Tuesday, 6 March 2007

Apabila Tinta Tak Tertuliskan

Saya bercadang menyambung entri Kembara Silaturrahim, tetapi tugas tidak memungkinkan. Saya ke Kinokuniya semalam setelah menghadiri program di Bangunan Tabung Haji. Menonton Selayang Pandang Operasi Haji 1427 H, membuatkan hati saya meronta-ronta mahu ke sana. Mudah-mudahan doa wanita di kaunter Tabung Haji untuk saya ke sana segera dimakbulkan.

Saya berpusing-pusing di dalam KLCC mencari sekeping beg kertas untuk saya letakkan plak penghargaan yang diberi TH kepada pejabat kami. Merah dan bengkak tangan saya mengendong plak yang bukannya berat, tetapi kerana ada lagi barang lain yang saya terpaksa galas bersama, maka tangan saya terasa sakit-sakit. Akhirnya saya jumpa beg kertas berwarna hijau dan merah jambu bergambar seekor teddy. Rm6! Tapi saya ambil juga kerana tangan sudah terketar-ketar memegang plak.

Usai meletakkan plak di dalam beg plastik yang cukup besar memuatkan beg kertas di Lovely Lace saya bergegas ke Kinokuniya. Mata tertancap pada buku For Another Day, yang ditulis oleh Mitch Albom ( juga menulis 5 people You Meet in Heaven dan Tuesdays with Morrie), tapi hard cover; lalu saya letak semula.

Berjalan-jalan di antara barisan rak buku Kinokuniya membuatkan saya teringat Perpustakaan agam di Sydney. Saya sukakan perpustakaan sejak saya pandai ke perpustakaan Klang sendiri-sendiri selepas aktiviti ko-kurikulum sekolah rendah. Sejak itu saya tahu hati saya akan sentiasa sejuk apabila dikelilingi buku. Perpustakaan di Melbourne juga tempat hati saya pernah singgah. Wah banyak nya cinta hati saya!





Saya memegang buku Spiritual Verses by Rumi. Saya baca pengenalan tentang siapa Rumi. Saya juga ternampak buku Toto-Chan dan buku tag yang laris sedunia (khabarnya) Train Man. Tetapi, akhirnya saya duduk mengulit sebuah buku berwarna hijau cerah, dengan illustrasi seorang wanita memegang sebiji epal. The Art of Naming oleh Nor Faridah Abdul Manaf. Tentang koleksi puisinya bersama terjemahan. Saya membaca hampir kesemua puisi Inggeris di dalam buku itu. Namun, saya mahu beli dan simpan untuk saya ulang baca. Puisi yang indah buat hati yang mahu tenang di saat kesibukan menghimpit.

Saya berjalan laju ke Masjid as-Syakirin untuk solat asar sementara menanti MOH.

Syukur saya pada Tuhan kerana memberi saya ruang melepaskan rindu saya pada harum kedai buku.

2 comments:

Unknown said...

Sudah lama saya menyimpan niat mahu beli The Art oF Naming, tapi belum ditunaikan. Buku ini ada dijual di ujanailmu.com.

Buku Mitch Albom, saya tak berapa gemar, tipikal buku self-impovement tulisan barat.

Chrysalis said...

Nanti nila Tuan sudah selesai mengkhatamkan puluhan buku Tuan, silakan membeli The Art of Naming pula.

Buku Mitch Albom yang mana sudah Tuan baca? Saya mengulang baca Tuesdays with Morrie sampai 5 kali. Benarkah ada manusia yang begitu berani menghadap kematian?

Oh ye, pendapat saya, buku itu ditulis dengan tujuan komersil dan untuk difilemkan. Seperti buku-buku Michael Crichton juga.