Friday, 28 December 2007

Year End Goodbye

Hujung tahun ..

Rasanya sesuai untuk letak noktah pada blog ini, kerana nanti tugasan akan lebih banyak dan komitmen juga bakal bertambah.

Farewell.. terima kasih pada yang singgah dan meninggalkan komen.

Maaf kalau ada silap dan salah

Kalau ada jarum yang patah....

Kalau ada sumur di ladang...

Sekian...

Thursday, 13 December 2007

Cuti-cuti Malaysia



Hujung tahun: sibuk dengan kerja-kerja pentadbiran sehingga saya merasakan saya telah banyak ketinggalan dalam kerja-kerja klinikal. Mujurlah anggota kerja di sini yang berumur lebih 35 tahun harus menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan, jikalau tidak saya seumpama doktor yang menggantung stetoskopnya bukan di atas bahu tetapi pada penyangkut baju. Oh ye! dan sesiapa yang bekerja dengan sektor awam ini tentu tahu tentang "Year End Shopping (YES) bukan Year End Sale, kerana kesibukan 'menyelesaikan' bajet kewangan yang tiba-tiba muncul tanpa disangka. Dan saya juga tidak ketinggalan memeriahkannya :)


Dalam kesibukan saya terpaksa juga mengambil cuti-cuti Malaysia. Itqan telah selamat berkhatan pada 2 Disember lalu, dan saya hanya dapat menjaganya selama 3 hari kerana kekangan kerja. Selebihnya, Itqan dijaga oleh To' Ibu. ALhamdulillah tidaklah teruk sangat, walaupun kadang-kadang dia berkeras tidak mahu mandi ataupun jenuh mengingatkan jika Itqan suka-suka sahaja memanjat ke sana sini dengan memakai kain! Selebihnya hanya memastikan dia mahu makan ubat. Hari kelima Itqan sudah memakai seluar seperti biasa dan naik basikal pada hari ketujuh. Walaubagaimanapun, saya tidak dapat merakamkan detik-detik cemas itu, kerana Itqan tidak cemas langsung menghadapinya. Gambar Itqan memakai kain klasik juga tidak ada kerana sekian lamanya, hajat saya hendak membeli coolpix masih lagi tidak kesampaian.... D'oh!


Kelmarin cuti di Selangor, kami anak beranak (kecuali MOH kerana beliau bekerja bukan di Selangor), berjalan ke Aquaria. "Seronok tengok fish" kata Rujhan. Semenjak anak-anak bercuti sekolah, saya belum sempat membawa mereka "makan angin" sehinggalah hari itu. Rujhan tentu paling bosan kerana selain perlu ditinggalkan ketika saya bekerja, banyak tumpuan saya berikan kepada Itqan yang telah dibedah kecil. Rengekannya sahaja sudah menandakan Rujhan mahukan perhatian daripada umminya yang perlu melakukan terlalu banyak kerja pada satu-satu masa. Jadi, naik "kapaltapi" dan tengok fish memang menggembirakan Rujhan.


Oh ye dan saya perlu menduduki peperiksaan minggu depan, padahal buku rujukan baru saya baca hanya pada tajuknya! Sedangkan sebelum itu semasa menjaga Itqan di kampung, saya sempat menghabiskan 4 buah novel (uhu) dan kemudiannya setelah pulang ke sini, menyelesaikan A Thousand Splendid Suns oleh Khaled Hosseini: Hadiah dari MOH dalam masa 1 hari :)

MOH mencadangkan saya mengambil cuti sehari sebelum itu supaya saya dapat menelaah dengan baik untuk peperiksaan. Walhal, saya sudah mengintai-intai The Kite Runner: hasil tulisan pengarang yang sama. Saya kira harus berkorban dulu dan menghabiskan bacaan untuk peperiksaan terlebih dahulu.


Doakan saya...