Saya sedang mengambil cuti sempena cuti sekolah. Anggota sepejabat berseloroh yang saya pun seolah masih bersekolah kerana mengambil cuti yang panjang. Saya senyum sahaja jika yang memberitahu berniat sinis. Tetapi kesinisan sesiapa pun tidak akan sampai dapat merosakkan kerana cuti saya kali ini sangat istimewa.
Sememangnya saya senang. Selain daripada dapat meluangkan masa bersama anak-anak yang bercuti tadika, saya berpeluang menjaga adik yang sedang berpantang. Hari ini sudah masuk hari kelima. Semenjak semalam saya sudah pun mengambil alih sedikit sebanyak tugas menjaga apabila ibu kami melakukan tugas lain seperti memasak. Kalau tugas memasak yang diserahkan kepada saya, alamat tidak berpantanglah namanya. Maklumlah menu orang yang tidak berpantang tidak sama dengan yang berpantang.
Ternyata memang seronok melayan kerenah bayi yang baru lahir. Apatah lagi bukan kita yang melalui saat melahirkan yang memenatkan. Pantang mendengar Ulfah ( itu nama anak saudara baru saya) menangis, pasti saya akan angkat dan berusaha menenangkannya. Ayah kami kata, nanti kasihan adik saya kalau asyik mengangkat Ulfah, takut kelak mahu diminta dukung sahaja. Saya kira, saya tidak mahu membataskan layanan kepada Ulfah, kerana dia hanya akan melalui hari-hari awalnya sekali ini sahaja. Oh senang untuk saya berkata begini, kerana tentunya adik saya dan ipar saya yang akan menjaga Ulfah pada lain kali. Mementingkan diri betul saya ni!
Paling menyukakan hati saya apabila dapat mandikan Ulfah. Adik saya beritahu, sebelum ini apabila dimandikan, Ulfah akan menangis. Tetapi dengan saya, dia diam pula. Saya bilang, dia sudah tahu dan mempunyai pengalaman mandi yang selamat sebelum ini. Oleh itu, tentu dia tidak takut lagi lalu tidak menangis.
Ulfah lahir 6 minggu lebih awal. Tetapi daripada bentuk tubuhnya tidak kelihatan seperti bayi pra-matang. Saya teliti setiap tanda-tanda yang dipelajari waktu houseman dulu, kulitnya, refleksnya, keadaan posturnya menunjukkan Ulfah cukup bulan. Ditambah dengan berat yang melebihi 2.5kg, alhamdulillah Ulfah nampak sihat. Walaupun begitu, dia mengalami sedikit jaundice yang masih di tahap yang tidak merbahaya. Sungguh pun begitu, kami buatkan fototerapi padanya di rumah. Ini petua (betul ke?) yang diberikan pada saya oleh consultant O&G waktu saya belajar di Women's and Children's Hospital dulu. Kesannya perlu ditunggu sehingga ujian Serum Bilirubin esok.
Saya memang suka lakukan touch therapy pada anak-anak. Ulfah juga tidak ketinggalan. Telah terbukti dalam beberapa kajian berkenaan bayi pra-matang yang dapat mencapai berat badan yang baik dan lebih sihat jika diberi touch therapy. Sentuhan yang hangat, insyaallah dapat memberi kebaikan kepada bayi-bayi pra-matang seperti Ulfah.
Bagi yang bertanya apakah makna Ulfah, ia bermaksud Persahabatan (seperti yang diberitahu oleh adik ipar saya). Saya doakan semoga kami boleh bersahabat saat dia dewasa sebagaimana dia senang sewaktu saya mengulit dia saat ini.
Tuesday, 13 March 2007
Apabila berpantang...
Ditaip oleh Chrysalis at Tuesday, March 13, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment