Showing posts with label Passionfruit Tea. Show all posts
Showing posts with label Passionfruit Tea. Show all posts

Wednesday, 17 January 2007

Harga Sepasang Kasut

(Gambar ihsan www.womens-fashion-boots-shoes.com)

Bolehkah seseorang dinilai melalui kasutnya?

Pernah saya terdengar di dalam satu ceramah oleh DMFK bahawa seseorang boleh dinilai berdasarkan kasutnya. Pada awalnya saya tidak begitu faham, tetapi lama kelamaan terasa kebenarannya. Dulu waktu di sekolah sering sahaja guru mengingatkan saya " Kalau tengok kamu dari atas dah elok dah pakaiannya, sampai kat kaki pakai sandal aje?" Selalunya saya hanya tersenyum sumbing. Dengan kedegilan saya, tak siapa akan tahu kenapa fesyen saya sering begitu-begitu. Dan tentu sahaja topik sandal bukan topik kegemaran saya, tetapi mengapa entri ini mesti ditulis?

Semenjak mendapat ilmu menilai manusia melalui kasut, saya pun memulakan eksperimen. Pemerhatian dibuat bukan sahaja pada jenis kasut, jenama atau warna, malah cara kasut dipakai dan tak lupa; rupa kasut sewaktu digunakan (rupa si pemakai tak masuk dalam senarai). Itu belum lagi perihal melihat kehausan tapaknya, atau kekilatan kasut yang dijaga rapi. Wah, banyak sungguh yang boleh dipelajari hanya dari sepasang kasut!

Saya tidaklah bercadang hendak menulis artikel berkenaan ilmu psikologi si pemakai kasut/sandal/selipar. Cukuplah pemerhatian saya itu, saya fahami sendiri. Saya cuma tertarik melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza, itu sahaja. Sebagaimana yang sibuk diwar-warkan dalam akhbar hari ni "Berfikir di Luar Kotak".

Saya bukanlah pemikir yang baik (kerana sering pening dan pusing bila membaca artikel yang memerlukan tadabbur yang mendalam). Tetapi saya gemar memerhati dan menyingkap yang tersirat di sebalik pemerhatian saya. Mungkin kerana penangan soalan lisan BM waktu SPM dulu. Oleh kerana itu, pernah suatu dekad lampau saya bertabiat gemar memandang ke atas untuk melihat bangunan dari perspektif yang berbeza, dalam perjalanan menaiki "limo" TransA ke kuliah. Macam-macam yang boleh dilihat jika kita mencuba pandang ke atas. Tetapi sekarang, sudah memandu sendiri ke pejabat, tak merasa nak pandang ke atas lagi. Tambahan pula di kawasan ini, bangunan pun tidak banyak untuk dipandang.

Oh ya, jika kasut mempunyai nilai psikologi yang tersendiri dalam menilai personaliti, tahukah anda Kementerian Pelajaran meletakkan syarat tertentu untuk pemakaian kasut guru, khasnya untuk cikgi-cikgi?

Pada yang bertanya, kasut yang saya pakai hari ini berharga RM29.95 sahaja yang boleh anda dapatkan di Viss, Alamanda Putrajaya :)