Friday, 9 March 2007

Kembara Silaturrahim 3

Malam itu, Itqan tanya pada Walid. " Kita pergi P Pinang naik kereta Walid lah. Kereta ummi kan rosak?" MOH pandang Itqan; kemudian saya. MOH diam. Tiada keputusan. Kereta MOH sebenarnya pun kehabisan gas penghawa dingin. Dengan cuaca yang tidak menentu, beserta perjalanan yang panjang ke utara, bukan mudah tanpa pendingin hawa.

Pagi itu, saya menerima teks ringkas dari kakak, " Jadi tak nak datang sini?" Saya menyuakan teks kepada MOH. Saya tidak tahu apa yang mahu ditulis buat balasan. MOH faham. Lalu, segera keluar mencari bengkel menambah gas yang surut. Saya bingkas mengemas apa yang patut. Teks kakak saya balas, "Jadi".

Jam 11.00 pagi kami keluar menuju ke Lebuhraya ELITE dan kereta menyusur tanpa banyak masalah. Ruang belakang yang sempit, menyebabkan saya menghalang anak-anak membawa bantal besar buat teman tidur sebagaimana biasa. Sebagai ganti, saya masukkan sebiji kusyen empat persegi yang diambil dari ruang tamu. Comforter kecil bergambar badut juga saya letakkan sama, manalah tahu hujan di tengah jalan, pasti anak-anak akan berasa sejuk.

Saya memasang radio ERA kerana trafic update yang agak kerap. Sampai di persimpangan ELITE ke NKVE kedengaran suara pembaca laporan lalulintas berkenaan kenderaan yang hampir tidak bergerak dari Jalan Duta ke Rawang. MOH pula terlepas simpang untuk keluar ke Lebuharaya Guthrie. Sampai di Kota Damansara, realiti berita berada di depan mata. Kereta bersusun panjang seperti tiada pergerakan langsung. Lorong yang asalnya 3, sudah menjadi 4 atau 5. Seketika itu juga, gerimis mulai turun. Khabarnya, traffic jam itu sampai ke Kawasan Rehat Tg. Malim. Kami, antara ribuan (agaknya) kereta lain yang tersekat di dalam kesesakan itu. Saya berdoa di dalam hati supaya MOH sabar. Maklumlah, kembara ini, saya yang mencadangkan. Sedangkan, saya tidak dapat memandu keretanya.

Perjalanan dari Kota Damansara ke Rawang yang biasanya mengambil masa kira-kira 10 minit telah berlarutan ke 3 jam 40 minit. Selepas Rawang, kenderaan bergerak sedikit laju. Itqan sudah tidak senang duduk di belakang. "Kita dah sampai ke Ummi?", tanyanya berkali-kali. Saya katakan pada Itqan, " Kita belum lepas Selangor pun lagi, dan kita ada Perak untuk dilalui sebelum sampai ke rumah Ibu Long," acuh tidak acuh sahaja jawapan saya, kerana saya tidak begitu pasti sama ada Itqan faham atau tidak dengan penerangan panjang lebar saya.

Kami mahu mengisi minyak di Perhentian Rawang tetapi jalan masuk telah ditutup oleh Pihak Berkuasa Lebuhraya. Mahu tidak mahu, sampai di penghujung susur keluar, MOH membelok naik melawan arus kerana jika hendak menunggu sehingga ke perhentian seterusnya, boleh jadi kereta kami akan tersadai di tepi jalan seperti beberapa kereta yang kami lihat sepanjang perjalanan. Rujhan yang sibuk mahu ke tandas, mendatangkan sedikit sesal dalam hati kerana tidak memakaikannya dengan lampin (walaupun dia sudah tidak memakainya pada hari biasa), tatkala melihat orang berbaris panjang menanti giliran masuk ke kamar kecil. Mujur anak-anak saya dapat bersabar. Tidak asing juga pemandangan, orang-orang dewasa yang "melepaskan" hajat di mana sempat. Oh Malaysiaku!

Kami menunaikan solat Jama' Ta'khir di Perhentian Bernam. Walaupun hanya dapat bersolat di wakaf, dalam hujan renyai, saya mengucapkan syukur kerana dipermudahkan. MOH mengambil kesempatan untuk melelapkan mata yang sudah terlalu letih dek kesesakan.

Perjalanan selepas itu perlahan bukan kerana kesesakan tetapi kerana hujan yang sangat lebat. Dengan jarak penglihatan yang sangat terhad, saya diruntun rasa bersalah pada MOH. Kalau separuh perjalanan bertukar pemandu mungkin tidak begitu menyusahkan, tetapi apabila mendapat isteri yang hanya dapat memandu kenderaan tanpa clutch, maka tugas memandu terletak di kaki dan tangan MOH sahaja.

Sewaktu melalui kawasan Gua Tempurung, saya teringat cerita Jiwa Rasa tentang tanah runtuh di kawasan itu beberapa tahun yang lalu. Kabus yang tebal dalam kegelapan waktu maghrib membuatkan keadaan sekitar menyeramkan.

Kami akhirnya sampai ke P Pinang sekitar jam 10 malam. Perjalanan mengambil masa hampir 12 jam. Malam itu, semua tidur dengan nyenyak dan Rujhan juga tidak bangkit untuk minum susu kerana keletihan. Syukur kami sampai walau sedikit payah.

3 comments:

BaYu SenJa said...

dahsyat perjalanan..
liku berjalan bila ditempuh, biar pun jauh, gembiranya di hujung.. bila dah sampai:) itu kan juga simbolik kehidupan di dunia

salam perkenalan, terimakasih:)

Chrysalis said...

Salam kembali. Semoga beroleh manfaat di sini.

Maryam said...

walau sukar ganjarannya tidak dapat diganti...