Friday, 6 April 2007

2 hari


Sudah 2 hari saya pulang lewat dari pejabat. Itqan dan Rujhan merungut-rungut kerana saya tidak mengambil mereka dari tempat mengaji. Itqan lebih-lebih lagi tidak berpuashati kerana tidak dapat berpusing-pusing dengan basikal Mongoose merah. Oh ye, Ahad lepas saya diajak 'menonton' aksi terbaru berbasikal tanpa roda kecil di belakang. Sudah boleh berbasikal dengan aman semenjak minggu lalu. Saya tidak sempat betul mencoretkan fakta itu. Selipar Itqan sebelah kiri menjadi semakin haus bahagian hadapannya kerana dijadikan brek setiap kali mahu berhenti. Oh anakku!

Kelmarin pagi, kira-kira jam 5 Itqan sudah merengek di telinga meminta susu. Manja sungguh kerana sudah 6 tahun pun masih beralasan akan menumpahkan susu jika dituang sendiri ke dalam cawan. Usai minum, Itqan bersuara, "Ummi, Abang dah mula A-L-Q-U-R-A-N", mengeja dengan senyuman dari telinga ke telinga menampilkan keluk lesung pipitnya. Saya senyum. Saya faham. Itqan sangat gembira malam sebelumnya tetapi kecewa kerana saya masih tidak kunjung pulang sehingga saat anak-anak tertidur di katil saya. Tentu dia tidak sabar bercerita tentang pencapaiannya menyelesaikan Iqra'. Malangnya, saya pula bekerja lebih masa. Sayu.

Saya cepat-cepat tanya Quran yang mana untuk dibawa ke rumah Ustaz. Itqan terlebih dahulu sudah mempunyai al-Quran yang berkenan di hati. Al-Quran bersaiz paling besar di rumah kami. Dahulu, waktu saya mula-mula terimanya sebagai hadiah, saya ada nampak Itqan menyelak-nyelak al-Quran tersebut walaupun ada beberapa buah Quran lagi yang mempunyai saiz yang lebih 'mesra kanak-kanak'. Mungkin kerana al-Quran yang satu itu hurufnya besar-besar, lalu dalam diam telah 'dicop' oleh Itqan.

Saya pesan, mahu menanggung al-Quran mesti berwudhu'. Berseri-seri Itqan dalam kedinginan pagi, berwudhu setelah selesai mandi (oh yang itu selepas dipaksa saya kerana difikir hanya perlu berwudhu' sahaja sebelum ke sekolah tanpa perlu mandi!).Saya ajar cara yang baik untuk dia membawanya; baik untuk kehormatan al-Quran dan baik untuk tulang belakangnya juga kerana berat.

Semoga Itqan menekuni dan beramal dengan al-Quran selagi hayatnya dikandung badan. Amin!

No comments: