. Tempat duduknya dari jenis kusyen yang boleh dicuci jika kotor.
Gambar ihsan Tinta Creative Sdn Bhd.
Maka, apa pula kaitan pembelian majalah itu dengan konsep rumah saya? Hanya Allah, saya dan MOH yang mengetahui jawapannya.
4 comments:
Kak,
saya pun sukakan yang praktikal. Baik kasut,beg, pakaian dan kenderaan. Mungkin disebabkan itulah, ketika menaiki LRT pada hari keputusan SPM tahun lepas diumumkan, ada orang bertanya apakah saya ingin ke sekolah mengambil result SPM. Tersengeh2 saya macam kerang.Mungkin dia melihat wajah saya cemas ketika itu. Yang sebenarnya saya kelihatan tercngap2 kerana berlari nak kejar tren.
Kesimpulan, apa yg kita suka/terbiasa kadang-kadang boleh menimbulkan salah faham kepada orang lain. Tetapi, ukuran saya dalam segala hal adalah bersederhana mengikut pandangan agama.
Kak,
saya teringin nak buat novel tentang seorang ibu, tentang bagaimana rasanya mengandung dan melahirkan. Itu pun kalau akak sedia berkongsi pengalaman dan ilmu dengan saya.
:)
Akak harus bersetuju dengan Zaharah. Apa-apa pun selagi bertepatan dengan syara', tidak mengapa. Cuma kena pandai2 mengolah diri, jgn sampai membawa fitnah kepada agama.
Tentang pengalaman insyaallah boleh dikongsi. Kalau ada cerita yang boleh ditulis apa salahnya?
Salam,
Nak mencelah sikit ttg tulisan mengenai ibu. Saya ada bbrp blog yang selalu saya ziarahi, yang sangat menyentuh hati saya mengenai rasa keibuan.Tulisannya biasa2 shj, mengenai perkembangan anak2nya.tapi cukup memberi ilmu berharga kpd saya yang baru shj bergelar ibu.Pengorbanan ibu dan tidak lupa juga pengorbanan anak2,terutama bagi ibu yang bekerjaya- cabaran2nya.
Jika inginkan url2 tersebut, bolehlah email personally kpd saya.:)
Ummu, terima kasih di atas cadangan blog2 tersebut.
Post a Comment