Wednesday, 14 February 2007

WAKTU dan KEHIDUPAN


Bismillahirrahmanirrahim

ALhamdulillah, wa solatu wa salamu 'ala Rasulillah.

Seminggu lebih saya tidak dapat menulis apa-apa. Di celah- celah kesibukan berkejaran saban pagi ke Hospital Putrajaya dan tugasan awal tahun yang memerlukan daya konsentrasi yang tinggi membuatkan saya kering idea untuk menulis di sini. Pada waktu yang sama, fokus saya adalah kepada beberapa buku yang sempat saya cedok ilmunya, kerana serasa saya tahun lalu saya sudah baca terlalu banyak novel sehingga buku-buku ilmiah terpinggir. Tetapi, novel tidak bermakna tiada ilmu yang boleh dipelajari di dalamnya. Jika tidak, saya tidak mungkin menjadi penggemar setia Zaharah Muhammad (semoga ALlah memberi lebih banyak ilham berdakwah melalui tulisan kepadanya).

Antara buku yang sempat saya habiskan ialah Bagaimana Menyentuh Hati oleh 'Abbas Assisi, Al-Isti'aab oleh Fathi Yakan ( yang saya beli di Pustaka Fajar Ilmu Baru- Kredit buat Jiwa Rasa kerana memperkenalkan saya pada tempat tersebut, dan juga pada adik saya x-ibnu 'aqil yang sudi menemankan saya menjelajah Wisma Yakin yang mempunyai 'rahsia'nya yang tersendiri), kemudian Tunggu Teduh Dulu karya Faisal Tehrani yang akhirnya dapat saya pinjam daripada seorang adik yang manis bernama Asma' dan juga Tentang Cinta oleh Pahrol Md. Juoi. Sekarang saya sedang mengulit Surat Dari Garis Depan (Suara Hati Tokoh Perlawanan) yang juga saya dapatkan dari Fajar Ilmu Baru. Kesemuanya memberikan kesan positif kepada minda dan buku yang sedang saya baca sekarang ini lebih-lebih lagi menyeru saya untuk tambah bekerja keras.

Saya sangat bersyukur kerana Allah beri saya kesempatan untuk membaca buku-buku motivasi yang Islami. Secara tulus, saya telah berhenti membaca buku-buku sebegitu, dari buah tangan non-muslim secara sedar beberapa tahun lalu. Saya sudah membaca hampir kesemua buku Stephen Covey et al sejak di universiti, juga buku-buku Dale Carnegie kerana perpustakaan komuniti dekat rumah di Cowandilla mempunyai banyak buku-buku seperti itu. Tidak ketinggalan buku tulisan Zig Ziglar dan Tony Buzan yang saya jumpa dalam perpustakaan di rumah mertua, dan bermacam-macam lagi buku "self-help" yang saya baca melebihi buku-buku perubatan saya! Walaubagaimanapun, semacam ada kekurangan pada setiap sentuhan tulisan mereka kerana ditulis oleh insan yang bertongkatkan akal dan kalau adapun yang memberi sentuhan spiritual, tentulah jauh tercicir berbanding jika digarap saudara seaqidah. Mesej penulis-penulis barat sangat jelas, dan saya kagum kerana iltizam dan praktik seiring. Tetapi tanpa unsur tauhidic mindset (meminjam kata-kata penulis Pahrol), amal menjadi sia-sia dan kadang-kadang keliru pula.

Syukur saya pada yang berhak, dan segala puji dan syukur buat Allah sahaja kerana selalu melorongkan saya pada jalan kebaikan walaupun saya sering saja lupa dan tersasar.


* * * * *


Waktu itu kehidupan
Bukan yang termaktub pada panjang angan
Juga bukan pada titis-titis hujan yang terintai-intai di balik awan
Entahkan turun, entahkan tidak
Jika bukan di situ hamburnya.

Waktu itu kehidupan
Bukan yang tersulam pada masa lalu yang melekakan
Juga bukan pada parut luka bernanar menitik perlahan
Entahkan sembuh, entahkan tidak
Jika bukan di sini penawarnya.

Waktu itu kehidupan
Bukan sampan kecil oleng-olengan
Juga bukan pada fatwa hati yang tidak keruan
Entahkan tetap, entahkan tidak
Jika bukan pada Allah letaknya.

Waktu itu sesungguhnya kehidupan
Yang diguna buat mengumpul bekalan
Pada suatu perjalanan
Entahkan cukup, entahkan tidak
Jika bukan kehendak Tuhan yang Empunya!


* * * * *

Lalu berusahalah kita mengisi kehidupan dengan segala yang Allah redha semata.

2 comments:

Zaharah said...

Kak,
Saya pun selalu memborong buku di Fajar Ilmu sampai pernah kena tengur dek Pak Cik yang sekampung dgn Buya Hamka. Melihat buku yang saya beli, katanya :Wah, ini boleh jadi ahli sufi.

Agak-agak, kita pernah terserempak tak? Hehehe

Zaharah said...

Nampaknya, akak sibuk ya kebelakangan ni. Apa pun, selamat menjalankan tugas. Tertunggu-tunggu juga entri baru akak.:)