Wednesday, 21 March 2007

Kembara Silaturrahim - Akhir


Saya akan menyambung entri terakhir untuk tajuk di atas walaupun mungkin ada yang menyangka cerita saya telah tamat.
Keesokan paginya hari cerah. Pagi Tahun Baru Cina di sekitar kediaman kakak saya itu sunyi. Walaupun majoriti jiran tetangga kakak adalah berbangsa Tionghua tetapi tidak kedengaran riuh rendah dari rumah-rumah sebelah seperti Hari Raya. Kakak mengajak kami ke rumah abang ipar di Alor Star. Anak-anak gembira dapat menaiki feri merentas ke Butterworth.

Perjalanan kira-kira 1 jam setengah dari P Pinang tidak begitu dirasakan kerana saya tertidur hampir separuh perjalanan. Abang ipar saya baru sahaja kembali dari bertugas sewaktu kami sampai. Kami mengambil kesempatan melepaskan lelah sebentar dan kemudian menuju ke Kedai Makan Pumpong yang menjual pelbagai lauk pauk makan tengahari. Paling istimewa tentunya ayam bakar dan kerabu. Tidak ketinggalan ulam-ulaman serta gulai kawah. Orang ramai beratur menunggu meja kosong dan pandai-pandailah pelanggan mempercepatkan suapan apabila melihat orang lain sedang menunggu giliran untuk makan. Tidak kurang juga yang membungkus sahaja untuk dibawa balik.

Petang selepas Zohor saya ke rumah sahabat lama di Taman Rakyat. Sudah hampir 3 tahun kami tidak berjumpa. Kali terakhir adalah pada tahun 2003 tidak berapa lama selepas dia bernikah. Sekarang dia sudah pun mempunyai anak berumur hampir 2 tahun dan sedang hamil anak kedua. Hujan renyai di luar sewaktu kami pulang kembali ke rumah abang ipar saya.


Kami bertolak pulang tidak lama selepas itu. Hajatnya mahu singgah ke rumah senior sewaktu di sekolah menengah dulu yang kebetulan seuniversiti dengan MOH. Keluarga itu tinggal di Bertam. Kami makan malam di sana. Anak-anaknya sudah seramai 4 orang. Malam itu sebelum tidur Itqan bertanya, " Ummi bila nak pergi kolam?". Saya sedar ada tugas yang belum selesai.

Keesokan paginya langit sedikit kelam. Awan berarak pantas ditolak angin (dan tentu juga kerana bumi berputar di atas paksinya). Itqan dan Rujhan telah bangun sepagi hari. Saya mesti menunaikan hajat mereka mahu mandi di kolam renang di tingkat bawah bangunan. Kakak pesan kalau pagarnya berkunci supaya saya memanjat sahaja. Aduh, takkan saya mahu memanjat pagar! Sampai di kolam pagar berkunci. Itqan terlebih dahulu telah memanjat pagar, dan sekelip mata Rujhan pula sudah sampai ke sebelah sana. Saya menoleh-noleh dan cepat-cepat turun ke sebelah sana kerana saya bimbang kalau anak- anak sendirian bermain di dalam kolam. Suara mereka sahaja yang kedengaran di pagi hari itu. Kolam yang tidak dipanaskan airnya menyebabkan anak-anak saya tidak tahan berendam terlalu lama. Tambahan pula angin yang bertiup agak deras. Tidak lama selepas kami masuk, datang seorang apek yang mahu mandi di kolam itu. Diangkat sahaja pagar yang berkunci dan disisihkan ke tepi. La begitu sahaja caranya. Kalau tahu tentu saya tidak perlu memecahkan rekod memanjat pagar yang tidak pernah dibuat emak orang! Selama ini, memang pagar itu sentiasa berkunci tetapi tidak pernah dibuka kerana boleh diangkat begitu sahaja. Hawa yang sejuk dan kira-kira satu jam selepas itu anak saya sudah mengajak naik ke atas. Menggigil-gigil mereka waktu saya bilaskan dengan pancuran yang terletak di tepi kolam. Elok kami beredar, hujan rintik pun turun kemudian melebat.

Selepas mandi dan bersiap, kami keluar untuk memenuhi undangan ke rumah sahabat sewaktu di Adelaide dulu. Jiran bawah rumah. Di Adelaide, saya dan MOH tinggal di sebuah bangunan apartment 2 tingkat yang mempunyai 8 unit rumah. 7 daripada 8 unit didiami oleh pelajar Malaysia dan 5 daripada didiami pasangan yang sudah berkahwin. Sahabat yang saya lawati ini tinggal tidak jauh dari kampus USM. Rumah mereka yang baru siap asalnya adalah rumah lama yang diratakan untuk menaikkan bangunan baru. Lapang dan selesa. Anak mereka pun sudah 2 orang. Kali terakhir saya berjumpanya adalah sewaktu walimah sahabat saya pada tahun 2004. Tentu seronok bertemu dengan sahabat lama. Suaminya pula berteman baik dengan MOH kerana bekerja di tempat yang sama sewaktu di Australia. Lama bersembang, bermacam-macam cerita yang sempat ditukar.

Kami bertingkah arah selepas itu. Kakak pulang ke rumah bersama-sama anak-anaknya dan kami memutuskan untuk meneruskan perjalanan pulang. Kami harus bertolak awal kerana bimbang akan mengalami kesesakan lagi. Tambahan pula, ada 2 buah keluarga lagi yang ingin kami lawati.

Sewaktu sampai di persimpangan Tapah, hujan menjadi semakin lebat. Kami mahu ke Temoh, tetapi entah macam mana, maklumat yang diberikan silap lalu kereta kami menuju ke pekan lain. Puas menelefon akhirnya kami sampai di rumah ex-housemate MOH di Temoh. Nyaris kami mahu pulang terus waktu tersesat tetapi setelah diberitahu kami akan dijamu laksa, kami cari juga rumah sahabat itu (kasihan tuan rumah yang telah bersusah payah memasak). Pasangan ini memang rapat dengan kami. Anak mereka pun sudah masuk 4 orang. Sahabat MOH itu mengelolakan Pusat Tahfiz Anak-anak Yatim yang diasaskan oleh allahyarham ayahnya. Tahun lalu, ibunya pula (mesra dipanggil Ummi) pulang ke rahmatullah. Pertama kali tiba, saya rasa rumah besar itu seakan kosong. Tiada lagi cerita-cerita rindu Ummi pada arwah suaminya setiap kali kami ke sana. Pusara arwah suami Ummi terletak di luar pintu rumah mereka. Kalau dulu, selepas setiap Asar Ummi akan berada di situ sambil membaca ayat-ayat al-Quran. Tetapi kini, tiada lagi.

Kami meninggalkan keluarga itu dengan niat untuk kembali lagi jika ALlah mengizinkan. Kami meneruskan perjalanan untuk singgah di Sabak Bernam pula. Kami tiba di sana waktu sudah lebih jam 10 malam. Sahabat MOH sewaktu belajar dulu dan pernah serumah juga saya kira. Kami diajak bermalam di sana. Kebetulan MOH sudah sangat keletihan. Anak-anak sudah lama tertidur di kereta.

Pagi yang cerah. Kami mahu segera pulang ke rumah mertua saya. Di dalam kereta MOH bertanya," Nak singgah Sg Besar dulu tak? Nanti jangan menyesal." Saya berhajat membeli sedikit pakaian untuk anak-anak. Tetapi akhirnya, saya juga membeli dua helai jubah yang saya kira murah harganya. Gembiranya saya :)

Kami tiba sekitar jam 2 petang. Sungguhpun penat saya sangat berpuas hati dengan kembara ini. Lebih-lebih lagi apabila MOH menyatakan cuti ini telah terisi dengan ziarah yang bermanfaat. Kami mungkin tidak bercuti-cuti Malaysia seperti orang lain. Tetapi ukhuwwah yang semakin bertaut di dalam kembara ini mudah-mudahan mendapat keberkatan daripada Allah.

4 comments:

Hanis Sabrina said...

Alhamdulillah...perjalanan terisi & sumer bergumbira nampaknya..especially yg dpt jubah baru :)...ni blog anakanda sofu yg bongsu...

Chrysalis said...

Thanks for visting Sofu.. nak pegi jalan-jalan kat blog Hanis pula

BaYu SenJa said...

bagus catatan perjalanan..
catatan percutian bayu terlalu memualkan agaknya :)

aie144 said...

Salam.

Lama tak berdengar khabar makcik Noni?