Friday, 9 March 2007

Counting Blessings


I'm counting my blessings today
For it is not something that happens everyday
I love being able to live and breathe
I'm thankful for every given meal
And for every cloud that passes by - as in shade and in rain
I'm grateful for friends and strangers alike
Who are so helpful and cheerful - and makes my life sunny
And who is bitter and arrogant - and makes me be patient
For I could not thank each and everyone of them: people or birds or flowers so sweet
But I can certainly thank He Who Created them
As I'm counting my blessings today

Thursday, 8 March 2007

Topik Cliche



Hari Ahad lepas, saya dijemput memberi sedikit pengisian tentang Pengurusan Stres yang bertajuk Managing Stress- The Chicken Little Way (credit buat saudara Riza dari KRIM Enterprise yang menyediakan semua bahan). Di hujung hari, kami menjalani sesi Youth Cafe (tanpa kopi atau goreng pisang panas). Dan seperti sesi sembang-sembang dengan remaja, topik yang tidak pernah terlepas pandang adalah topik cinta.

Saya bukan Dr HM Tuah yang pakar menjawab persoalan begini. Seorang adik bertanya, "Kak, tak boleh ke bercinta/couple sebagai inspirasi belajar?" Naik berpeluh juga saya memerah idea nak menjawab soalan ini. Dengan bahasa "perubatan" selamba saya jelaskan - "Mencegah Lebih Baik dari Merawat". Dalam kata lain, saya tidak mahu adik-adik di depan saya itu melakukan kesilapan dalam memberi erti kepada cinta.

Cinta itu sangat luas pengertiannya. Apabila Allah memerintahkan kita mengasihi orang lain lebih daripada diri sendiri sebagai pengukur beriman atau tidaknya kita, di sana sudah terungkap pengertian cinta. Cinta tidak terbatas kepada ibu atau ayah, adik-beradik dan saudara mara jauh apa lagi yang dekat. Cinta juga buat ditebar pada jiran tetangga, sahabat handai, saudara seaqidah dan umat manusia amnya. Cinta juga harus menjalar buat makhluk Allah yang lainnya - termasuk haiwan yang mesti dilakukan dengan ehsan, juga pada tumbuhan yang tidak patut diperbuat sebarangan hatta dalam peperangan (apa lagi di waktu aman). Terus; cinta juga perlu dihulur buat alam, langit - selagi mana setiap daripadanya tunduk kepada Pemiliknya.

Kasih yang sebenar tidak akan habis walau diberi kepada 1000 orang sekalipun. Apabila kita mengasihi seorang tidak bermakna kasih kita berkurang untuk mengasihi manusia yang lain. Atas faktor ini (pada fikiran saya - tiada kaitan dengan yang lain) juga Islam memperbolehkan seorang suami bernikah lebih dari seorang. Persoalan cuma pada keadilan yang perlu diukur dengan banyak sudut. Sudut tirus, sudut dongak dan sudut tepat (just to name a few). Tapi ia boleh berlaku, jadi bukanlah mustahil berlaku. Kasih ibu terhadap anak walau sehingga 10, 15, 20 orang pun dapat terbahagi dengan cara yang tersendiri.

Oh ye, tidak bermakna yang sebaliknya pula boleh terjadi (isteri mahu bernikah lebih daripada satu). Itu sudut cakah yang tidak patut ada dalam cermin sisi mana-mana perempuan - kerana pada wanita terpikul amanah berat, iaitu memurnikan nasab dan keturunan (tak timbul nanti soal - ini anak suami yang mana?) serta memudahkan kaum wanita supaya tidak perlu susah berfikir tentang berlaku adil, dan perkara-perkara yang sewaktu dengannya.

Berbahagialah mereka yang dicintai Tuhan dan dikasihi sesama insan.

* * * * *

Berbicara soal cinta - saya tertarik merakamkan puisi yang dipetik dari buku The Art of Naming oleh Nor Faridah Abdul Manaf bertajuk " Love thoughts (in memory of...)"

like butterflies they stay awhile
and 'out of season' rain brings chills
to the heart...

it's like loving someone

* * * * *

Saya akhiri entri Topik Cliche ini dengan sebuah lagu dari album Brother's Reunited - Warna Warna Cinta.

Mereka berkata:
Hidup perlukan cinta
Agar sejahtera
Aman dan bahagia
Andai tiada
Atau pudar warnanya
Meranalah jiwa
Gelaplah dunia

Warna-warna cinta
Yang terlukis di hatimu
Semat pada senyuman dan tangismu
Agar mewarnai
Jiwamu yang tulus
Seperti sang pelangi
Selepas gerimis

Mereka berkata:
Cinta itu merah
Mengalir bersama
Titisan yang sempurna
Cinta berharga - bila sudah tiada
Menjadi sejarah
Yang mungkin kan dilupa

Apa warna cinta
Bila hidup sengketa
Kabur warnanya...

Warna-warna cinta yang terlukis di hatimu
Semat pada senyuman dan tangismu
Agar mewarnai jiwamu yang tulus
Seperti sang pelangi selepas gerimis..
Selepas gerimis.

Wednesday, 7 March 2007

Novel Pertama

Rasmilah semalam tanggal 16 Safar 1428H/6 Mac 2007, anak sulung saya mendapat novel pertamanya. Terbitan PTS Publication bertajuk: Bermula Dengan Alif.

Siapa kata budak umur 5 tahun lebih tidak boleh membaca novel?

Anggapanmu

Semasa saya memperkenalkan diri bertelefon ke salah sebuah PBT yang terkemuka di Malaysia, dan di rantau sebelah sini (Lembah Klang) kerana mahu meminjam tandas bergerak saya ditanya satu soalan, "Betul ke doktor ni? Apsal suara macam budak-budak je?", tanya puan pegawai perhubungan di hujung talian. Untuk kesekian kalinya, saya tidak mahu berperasaan apa-apa, kecuali "huh?"

Acapkali sudah saya dengar kenyataan begini ditanyakan kepada saya, tak kiralah sama ada jika saya bercakap melalui telefon atau ketika bersemuka. Pada mulanya saya beranggapan, orang yang berkata demikian sebenarnya mahu menjual barang pada saya (ayat org bisnes). Tapi lama kelamaan sedikit sebanyak saya berasa sesak dengan anggapan seperti itu. (Err pentingkah apa anggapan manusia lain pada kita?)

Untuk orang berkata saya nampak jauh lebih muda dari usia, bukanlah sesuatu yang menyukakan hati saya. Awet muda, bukan kenyataan yang harus dibangga kerana umur yang meniti saban hari tidak pernah akan kembali. Paling menyusahkan apabila pesakit tidak mahu memakai nasihat kita kerana "doktor nampak macam baru grad je" dan sangkaan itu membuatkan keyakinan saya semakin menipis. (Ah pentingkah anggapan manusia lain pada kita?)

Kesimpulan yang dapat saya pelajari adalah - biarlah apa yang orang lain mahu katakan tentang saya. Saya cuba menjadi manusia yang "berisi" dan memberi manfaat pada orang lain. Jika saya menulis bukan kerana nama, saya juga tidak mahu orang menerima nasihat (atau sebaliknya) kerana rupa tidak matured saya. Saya sudah tua dan mahu bertindak sesuai dengan usia saya.

Kepada yang masih menyangka saya budak hingusan - dengarlah apa yang saya kata dan bukan semata melihat kepada orang yang berkata-kata.

* * * * *

Oh ye, jangan pula ada yang berkata saya tidak bersyukur dengan kurniaan Tuhan pada saya. Keadaan "tak matured" ini aset saya untuk mendekati remaja walaupun bukan untuk golongan profesional sesama atau golongan tua yang lebih suka pada yang kematangan rupa.

Kembara Silaturrahim 2


Saya ke bengkel yang terletak tidak jauh dari tol Rm1.60. Jam 11 pagi saya telah sampai dan menunggu giliran. Kira-kira 11.30 kereta di bawa masuk bengkel dan bermulalah penantian yang panjang (dan membosankan). Rujhan yang lemah terlentok di bahu saya. Saya menjenguk ke bahagian atas bengkel. Ada customer lounge yang berhawa dingin, selesa hingga Rujhan tertidur. Suhu badannya sudah tidak begitu panas.

Kebiasaan servis akan mengambil masa paling lama 2 jam. Tetapi sehingga jam 3 petang kereta masih belum juga siap. Rujhan yang sekejap bangun; sekejap terlena semula menjadi semakin resah. Jam 4.20 petang, staf yang bertugas mengendalikan kereta saya memberitahu mereka hanya dapat membuat servis biasa sahaja kerana tiada alat untuk memperbaiki kerosakan dan menasihatkan saya untuk ke bengkel lain. Saya rasa seperti naga yang menghamburkan api (dan asap). Mereka hanya memberitahu tentang ketiadaan alat setelah 5 jam saya menanti. Saya pulang dengan rasa malas untuk berperasaan apa-apa.

Telefon saya berdering. MOH di hujung talian. Saya ceritakan semuanya. Kata MOH " So, kita takkan ke P Pinang ye?". Saya diam. Apa yang saya mahu katakan pada Itqan yang sudah sibuk bertanya itu dan ini tentang percutian ini? Itu sahaja yang terlintas dalam kepala saya ketika itu. Walaupun saya juga sangsi saya akan bertegas untuk pergi demi mengotakan janji kepada Itqan; memandangkan keadaan Rujhan yang tidak kelihatan mahu kebah.

Waktu mengambil Itqan, dia masih lagi bertanya bila mahu ke rumah Kakak Marha. Saya diam pada mulanya. "Esok kan Ummi kita pergi rumah Kakak Marha?" Saya beritahu," kereta Ummi rosak (atau patah bahasa Rujhan), jadi kita tak boleh pergi rumah Ibu Long."".... kita pergi naik kereta Walid kan boleh Ummi?" Saya jawab, " Tanya Walid dulu."

Tuesday, 6 March 2007

Salam Tahniah

Saya ingin merakamkan ucapan selamat dan tahniah kepada Ummu Raed yang khabarnya telah menimang cahayamata kedua. Semoga terus merah cintamu buat keluarga.

Apabila Tinta Tak Tertuliskan

Saya bercadang menyambung entri Kembara Silaturrahim, tetapi tugas tidak memungkinkan. Saya ke Kinokuniya semalam setelah menghadiri program di Bangunan Tabung Haji. Menonton Selayang Pandang Operasi Haji 1427 H, membuatkan hati saya meronta-ronta mahu ke sana. Mudah-mudahan doa wanita di kaunter Tabung Haji untuk saya ke sana segera dimakbulkan.

Saya berpusing-pusing di dalam KLCC mencari sekeping beg kertas untuk saya letakkan plak penghargaan yang diberi TH kepada pejabat kami. Merah dan bengkak tangan saya mengendong plak yang bukannya berat, tetapi kerana ada lagi barang lain yang saya terpaksa galas bersama, maka tangan saya terasa sakit-sakit. Akhirnya saya jumpa beg kertas berwarna hijau dan merah jambu bergambar seekor teddy. Rm6! Tapi saya ambil juga kerana tangan sudah terketar-ketar memegang plak.

Usai meletakkan plak di dalam beg plastik yang cukup besar memuatkan beg kertas di Lovely Lace saya bergegas ke Kinokuniya. Mata tertancap pada buku For Another Day, yang ditulis oleh Mitch Albom ( juga menulis 5 people You Meet in Heaven dan Tuesdays with Morrie), tapi hard cover; lalu saya letak semula.

Berjalan-jalan di antara barisan rak buku Kinokuniya membuatkan saya teringat Perpustakaan agam di Sydney. Saya sukakan perpustakaan sejak saya pandai ke perpustakaan Klang sendiri-sendiri selepas aktiviti ko-kurikulum sekolah rendah. Sejak itu saya tahu hati saya akan sentiasa sejuk apabila dikelilingi buku. Perpustakaan di Melbourne juga tempat hati saya pernah singgah. Wah banyak nya cinta hati saya!





Saya memegang buku Spiritual Verses by Rumi. Saya baca pengenalan tentang siapa Rumi. Saya juga ternampak buku Toto-Chan dan buku tag yang laris sedunia (khabarnya) Train Man. Tetapi, akhirnya saya duduk mengulit sebuah buku berwarna hijau cerah, dengan illustrasi seorang wanita memegang sebiji epal. The Art of Naming oleh Nor Faridah Abdul Manaf. Tentang koleksi puisinya bersama terjemahan. Saya membaca hampir kesemua puisi Inggeris di dalam buku itu. Namun, saya mahu beli dan simpan untuk saya ulang baca. Puisi yang indah buat hati yang mahu tenang di saat kesibukan menghimpit.

Saya berjalan laju ke Masjid as-Syakirin untuk solat asar sementara menanti MOH.

Syukur saya pada Tuhan kerana memberi saya ruang melepaskan rindu saya pada harum kedai buku.