Thursday, 13 September 2007

Harapan Pada Ramadhan


Mengetuk hati di bulan ini
Menjenguk diri setelah meninggalkan 11 bulan yang panjang
Penuh dosa, sedikit amal
Penuh khilaf, sedikit tawakkal
Penuh lalai, sedikit bekal

Lalu pada bulan yang dijanjikan
Keberkatan, kesamarataan, kebajikan, kedermawanan, kefasihan, kekhusyukan...
Muthmainnah, ukhuwwah, mahabbah, uzlah, syafaa'ah, sakinah...
Kehambaan, keinsafan, kerendahan, kemurnian, kekayaan...

Aku merenung butiran muhasabah dan menenun indah muraqabah
Moga-moga Tuhan menerima ibadah
Dan membasmi mazmumah


Kuala Lumpur
1 Ramadhan 1428
13 September 2007


Foto: Jabal Qasiyyun, Damsyiq.

Friday, 7 September 2007

Teruja



Salam hormat.

Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke hospital. Kali terakhir, menziarahi saudara di SMC dan sebelum itu, membawa Rujhan berjumpa pakar THT. Jadi, Isnin lalu, apabila saya berpeluang menghantar seorang saudara ke sana, perasaan saya jadi berbaur-baur. Sedikit rindu dan selebihnya teruja. Perasaan yang akan datang setiap kali saya berada di kawasan hospital, sama ada atas sebab tugasan, kursus atau ziarah.

Sehari suntuk saya di hospital, sehingga urusan pada hari tersebut selesai buat sementara waktu. Beberapa sahabat lama yang sudah beberapa tahun tidak bertemu, saya jumpa semula di sana. Ada yang bertugas, menyambung pengajian di peringkat sarjana dan ada yang menjaga ahli keluarga lain yang sakit.

Sebagaimana selalunya, setelah saya pulang dari hospital, saya akan rasakan kesibukan, ketekunan dan keprihatinan warga kerja hospital. Tidaklah bermakna, di dalam hospital itu sempurna, tetapi pergerakan aktiviti yang berlaku di dalam institusi tersebut ibarat susunan koreografi yang indah di mata saya. Bunyi hiruk pikuk manusia di dalamnya, seumpama sebuah dendangan lagu yang telah lama tidak didengari telinga saya. Saya jadi sentimental dengan hospital :) Lebih menghairankan, walaupun saya masih ingat perit getir hari-hari yang dilalui di hospital, saya tidak pernah berasa bosan.

Lalu petanda apakah ini? Adakah saya harus kembali bertugas di sana? Jika kembali ke hospital, saya pasti sibuk dengan tugas atas panggilan dan natijah lain yang bakal menanti. Tetapi, kesibukan itu memberi kepuasan kepada banyak doktor yang masih setia bertugas di hospital-hospital dan akur dengan beban tugas yang menghimpit, kerana tugas menyelamatkan nyawa manusia itu tugas yang mulia. Dengan kesusahan, mereka dianugerahkan banyak kemudahan.

Istikharahlah!

Gambar ehsan: www.medicine.ukm.my

Thursday, 6 September 2007

Surat & Sotong



Akhirnya saya dapat tulis sesuatu khusus untuk Teh, setelah dikejutkan jam 1 pagi dan berjaga sehingga ke siang.

Di Tanjong Katong airnya biru,
Di situ tempatnya dara jelita,
Sama sekampung lagikan rindu,
Kononlah pula nun jauh di mata.

:)

Pasca skrip: Tanjong Katong bukan tempat mencandat sotong.


Wednesday, 5 September 2007

Tinta Terakhir (Seorang Pejuang)



Lirik saya ambil dari Album Bahana Cinta - Wadi-L-Jadid
(Dedikasi dan Terima kasih buat Nur kerana beri hadiah sebotol buah zaitun tempoh hari)

Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu
Mematahkan
Semangat perjuanganmu
Kerna kita telah dijanjikan Allah
Dengan DUA kemuliaan
Tergugur syahid di medan perjuangan
Atau meraih kemenangan

Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, Yakinilah
Kita pasti berjaya


Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu
Mematahkan
Semangat perjuanganmu
Kerna perjuangan memerlukan pengorbanan

Kerna PEJUANG
Tak mengenal kerehatan
Aturkanlah langkahmu dengan penuh keimanan
Suburkanlah jiwamu
Dengan segala keyakinan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah
Islam pasti berjaya

Relakanlah pemergianku ini
Iringi dengan seribu doa
SEMOGA KITAKAN BERJUMPA SEMULA
DI SYURGA TUHAN YANG INDAH
YANG INDAH...


Tuesday, 4 September 2007

LOVE is CINTA

Sebenarnya saya ingin benar menulis sesuatu yang khusus untuk Teh kerana semenjak akhir-akhir ini, kami menjadi begitu akrab lewat panggilan telefon dan sms yang telah dihantar, juga yang telah diterima, meliputi pelbagai kisah masyarakat, lawak sekolah rendah dan cerita tentang penulis dan bidang penulisan. Amat sedikit daripadanya berunsur peribadi, apatah lagi yang berkaitan dengan isu yang tidak relevan. Walaupun saya telah cuba untuk menulis tentang tips menjaga kecantikan wajah (atau lebih tepat kebersihan), tetapi rasanya elok cerita-cerita itu saya hantarkan kepada Teh melalui sms dan bukannya di sini (takut kena gelak kuat-kuat dengan pakar kecantikan!)


Walaubagaimanapun, untuk kesekian kalinya, saya tidak boleh memerah otak, menandingi penulisan Teh, maka selain cerita resepi ayam masak kicap yang masih terhutang dengan Teh, saya akan menulis tentang aktiviti saya sepanjang cuti panjang yang lalu.


Pada malam menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 tahun, saya telah melenguhkan kaki kerana melawat Alamanda Putrajaya dengan hasrat membeli sepasang kasut baru berwarna hitam. (Kasut warna hitam kesayangan saya yang telah rosak dan tidak dapat dibaiki lagi telah tidak berganti dengan warna yang serupa melainkan dengan warna merah dan cokelat). Namun malangnya, saya tidak berjumpa dengan kasut yang menarik hati saya (dan tidak melemahkan poket saya), lalu wang saya terluak dengan membeli dua buah buku di MPH bertajuk Virus Jihad (Antologi cerpen sempena peraduan menulis puisi dan cerpen berunsur Islam kali ke-X terbitan DBP) yang berharga RM 15 dan Selamat Malam Anakku, Kisah daripada Al-quran untuk si kecil (yang berharga RM 30+). Selain itu, saya membeli-belah juga di Miss T iaitu kedai aksesori yang banyak barang berwarna merah jambu. Saya melihat banyak baju bayi yang dijual dengan diskaun di beberapa kedai di sana tetapi belum ada perasaan yang cukup kuat untuk membelinya.


Pulang bersama anak-anak, kami melalui jalan sebelah belakang Putrajaya yang selalunya sangat suram juga tidak banyak kenderaan. Tetapi malam itu, saya sedikit menyesal melaluinya kerana jalanraya sangat sesak kerana orang ramai sesuka hati meletak kenderaan di bahu jalan, lorong paling kiri dan akhirnya sehingga ke lorong tengah (apabila berhampiran dengan PICC) kerana hendak menyaksikan pertunjukan bunga api sempena menyambut kemerdekaan ke-50. Maka pada pendapat saya, merdeka sungguh jiwa mereka yang menyusahkan orang lain sebegini rupa!


31 Ogos 2007.
Saya terpanggil membuat sedikit 'spring cleaning' dalam rumah dengan menyisihkan baju keluarga yang sudah tidak digunakan lagi dan yang seangkatan dengannya. Tengahari, kami pulang ke rumah Mak kerana ada kenduri. Mak masak mee goreng dengan ayam goreng berempah dan menempah kuih muih seperti talam berlauk. Saya menanggung tugas sebagai penyambut tetamu dan tukang jaga air.


Malamnya kami melawat seorang saudara di SMC. Sejuknya bilik itu walaupun penghawa dingin diletakkan pada suhu 30 darjah. Saya kira technician air-con tidak membuat PPM dengan tepat, kerana suhunya tentu lebih rendah daripada 20 darjah selsius!

1 September 2007.
Pagi-pagi lagi saya sudah menunggu komuter untuk ke KL. Destinasi: KL Sentral singgah sebentar membeli nasi goreng (yang tiada sotong :)) dan air tembikai susu untuk dibuat sarapan kemudian naik LRT ke KLCC. Berjalan laju terus ke Masjid as-Syakirin untuk ini:





Terima kasih kepada sahabat saya Nur yang sudi datang setelah saya mengajak beliau dan tahniah kerana sudah hamil 5 minggu. Ustaz Zamri (TV9) memang bijak memberi huraian dan tidak ketingalan Ustazah Teh yang banyak memberi kalimah-kalimah baru di dalam forum tersebut. Ina Naim kelihatan lebih kecil daripada yang saya lihat di akhbar atau TV dan Suhaimie memang sedap suaranya ketika mendendangkan Pesona Zulaikha dan Kias Cinta. Kesimpulan daripada sesi forum ini, boleh dihayati dengan mendengarkan lagu Bahana Cinta oleh Wadi-L-Jadid (juga memuatkan Rintihan Merentas Benua).


Pulang tengahari, saya bergegas ke Hotel Sri Malaysia, PD kerana perlu merasmikan kursus anjuran jabatan, dan berakhir keesokan harinya.

Terima kasih buat Ibu Long kerana bersusah payah mengirimkan tamar, kopiah dan pakaian untuk kami tidak ketinggalan air zam-zam.


Saya letih bercuti panjang, kerana banyak yang perlu dilakukan, tetapi apalah gunanya hari-hari cuti jika tidak diisi?

Tuesday, 28 August 2007

Meniti Hari-hari yang Pinta Diisi (Mengimbau Pengisian Kemerdekaan)


Lima hari bercuti, alhamdulillah keadaan di pejabat masih baik lagi. Cuma jumlah kertas yang terkandung di dalam " Lubang Merpati" saya kelihatan sesak dan mengingatkan bahawa hari berlalu dan terus berlalu sama ada kita mengisinya dengan sesuatu atau tidak. Dua kursus menanti sebelum Ramadhan dan beberapa tugas kecil menanti kepulangan. Namun tugas yang agak besar telah selesai semalam juga.

Lima hari bercuti, apa yang diisi? Oh ye, senang memasak untuk anak-anak dan melayan kerenah mereka setiap hari. Mengulang baca novel "Catcher in the Rye" yang tidak begitu saya fahami sewaktu Pre-Bridging Course di USM, Kubang Krian, tetapi lebih saya fahami kini.

Mencari sekolah untuk Itqan tidak semudah yang diharapkan. Akhirnya terfikir apakah perlu sekolah di tempat yang begitu? Prasarana hebat dan meyakinkan. Sayalah antara ibu yang tidak yakin dengan sistem persekolahan kini, walaupun saya terdidik dengan sistem yang sama dahulu. Sikap guru, kurikulum sekolah, pendekatan "suapan-sudu" dan orientasi peperiksaan menakutkan saya. Anak 4 tahun sudah dihantar ke tiusyen? Mak juga bekas guru dan memahami kemelut saya. Adik ipar saya seorang guru di salah sebuah sekolah rendah cemerlang di Lembah Klang juga tersepit. Untung sahaja boleh mengajar anak di sekolah seperti Mak Anjang saya dulu. Jadi, jika orang pelajaran, atau pendidikan angkat kening baca tulisan ini, saya mohon maaf. Saya cuma berharap saya boleh lakukan sesuatu untuk masa depan anak saya, tanpa perlu menghantar anak ke sekolah rendah yang yurannya setaraf yuran pengajian di IPTA (oh ye sebelum subsidi kerajaan jumlahnya)!

Saya jenguk keluar lagi. Kali ini di KLCC. Tiada tempat letak kereta dan ketuk dahi sendiri kerana beriya-iya memandu ke sana. Angan-angan mahu ke Aquaria, tapi silap hari. Terlalu ramai manusia dan terlalu cemburu masa. Duduk-duduk di Kinokuniya sambil melayan anak membaca. Pandang ke luar kaca dan memerhati pengisian kemerdekaan negara. Oh Pertandingan Bunga Api di Putrajaya... dan Mak sebut juga tentang Ekspo cintanya (Bunga) di Putrajaya juga. Konsert di Ikano Power Centre dan Jalur Gemilang terbesar merata-rata. Kereta Kancil dengan bendera kecil berceracakan di atas kenderaan, dan eh... Jalur Gemilang dah terlepas ikatannya pada hud kereta tidakkah mengundang kemalangan?

Saya keliru...

(Ada yang akan kata buat apa susah-susah keliru, buat sahajalah apa yang seronok dan bergaya dan mengikut aliran semasa).

Saya pula akan kata - kalau saya keliru... anak-anak saya pula bagaimana?


Saturday, 18 August 2007

Dari Mana Nak Ke Mana?

Ke mana saya hari ini?

Pagi: Menghantar ibu dan ayah long ke KLIA untuk menunaikan umrah.

T/hari: Makan nasi impit yang To' Ibu masak :) (Kata beg Dora...Yum yum yum yum yum... Delicious!)

Petang: Majlis Hi Tea Bersama Keluarga Syuhada Palestin oleh Persatuan Mawaddah Malaysia dan Aman Palestin. ( Menu: Bukan Pisang Goreng). Masih mahu makankah setelah menonton klip video dan tayangan multimedia itu?

Malam: Makan nasi lemak Mak :) dan menulis di sini.

Nanti tulis lagi.


* * * * *

"Kunjungilah Masjid Al-Aqsa dan bersolatlah di dalamnya. Sekiranya kamu tidak dapat mengunjunginya dan bersolat di dalamnya, maka hantarkanlah minyak untuk menyalakan lampu-lampunya." Hadith Rasulullah.

Ke atas kita, adalah lebih dari sekadar menghantarkan minyak untuk menyalakan lampu Masjidil Aqsa. Ke atas kita, bayaran ke atas harga nyawa, maruah, darah dan airmata saudara-saudara yang menjadikan tubuh badan mereka sebagai perisai Al-Aqsa.

* * * * *

Al-ardhu lana
Wal Qudsu lana
Allahu biquwwatihi ma'ana...