Monday 16 April 2007

Bila April

"It's snowing!"

Salji di Malaysia?

- Mustahil!

* * * * *

Di hemisfera selatan sedang musim gugur. Daun-daun pokok maple betul-betul di luar jendela kamar saya di Evandale sedang memerah sebelum kering dan gugur secara berjamaah pada bulan Jun. Selepas musim panas yang kadangkala boleh mencecah sehingga 40 darjah Celcius di Adelaide; membuatkan saya sering ternanti-nanti akan ketibaan musim luruh. Semangat pun berkobar-kobar apabila tiba bulan Mac yang menandakan semester baru seolah-olah bergandingan pula dengan perubahan musim bulan April.

Seringkali juga, gambar yang dirakam adalah pada musim ini. Jalan panjang depan Sekolah Perubatan juga akan berpesta daunan kering. Cuaca yang lebih kerap redup dan diselang-seli dengan bau daun kering seringkali menarik perhatian saya.

* * * * *

April datang lagi. Kali ini genap setahun saya menimba pengalaman bekerja dalam bidang yang agak asing buat saya. Setahun ini, banyak mengajar saya tentang tempat ini. Setahun yang perlahan-lahan memahamkan saya erti menerima takdir. Tempatnya pula bagai diatur-atur. Kata FT dalam novelnya - " Kerja Tuhan siapa tahu?".

Tuhan lebih bijak percaturannya. Dia Maha Mengenal saya, Maha Menjadikan, Maha Mengatur, Maha Pemberi ujian serta kesakitan dan Maha Pemberi penawar. Setahun yang menjadikan saya lebih teliti melihat ke dalam diri. Pada setiap cerita yang saya simpan atau nukilkan, pada setiap perkara yang saya "sapu ke bawah permaidani", setiap hari yang berlalu merupakan ubat menyembuh parut yang tidak kelihatan.

Setiap hari di sini, jika saya perlu bertugas di terminal, saya akan melalui jalan-jalan yang saya pernah lalui sewaktu berangkat pulang atau kembali dari Adelaide. Di antara carousel, seringkali langkah saya panjang dan dan jalan laju tanpa mengangkat kepala. Kadangkala di antara sekian ramai manusia yang berlepas dan tiba derapan kaki saya perlahan, dan saya akan kelihatan seperti mencari sesuatu yang hilang.

Terapi - itulah yang Tuhan sediakan buat saya di sini. Agar saya boleh menerima hakikat, hidup manusia sememangnya sarat dengan pertemuan dan perpisahan. Kerana kecilnya dunia waktu ini tidak dapat menjamin pertemuan untuk kali seterusnya. Perpisahan pula, menyatakan kesungguhan dan kesetiaan dalam mengharapkan perjumpaan akan datang.

* * * * *

Di Adelaide, bulan April berjaya mencuri perhatian saya, apabila suhu dingin menjadi semakin rendah sepanjang pertukaran hari. Dedaunan bertukar warna dan akhirnya gugur ke bumi. Dan saya akan menelusuri pembahagi jalan yang penuh dengan dedaun kering, sambil menikmati bunyi derapan tatkala daun-daun dipijak.

April bulan cinta saya bersemi dan bulan janji saya dimeterai.

* * * * *

Saya tidak pernah melihat salji turun (kecuali yang dilihat sayup-sayup di pergunungan Balakot, Pakistan) - selebihnya saya tonton di kaca TV. Saya pasti tiada salji yang turun dalam bulan April, kecualilah bongkah ais di Artik atau Antartik; mungkin ada.

Cukup setahun saya diberi terapi oleh Tuhan. Saya mahu menjadi diri yang lebih baik selepas ini kerana saya sedar, masa semakin pantas berlari...

* * * * *

Memori Musim Luruh

Daun berserakan
Hijau-kuning-merah-coklat
Gugur untuk menyedia ruang
Buat tunas baru
Pada musim bunga nanti

Oleh itu
Janganlah kau sugul atau derita
Kerana gugurnya kamu
Adalah buat memberi hidup
Kitaran seterusnya!

7 comments:

BaYu SenJa said...

setiap musim itu ada keunikan sendiri kan?
saya gemar ketika berada di hujung musim sejuk masuk ke luruh...
anggur terlalu murah waktu tu :)

Anonymous said...

Baru minggu lepas, ada seorang teman mengajak saya berhijrah ke negera bermusim. Kerja di landang anggur. Saya masih mempertimbangkannya.

Chrysalis said...

Hmm sorang suka makan anggur.. sorang lagi nak kerja di ladang anggur.. macam berjanji pulak.. akak je yang tak tulis apa-apa pasal anggur dalam entri ni...

Anonymous said...

assalamualaikum wbt

sy jd pelik jap... bile baca tulisan akak yg gmbrkn yg keje akak kt KLIA tu lain drp kerja sblm nih... ermmm... apa yg different tuh kak dgn tugas doktor2 biasa??? thanx...

Chrysalis said...

:) Thanks Azi... for writing in.

Sebenarnya tugas dekat KLIA ni lebih kepada tugasan Kesihatan Awam, keadaan tentu tak sama dgn hospital atau klinik kesihatan. Jadi banyak deal dengan paper work dan mesyuarat (meeting dengan engineer, dengan agensi lain, dengan kementerian dsbnya tak termasuk meeting internal), buat pembelian barangan, mengatur projek, mengadakan latihan dan sebagainya selain dari tugas hakiki merawat pesakit jika ada dan memantau penumpang yang dikuarantin di Pusat Kuarantin.

Itu je lainnya :)

BaYu SenJa said...

tu la akak tak tulis pasal anggur :)

sekarang, di sini sedang banyak dengan badam putik di samping strawberi yang merah harum juga sudah mula masak....

apa pun, rasanya bayu lebih suka dengan alam di Malaysia..

Anonymous said...

thanx kak for explaining... ;)