Thursday, 28 June 2007

,


Saya akan meletakkan tanda koma (,) kepada blog ini buat beberapa waktu, kerana berhasrat mengurangkan pancaran radiasi sebanyak mungkin serta buat memberi laluan kepada fokus yang berbeza.
Apa pun, saya akan cuba mencatat sesuatu dari semasa ke semasa.

* * * * *

Oh ya.. dan saya sangat mahu makan Tim Tam berperisa pudina sekarang ini!

Tuesday, 19 June 2007

Petanda


Sampul surat putih
Dalam "lubang merpati" di tepi pintu masuk ke bilik
Dengan setem RM 1 gambar Punai Tanah (Green Winged Pigeon)

Terkandung:
Sebuah buku tipis merah
Dengan seorang lelaki bergambar menutup mata
Hitam baju, hitam topi
Tertulis:
Sajak
Sajak
Suci

..
..
..
abdullahjones

Petanda
Harus segera ke CIMB!

Wednesday, 6 June 2007

Kisah Kesaksian


Selepas kes Lina Joy, MOH tidak jemu memberitahu saya perkembangan terkini lain berkait soal perundangan negara. Katanya: Selepas ini kes Antaltuya pula akan disebut semula.

Bermulalah episod baru, dan khabarnya banyak juga watak-watak baru di dalam episod kali ini setelah watak-watak lama dilenyapkan; baik dari pihak Hakim, Peguamcara atau Peguambela.

Lalu saya cuba-cuba beringat dengan ini (maaf tidak dapat menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu kerana kitab ini di dalam Bahasa Inggeris, dan saya bimbang kalau saya menterjemahkan takut tersalah pula) :

Narrated 'Imran bin Husain r.a: Allah's Messenger sallallahu 'alahi wasallam said: " The best of my people are my generation, then their immediate followers, then their immediate followers. After them there will be people who will give (false) testimony without being asked(*), who will be treacherous and are not to be trusted, who will make vows which they do not fulfill, among whom obesity will appear." (Muttafaqun 'alaih)

* dijelaskan dengan: These are the kind of people who testify on their own in order that their reliability be established by any means, fair or unfair. These are in fact driven by an ulterior motive to establish a misleading and fictitious groundwork for the trial so that it may progress on the basis of misrepresentation and distortion of facts. These are the witnesses of the worst kind.

Hadith dipetik daripada The book of Judgement: Chapter 1: The Testimonies di dalam Bulugh al-Maram yang dikumpulkan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, ditulis oleh Muhammad bin Ismail as-Sanani: Dar-us-Salam Publications (Riyadh, Saudi Arabia)

Sunday, 3 June 2007

Jalan-jalan

Hari Jumaat lepas, saya memenuhi permintaan Rujhan untuk menaiki keretapi. Sudah berkali-kali diajak, setiap kali lalu di sebelah landasan keretapi apabila pulang dari tempat mengajinya. Kadang-kadang, sampai mengalirkan air mata, waktu lain merajuk sendiri apabila saya katakan "Ok, tapi bukan hari ini."

Keretapi yang kami naiki ialah KLIA Transit ke KL Sentral. Tambang untuk dewasa ialah RM 12.50 jika dari stesen terhampir rumah kami, dan RM 8.40 untuk kanak-kanak. Perjalanannya mengambil masa kira-kira 40 minit. Kami akan melalui beberapa perhentian sebelum sampai di KL Sentral.

Rujhan ternyata sangat gembira. Dalam pada gembira pun, dia masih teringatkan Itqan yang sedang menghabiskan cuti di rumah nenek. Rujhan fikir kami akan mengambil abangnya terlebih dahulu sebelum menaiki keretapi. Tetapi hari ini saya mahu jalan-jalan dengan Rujhan sahaja.

Memang begitu kaedah saya menghabiskan masa bersama anak-anak. Kadangkala bersama mereka berdua, kadangkala secara individu. Saya mahu mereka faham bahawa mereka disayangi dengan cara tersendiri, secara berseorangan atau kolektif. Aktiviti pula bergantung kepada dengan siapa saya keluar. Jika dengan Itqan, kami senang-senang sahaja menghabiskan masa di kedai buku kerana Itqan sudah boleh membaca, manakala dengan Rujhan, tentunya melayannya menaiki dari satu permainan tunggangan ke permainan lain sambil hanya melihat-lihat atau makan minum. Jika bersama-sama Itqan dan Rujhan biasanya aktiviti harus lebih terancang seperti berenang, ke Aquaria dan seumpamanya supaya mereka tidak cepat berasa bosan.




Bersama Rujhan, kami ke KLCC. Tempat yang besar, tidak begitu ramai orang pada hari bekerja, dan dekat dengan tempat kerja MOH. Kami janji mahu makan tengahari bersama lalu saya sempat berpusing-pusing sementara menanti MOH. Kali ini, saya tidak ke Kinokuniya sebagaimana biasa jika ke KLCC. Kami ke Galeri Petronas yang sedang menganjurkan 'BUMI MANUSIA : Nusantara Journey' oleh Masnoor Ramli. Ia mempamerkan hasil seni beliau dalam bentuk lukisan, fotografi dan tayangan video sewaktu menjelajah Indonesia bersama PETRONAS Adventure Team. Banyak juga soalan yang ditanya Rujhan sewaktu mengelilingi pameran tersebut: "Kenapa begitu" atau "kenapa tidak begini". Simbolik karya-karya beliau adakalanya sukar untuk difahami tetapi ada juga yang menyampaikan mesej secara terus, sebagaimana yang terhasil pada sebuah lukisan akrilik yang menunjukkan gambar dua orang kanak-kanak lelaki yang sedang menghadap horizon (seolah-olah memikirkan masa hadapan) dengan seorang daripadanya memakai kemeja dengan gambar kartun "The Incredibles" dan seorang lagi dengan tulisan "International Monetary Funding" secara 'imej-cermin', dengan tajuk karya semacam "Petaka Penjajah".

Sememangnya jalan-jalan saya dan Rujhan berhasil mendekatkan hubungan kami. Di hujung hari dalam hujan renyai, kami pulang bersama MOH dan Rujhan tertidur di kereta kerana keletihan.


Pasca-skrip: " Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghina diri, tetapi menghembus kegagahan." - HAMKA-

Thursday, 31 May 2007

Bukan Cerita Buku


Cuti sekolah anak-anak tidak ke tadika. Itqan dengan tegas mahu tinggal di rumah nenek kerana sepupu baiknya juga berada di sana buat beberapa hari. Waktu saya kursus tempoh hari, Itqan tinggal di rumah nenek juga. Kemudian setelah saya habis kursus, hari pertama pulang sahaja dia sudah kelihatan sugul dan apabila ditanya rupanya dia sedang menangis. Katanya: Teringatkan sepupunya.

Sekarang giliran saya pula teringatkan Itqan. Tambahan pula saya sedang membaca buku " Love, Laughter and Parenting: The Precious Years from birth to 6 years old" oleh Steve dan Sharon Biddulph yang turut menulis " Secrets to Happy Childhood". Buku yang saya baca itu bukan berkisar tentang bagaimana menukar lampin, atau kesan sampingan imunisasi tetapi lebih kepada bagaimana menjadikan 6 tahun pertama kehidupan seorang kanak-kanak, suatu pengalaman yang berharga dan akan diingati oleh ibubapa juga.

Itqan lahir pada tahun 2001 pada musim gugur, hari Isnin sehari selepas hari ibu. Jika pernah membaca entri saya sebelum ini, ternyata musim gugur adalah musim yang sangat saya sukai dan mengasyikkan. Secara ringkas saya akan ceritakan detik-detik proses kelahiran Itqan. Malam sebelumnya kami berusrah di rumah sahabat saya. Saya masih ingat yang dia menyuruh saya makan lebih banyak daripada selalu kerana katanya nanti kalau dah berpantang, lambat lagi nak merasa masakannya. Dia masak mi goreng dan ternyata dia memang pandai memasak. Lalu, saya memang makan banyak malam itu. Pulang ke rumah juga sudah agak lewat, kira-kira jam 10 malam. Saya membayangkan yang saya harus bangun awal keesokan harinya kerana saya mempunyai kelas tutorial subjek Neonatalogi (kajian bayi baru lahir) pada jam 6.30 pagi di hospital.

Jam 1.00 pagi tiba-tiba saya berasa sakit perut yang amat sangat. Sangka saya kerana terlalu banyak makan mi goreng, tetapi lain pula rasanya kerana disertai dengan kontraksi yang sangat kuat. Saya pula serba salah mahu mengejutkan MOH kerana dia kepenatan setelah semalaman (Sabtu) sebelumnya bekerja. Saya gagahkan berjalan dan menelefon pihak hospital tempat saya bercadang untuk bersalin. Apabila ditanya berapakah kekerapan sakit saya, saya beritahu sudah 1 kali setiap 10 minit, sejak dari awal saya merasa sakit. Lalu, jururawat itu menasihatkan saya segera ke hospital. Peralatan dan pakaian telah pun saya sediakan beberapa minggu sebelumnya walaupun saya baru masuk 38 minggu pada ketika itu. Saya kejutkan MOH dan beritahu mungkin sudah masa untuk saya bersalin. Hendak dijadikan cerita air panas pula bermasalah, maka saya terpaksa bersiap-siap dengan suhu yang sejuk.

Sampai di hospital sakit saya semakin kuat dan menjadi lebih kerap. Apabila diperiksa, saya sudah pun memasuki fasa kedua kelahiran. Saya ditolak masuk dengan kerusi roda ke dalam salah satu bilik yang masih sedikit basah kerana baru dicuci. " Memang banyak kelahiran malam tadi," kata bidan saya memberitahu. Saya memang memilih bidan dan bukannya doktor kerana mahukan pembantu wanita. Saya diminta memilih sama ada mahu berbaring di katil atau duduk sahaja. Saya pilih duduk kerana saya tahu jika saya berbaring, proses itu akan menjadi lebih lambat. Saya gagahkan juga, sambil di mulut tidak putus-putus membaca apa sahaja ayat al-Quran yang terlintas. MOH setia menemani.

Kira-kira jam 4 pagi saya sudah tidak dapat duduk dengan baik dan mula berbaring. Waktu itu saya beritahu bidan yang saya terasa hendak menolak keluar bayi itu. Bidan memberitahu, saya boleh mencubanya. Dia bertanya sama ada saya mahu menggunakan apa-apa ubat penahan sakit tetapi saya sekadar menggeleng dan menekup muka saya dengan bantal untuk mencari keselesaan. Bidan meredupkan sedikit kecerahan lampu di bilik saya. Saya cuba menolak sedikit-sedikit setiap kali sakit dan kontraksi datang. Lalu tiba-tiba, saya terasa kepala bayi telah keluar sedangkan bidan masih belum sempat membuka set kelahiran untuk saya. MOH disuruh menekan butang kecemasan dan dengan serta merta seluruh kakitangan hospital telah datang ke bilik saya. Akhirnya, bidan menyambut Itqan dengan mudah sekali dan MOH telah memotong tali pusatnya. Kami ditinggalkan sendirian sambil Itqan dibacakan azan. Sejurus itu juga Itqan telah boleh menyusu.

Itqan disahkan menghadapi suhu badan yang rendah (hipotermia). Itqan perlu tidur di dalam inkubator sehingga suhunya stabil. Saya juga perlu kerap menyusukannya supaya Itqan kembali normal. Saya yakin Itqan akan menjadi lebih baik keadaannya.

Memandangkan saya bersalin di hospital tempat saya belajar, maka tidak putus-putus saya menerima kunjungan daripada teman sekuliah dan teman dari Malaysia. Saya pula perlu menjaga kesihatan sebaiknya kerana 2 minggu sahaja cuti yang diberikan kepada saya. Selepas itu saya perlu datang ke kelas seperti biasa.

Oh ye, saya mahu telefon Itqan dan bertanya khabar dia di rumah nenek. Walaupun dia sudah berusia 6 tahun, saya masih dapat mengingati detik kelahirannya. Sememangnya detik menjadi seorang ibu adalah sesuatu yang sukar digambarkan. Segala kesakitan lenyap selepas melihat bayi dalam dakapan dan disertai pula dengan kecintaan yang mencurah.

(Gambar menunjukkan Adelaide Women's and Children's Hospital tempat Itqan dilahirkan.)

Monday, 21 May 2007

Kursus dan Buku Yang Sempat Diteroka

Salam hormat.

Alhamdulillah saya telah kembali dari kursus di suatu tempat di lereng bukit. Alhamdulillah kerana Tuhan beri saya kesempatan untuk menghabiskan dua buah buku tipis dengan judul " Impian Palestin" dan "Pudarnya Pesona Cleopatra". Kedua-dua buah buku ini saya beli dalam perjalanan ke tempat kursus di Nile Book Store, KL Sentral.

Buku Impian Palestin berkisar tentang beberapa watak sahabat yang berusaha untuk terus hidup dalam situasi peperangan. Nama-nama seperti Ibrahim, Nidhal, Ahmad, Reham dan Jihad merupakan watak-watak utama sedang nama-nama lain seperti Sara, Rami dan Muhammad adalah watak sampingan yang turut disebut dalam cerita ini. Apabila membaca karya terjemahan sebegini, dengan lenggok bahasa dan jalan cerita budaya lain bukanlah mudah. Walaubagaimanapun, saya tetap berusaha untuk mengetahui penghujungnya kerana saya pasti, kisah sebegini adalah satu antara jutaan kisah-kisah kehidupan dalam kancah peperangan yang perlu diceritakan pada orang lain dan sebagai satu ajakan untuk masyarakat luar (yang aman) supaya memahami kegetiran anak-anak yang berusia belasan tahun berusaha untuk kekal hidup seterusnya memberi semangat kepada orang lain untuk terus hidup.

Buku ini ditulis oleh seorang remaja perempuan bernama Randa Ghazy warganegara Itali, berketurunan Mesir yang mendapat ilham menulis selepas menyaksikan pembunuhan seorang kanak-kanak Palestin oleh askar Israel yang ditonton di kaca televisyen. Rentetan peristiwa yang menyayat hati itu, Randa telah menulis cerpen berkaitan peristiwa itu sekaligus memenangi sebuah pertandingan menulis di negaranya. Cerpen itu kemudiannya disambung menjadi sebuah novel. Olahan tulisan beliau membayangkan keupayaannya memahami konflik sebenar di Palestin dan berjaya menarik saya untuk ikut sama membayangkan kesengsaraan yang dihadapi oleh saudara-saudara di Palestin. Yang paling mengesankan adalah apabila watak-watak di dalam cerita ini seringkali menyangka yang dunia sebenarnya tidak pernah peduli akan kesengsaraan mereka kerana sehingga kini, kemerdekaan mereka seolah-olah tidak akan pernah terjadi dan tangisan mereka seringkali dipandang sepi.

Bagi yang berupaya menjiwai, karya yang sarat dengan cerita kesedihan dan tangisan, silalah membaca buku ini. Bagi yang tidak gemarkan cerita berunsur kekerasan dan kepiluan seperti ini juga mesti membacanya kerana dengan cara ini kita akan dapat memahami dengan jelas perjuangan penduduk Palestin yang menderita di negara sendiri. Berhentilah menjadi manusia yang menafikan kemelut dunia mereka. Baca dan sikapi situasi mereka dengan sebaiknya.




* * * * *


Buku kedua yang sempat saya baca ialah salah satu antara karya Kang Abik dan merupakan antara karya terawal yang dihasilkan sebelum Ayat-ayat Cinta. Buku yang saya beli itu adalah hasil terjemahan ke Bahasa Malaysia yang merupakan cetakan pertama tahun 2007. Di dalam buku itu, terdapat 2 buah kisah iaitu Pudarnya Pesona Cleopatra dan Setitis Embun Cinta Niyala.
Tentang Pudarnya Pesona Cleopatra: Andaikata anda pernah membaca AAC, mungkin terfikir apakah tiada kisah cinta yang tidak dipinta atau kasih yang bertepuk sebelah tangan? Kang Abik justeru telah menulis tentangnya sebelum kisah yang berkesudahan indah seperti AAC. Di dalam PPC diceritakan tentang seorang pemuda Indonesia yang telah dijodohkan dengan seorang gadis bernama Raihana oleh ibunya. Beliau menerima dengan terpaksa dan menghadapi kesukaran menerima isterinya. Kisah dilanjutkan dengan perbuatan-perbuatannya terhadap isterinya yang akhirnya mengundang kekesalan dalam diri.

Pelajaran ringkas yang saya dapati daripada kisah ini adalah menghargai apa yang kita ada lebih daripada menginginkan apa yang kita tidak punya. Selain itu, seorang lulusan pengajian agama pun jika tidak dituntun dengan cahaya kebenaran sukar untuk melihat dengan mata hati sama seperti manusia lain. Seringkali kita akan ditegur oleh Tuhan atas sikap keterlaluan kita dengan perantaraan orang lain, baik dalam bentuk pengalaman ataupun nasihat. Oleh itu, apabila kita mendengar atau membaca cerita orang lain, bererti ada nasihat dan iktibar untuk kita dan bukannya dibaca dengan pandangan kosong semata-mata.

Kisah kedua iaitu Setitis Embun Cinta Niyala pula merupakan kisah ringkas seorang bakal doktor bernama Niyala yang mengalami hari-hari getir kerana terpaksa menerima lamaran seorang pemuda kampungnya yang bersifat liar kerana hutang piutang ayah beliau menyekolahkannya sehingga ke peringkat universiti. Kisah yang agak sinonim dengan masyarakat Malaysia kerana saya pernah juga terbaca cerita sebegini di dalam novel atau surat khabar, yang kadang-kadang mengakibatkan penyesalan seumur hidup. Bagi Niyala, keputusan ayahnya seolah-olah berupaya menamatkan riwayat hidupnya. Namun beliau tetap berusaha berdoa agar Tuhan memberikannya jalan keluar. Kisah tamat dengan perkahwinan Niyala. Siapa akhirnya suami Niyala adalah untuk kita cari dengan membaca SECN.

Kedua-dua cerita mungkin bersifat biasa sahaja (tiada yang fenomenal) bagi yang pernah membaca karya-karya Kang Abik. Bagi saya, kebolehan beliau mempelbagaikan penulisan di dalam tema yang sama iaitu cinta adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Pada akhirnya cinta Tuhan itu yang kekal abadi.

Monday, 14 May 2007

Antara Cerpen dan Puisi



Saya baru selesai membaca "Kalau Kita Menjadi Kayu" yang mengundang pertanyaan daripada Itqan " Macam mana orang boleh jadi kayu Ummi?". Ia merupakan himpunan cerpen, puisi dan artikel sastera yang telah disenarai pendek sebagai penerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - ExxonMobil 2005 .

Di dalam buku ini termuat 10 karya cerpen, 10 puisi dan 3 artikel sastera. Cerpen yang paling saya suka ialah Hikayat Naga Gunung Cimayu hasil Ghazali Lateh. Puisi pula saya tersentuh dengan Al-Andalus Menangis karya pena Fahd Razy.

Kepada yang ingin baca tetapi belum mempunyainya, boleh dapatkan daripada Ujana Ilmu kerana saya juga mendapatkannya dari Puan Nisah Haron.

Selamat Membaca.