Thursday 31 May 2007

Bukan Cerita Buku


Cuti sekolah anak-anak tidak ke tadika. Itqan dengan tegas mahu tinggal di rumah nenek kerana sepupu baiknya juga berada di sana buat beberapa hari. Waktu saya kursus tempoh hari, Itqan tinggal di rumah nenek juga. Kemudian setelah saya habis kursus, hari pertama pulang sahaja dia sudah kelihatan sugul dan apabila ditanya rupanya dia sedang menangis. Katanya: Teringatkan sepupunya.

Sekarang giliran saya pula teringatkan Itqan. Tambahan pula saya sedang membaca buku " Love, Laughter and Parenting: The Precious Years from birth to 6 years old" oleh Steve dan Sharon Biddulph yang turut menulis " Secrets to Happy Childhood". Buku yang saya baca itu bukan berkisar tentang bagaimana menukar lampin, atau kesan sampingan imunisasi tetapi lebih kepada bagaimana menjadikan 6 tahun pertama kehidupan seorang kanak-kanak, suatu pengalaman yang berharga dan akan diingati oleh ibubapa juga.

Itqan lahir pada tahun 2001 pada musim gugur, hari Isnin sehari selepas hari ibu. Jika pernah membaca entri saya sebelum ini, ternyata musim gugur adalah musim yang sangat saya sukai dan mengasyikkan. Secara ringkas saya akan ceritakan detik-detik proses kelahiran Itqan. Malam sebelumnya kami berusrah di rumah sahabat saya. Saya masih ingat yang dia menyuruh saya makan lebih banyak daripada selalu kerana katanya nanti kalau dah berpantang, lambat lagi nak merasa masakannya. Dia masak mi goreng dan ternyata dia memang pandai memasak. Lalu, saya memang makan banyak malam itu. Pulang ke rumah juga sudah agak lewat, kira-kira jam 10 malam. Saya membayangkan yang saya harus bangun awal keesokan harinya kerana saya mempunyai kelas tutorial subjek Neonatalogi (kajian bayi baru lahir) pada jam 6.30 pagi di hospital.

Jam 1.00 pagi tiba-tiba saya berasa sakit perut yang amat sangat. Sangka saya kerana terlalu banyak makan mi goreng, tetapi lain pula rasanya kerana disertai dengan kontraksi yang sangat kuat. Saya pula serba salah mahu mengejutkan MOH kerana dia kepenatan setelah semalaman (Sabtu) sebelumnya bekerja. Saya gagahkan berjalan dan menelefon pihak hospital tempat saya bercadang untuk bersalin. Apabila ditanya berapakah kekerapan sakit saya, saya beritahu sudah 1 kali setiap 10 minit, sejak dari awal saya merasa sakit. Lalu, jururawat itu menasihatkan saya segera ke hospital. Peralatan dan pakaian telah pun saya sediakan beberapa minggu sebelumnya walaupun saya baru masuk 38 minggu pada ketika itu. Saya kejutkan MOH dan beritahu mungkin sudah masa untuk saya bersalin. Hendak dijadikan cerita air panas pula bermasalah, maka saya terpaksa bersiap-siap dengan suhu yang sejuk.

Sampai di hospital sakit saya semakin kuat dan menjadi lebih kerap. Apabila diperiksa, saya sudah pun memasuki fasa kedua kelahiran. Saya ditolak masuk dengan kerusi roda ke dalam salah satu bilik yang masih sedikit basah kerana baru dicuci. " Memang banyak kelahiran malam tadi," kata bidan saya memberitahu. Saya memang memilih bidan dan bukannya doktor kerana mahukan pembantu wanita. Saya diminta memilih sama ada mahu berbaring di katil atau duduk sahaja. Saya pilih duduk kerana saya tahu jika saya berbaring, proses itu akan menjadi lebih lambat. Saya gagahkan juga, sambil di mulut tidak putus-putus membaca apa sahaja ayat al-Quran yang terlintas. MOH setia menemani.

Kira-kira jam 4 pagi saya sudah tidak dapat duduk dengan baik dan mula berbaring. Waktu itu saya beritahu bidan yang saya terasa hendak menolak keluar bayi itu. Bidan memberitahu, saya boleh mencubanya. Dia bertanya sama ada saya mahu menggunakan apa-apa ubat penahan sakit tetapi saya sekadar menggeleng dan menekup muka saya dengan bantal untuk mencari keselesaan. Bidan meredupkan sedikit kecerahan lampu di bilik saya. Saya cuba menolak sedikit-sedikit setiap kali sakit dan kontraksi datang. Lalu tiba-tiba, saya terasa kepala bayi telah keluar sedangkan bidan masih belum sempat membuka set kelahiran untuk saya. MOH disuruh menekan butang kecemasan dan dengan serta merta seluruh kakitangan hospital telah datang ke bilik saya. Akhirnya, bidan menyambut Itqan dengan mudah sekali dan MOH telah memotong tali pusatnya. Kami ditinggalkan sendirian sambil Itqan dibacakan azan. Sejurus itu juga Itqan telah boleh menyusu.

Itqan disahkan menghadapi suhu badan yang rendah (hipotermia). Itqan perlu tidur di dalam inkubator sehingga suhunya stabil. Saya juga perlu kerap menyusukannya supaya Itqan kembali normal. Saya yakin Itqan akan menjadi lebih baik keadaannya.

Memandangkan saya bersalin di hospital tempat saya belajar, maka tidak putus-putus saya menerima kunjungan daripada teman sekuliah dan teman dari Malaysia. Saya pula perlu menjaga kesihatan sebaiknya kerana 2 minggu sahaja cuti yang diberikan kepada saya. Selepas itu saya perlu datang ke kelas seperti biasa.

Oh ye, saya mahu telefon Itqan dan bertanya khabar dia di rumah nenek. Walaupun dia sudah berusia 6 tahun, saya masih dapat mengingati detik kelahirannya. Sememangnya detik menjadi seorang ibu adalah sesuatu yang sukar digambarkan. Segala kesakitan lenyap selepas melihat bayi dalam dakapan dan disertai pula dengan kecintaan yang mencurah.

(Gambar menunjukkan Adelaide Women's and Children's Hospital tempat Itqan dilahirkan.)

Monday 21 May 2007

Kursus dan Buku Yang Sempat Diteroka

Salam hormat.

Alhamdulillah saya telah kembali dari kursus di suatu tempat di lereng bukit. Alhamdulillah kerana Tuhan beri saya kesempatan untuk menghabiskan dua buah buku tipis dengan judul " Impian Palestin" dan "Pudarnya Pesona Cleopatra". Kedua-dua buah buku ini saya beli dalam perjalanan ke tempat kursus di Nile Book Store, KL Sentral.

Buku Impian Palestin berkisar tentang beberapa watak sahabat yang berusaha untuk terus hidup dalam situasi peperangan. Nama-nama seperti Ibrahim, Nidhal, Ahmad, Reham dan Jihad merupakan watak-watak utama sedang nama-nama lain seperti Sara, Rami dan Muhammad adalah watak sampingan yang turut disebut dalam cerita ini. Apabila membaca karya terjemahan sebegini, dengan lenggok bahasa dan jalan cerita budaya lain bukanlah mudah. Walaubagaimanapun, saya tetap berusaha untuk mengetahui penghujungnya kerana saya pasti, kisah sebegini adalah satu antara jutaan kisah-kisah kehidupan dalam kancah peperangan yang perlu diceritakan pada orang lain dan sebagai satu ajakan untuk masyarakat luar (yang aman) supaya memahami kegetiran anak-anak yang berusia belasan tahun berusaha untuk kekal hidup seterusnya memberi semangat kepada orang lain untuk terus hidup.

Buku ini ditulis oleh seorang remaja perempuan bernama Randa Ghazy warganegara Itali, berketurunan Mesir yang mendapat ilham menulis selepas menyaksikan pembunuhan seorang kanak-kanak Palestin oleh askar Israel yang ditonton di kaca televisyen. Rentetan peristiwa yang menyayat hati itu, Randa telah menulis cerpen berkaitan peristiwa itu sekaligus memenangi sebuah pertandingan menulis di negaranya. Cerpen itu kemudiannya disambung menjadi sebuah novel. Olahan tulisan beliau membayangkan keupayaannya memahami konflik sebenar di Palestin dan berjaya menarik saya untuk ikut sama membayangkan kesengsaraan yang dihadapi oleh saudara-saudara di Palestin. Yang paling mengesankan adalah apabila watak-watak di dalam cerita ini seringkali menyangka yang dunia sebenarnya tidak pernah peduli akan kesengsaraan mereka kerana sehingga kini, kemerdekaan mereka seolah-olah tidak akan pernah terjadi dan tangisan mereka seringkali dipandang sepi.

Bagi yang berupaya menjiwai, karya yang sarat dengan cerita kesedihan dan tangisan, silalah membaca buku ini. Bagi yang tidak gemarkan cerita berunsur kekerasan dan kepiluan seperti ini juga mesti membacanya kerana dengan cara ini kita akan dapat memahami dengan jelas perjuangan penduduk Palestin yang menderita di negara sendiri. Berhentilah menjadi manusia yang menafikan kemelut dunia mereka. Baca dan sikapi situasi mereka dengan sebaiknya.




* * * * *


Buku kedua yang sempat saya baca ialah salah satu antara karya Kang Abik dan merupakan antara karya terawal yang dihasilkan sebelum Ayat-ayat Cinta. Buku yang saya beli itu adalah hasil terjemahan ke Bahasa Malaysia yang merupakan cetakan pertama tahun 2007. Di dalam buku itu, terdapat 2 buah kisah iaitu Pudarnya Pesona Cleopatra dan Setitis Embun Cinta Niyala.
Tentang Pudarnya Pesona Cleopatra: Andaikata anda pernah membaca AAC, mungkin terfikir apakah tiada kisah cinta yang tidak dipinta atau kasih yang bertepuk sebelah tangan? Kang Abik justeru telah menulis tentangnya sebelum kisah yang berkesudahan indah seperti AAC. Di dalam PPC diceritakan tentang seorang pemuda Indonesia yang telah dijodohkan dengan seorang gadis bernama Raihana oleh ibunya. Beliau menerima dengan terpaksa dan menghadapi kesukaran menerima isterinya. Kisah dilanjutkan dengan perbuatan-perbuatannya terhadap isterinya yang akhirnya mengundang kekesalan dalam diri.

Pelajaran ringkas yang saya dapati daripada kisah ini adalah menghargai apa yang kita ada lebih daripada menginginkan apa yang kita tidak punya. Selain itu, seorang lulusan pengajian agama pun jika tidak dituntun dengan cahaya kebenaran sukar untuk melihat dengan mata hati sama seperti manusia lain. Seringkali kita akan ditegur oleh Tuhan atas sikap keterlaluan kita dengan perantaraan orang lain, baik dalam bentuk pengalaman ataupun nasihat. Oleh itu, apabila kita mendengar atau membaca cerita orang lain, bererti ada nasihat dan iktibar untuk kita dan bukannya dibaca dengan pandangan kosong semata-mata.

Kisah kedua iaitu Setitis Embun Cinta Niyala pula merupakan kisah ringkas seorang bakal doktor bernama Niyala yang mengalami hari-hari getir kerana terpaksa menerima lamaran seorang pemuda kampungnya yang bersifat liar kerana hutang piutang ayah beliau menyekolahkannya sehingga ke peringkat universiti. Kisah yang agak sinonim dengan masyarakat Malaysia kerana saya pernah juga terbaca cerita sebegini di dalam novel atau surat khabar, yang kadang-kadang mengakibatkan penyesalan seumur hidup. Bagi Niyala, keputusan ayahnya seolah-olah berupaya menamatkan riwayat hidupnya. Namun beliau tetap berusaha berdoa agar Tuhan memberikannya jalan keluar. Kisah tamat dengan perkahwinan Niyala. Siapa akhirnya suami Niyala adalah untuk kita cari dengan membaca SECN.

Kedua-dua cerita mungkin bersifat biasa sahaja (tiada yang fenomenal) bagi yang pernah membaca karya-karya Kang Abik. Bagi saya, kebolehan beliau mempelbagaikan penulisan di dalam tema yang sama iaitu cinta adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Pada akhirnya cinta Tuhan itu yang kekal abadi.

Monday 14 May 2007

Antara Cerpen dan Puisi



Saya baru selesai membaca "Kalau Kita Menjadi Kayu" yang mengundang pertanyaan daripada Itqan " Macam mana orang boleh jadi kayu Ummi?". Ia merupakan himpunan cerpen, puisi dan artikel sastera yang telah disenarai pendek sebagai penerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - ExxonMobil 2005 .

Di dalam buku ini termuat 10 karya cerpen, 10 puisi dan 3 artikel sastera. Cerpen yang paling saya suka ialah Hikayat Naga Gunung Cimayu hasil Ghazali Lateh. Puisi pula saya tersentuh dengan Al-Andalus Menangis karya pena Fahd Razy.

Kepada yang ingin baca tetapi belum mempunyainya, boleh dapatkan daripada Ujana Ilmu kerana saya juga mendapatkannya dari Puan Nisah Haron.

Selamat Membaca.

Hari Ibu


Semalam Hari Ibu. Selain melayan anak-anak yang tidak berapa sihat, saya berbalasan pesanan ringkas yang tidak putus-putus seputar tema yang sama. Ibu pula pagi-pagi lagi sudah mendoakan anak-anaknya yang sudah bergelar ibu untuk menjadi ibu mithali.

"Jom beli bunga untuk ibu?" Mesej ringkas untuk Pak Uda.
" Minta tolong Mak Teh" jawab Pak Uda.

Lalu Mak Teh berkenan menyempurnakan hajat adik-beradiknya kerana beliau tinggal paling hampir dengan ibu. Sejambak bunga kekwa pelbagai warna, tanda ingatan buat ibunda tercinta.


* * * * *


Kalau ditanya apakah tabiat ibu yang paling kuat dalam diri saya, jawapannya ialah membaca. Jadi saya memang sangat berterima kasih pada ibu kerana mendidik saya untuk rajin membaca. Buku-buku kami berpusing keliling antara adik beradik. Selalunya ibu yang paling sabar menanti kalau kami berebut mahu membaca dahulu baik novel, majalah atau buku-buku ilmiah lainnya.


Apa tabiat ibu anda yang menjadi ikutan anda?

Hari Lahir - Keenam


Mohon doa buat Itqan untuk hari lahirnya yang keenam.

Pagi ini jamu kek gambar badut untuk teman-teman tadikanya, seumpama gambar hiasan di atas. Ummi bawa kamera tetapi tertinggal dalam kereta, D'uh!


Thursday 10 May 2007

Benarkah?


Saya sudah lama mahu menulis sesuatu tentang buku Surat-surat Perempuan Johor karya penulis terkenal Faisal Tehrani yang saya sudahi minggu lalu sebelum memulai Ketika Cinta Bertasbih. Buku itu saya dapatkan semasa Seminar Pencinta Buku di Perpustakaan Shah Alam daripada Puan Nisah Haron.

Saya membeli buku itu kerana tertarik dengan tajuk dan ulasan di belakangnya. Buku yang digarap berdasarkan kisah benar dan FT pula mencari informasi sehingga ke Turki khabarnya. Buku yang memenangi antara hadiah sempena Sayembara Menulis Novel kisah sejarah Johor oleh Yayasan Warisan Johor (kalau tidak silap saya). Sudah lama saya tidak membuka karya bukan fiksyen, maka novel ini saya rasa mungkin dekat dengan non-fiksyen walaupun masih merupakan karya fiksyen.

Apabila saya membaca buku ini, persoalan yang timbul di dalam benak saya adalah " Benarkah?". Benarkah pada zaman kehebatan kerajaan Johor yang merupakan kerajaan terakhir yang jatuh ke tangan penjajah, negeri ini mempunyai hubungan rapat dengan khilafah Uthmaniyyah? Saya telusuri maklumat di dalamnya dengan saksama terutamanya berkaitan dengan rujukan-rujukan yang diambil bagi memperkuatkan fakta itu. Yang menarik, pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar (Bapa pemodenan Johor) dan kemudiannya Sultan Ibrahim, Johor dikatakan mengamalkan undang-undang syariah Islam yang dibukukan di dalam Majalah Ahkam Johor (sama seperti Majalah Ahkam yang dikeluarkan oleh Khilafah Uthmaniyyah).
Kesimpulan daripada pembacaan saya ini ialah saya perlu mencari lebih banyak pengetahuan tentang fakta-fakta yang diketengahkan di dalam buku tersebut. Kalau dapat, saya mahu lihat sendiri Majalah Ahkam Johor itu.

Saya suka bahasa lama di dalam warkah-warkah yang tertulis di dalam novel ini. Saya yakin ianya hampir sama dengan tulisan bahasa orang lama. Paling menarik, bunga bahasa dan santun perkataan-perkataannya, berlapik dan berlapis tetapi tidak mengubah sedikit pun maksud jika diteliti. Ia membuatkan saya faham, bahawa untuk memperkatakan sesuatu dalam bahasa yang sopan tidaklah sukar, dan tidak juga berbelit-belit. Terpulang kepada kita, sama ada mahu mengekalkan kehalusan lenggok bahasa itu, atau lebih berbangga dengan cara percakapan kita hari ini yang bercampur aduk dan tidak sedikit pula berbunyi sumbang.

Bagi yang sukakan novel berbentuk sejarah, bagus mencuba baca novel ini. Sekurang-kurangnya, ia boleh menjadi pencetus keinginan memperdalam pengetahuan tentang sejarah bangsa sendiri dan kesannya kepada hidup kita hari ini.

Tuesday 8 May 2007

Sudah Baca Ketika Cinta Bertasbih?


Lupa mahu coret. Hujung minggu lalu, kan saya berkursus. Lalu, pesan pada x-ibnu 'aqil menjadi pengasuh untuk dua hari. Dengan gembira ria, adik saya datang tetapi sebelum itu mahu singgah di Pesta Buku dulu.

Saya juga lupa tulis. Hari Sabtu sebelum ke Kuantan saya dan keluarga ke Pesta Buku. Paling suka dapat bertemu Zaharah. Paling tak suka saat mahu bergaduh dengan seorang penjual buku yang tidak dapat menerima hakikat yang kami tidak mahu beli buku daripada mereka. Mentang-mentang dia nampak saya belikan VCD Raihan Rangers lalu dengan mudah membuat andaian anak-anak saya suka menonton VCD (80% pelajaran set yang dijualnya adalah dalam bentuk VCD) sedangkan di rumah pemain DVD itu pun sudah setahun tidak dipasang. VCD RR itu pun buat anak-anak menonton di rumah mak. Saya kira penjual buku itu sangat desperate mahukan pelanggan. Silap besarnya kerana kami ke sana mahu membeli buku dan mengajar anak-anak sukakan buku. Hanya kerana VCD yang satu, keluarga saya dicop suka menonton VCD. Saya tinggalkan booth itu dengan rasa simpati pada penjualnya. Simpati kerana menggunakan teknik pemasaran yang salah. Tetapi saya tetap berharap ada yang rela membeli.

Sebelum keluar salah satu dewan ada seorang gadis menghulur pamphlet kepada saya. Tentang judul buku di Fajar Ilmu Baru. Saya fikir ada boothnya di situ, tetapi sayangnya tiada.

Apabila saya dengar adik mahu ke KL, saya memesan buku Ketika Cinta Bertasbih karya Kang Abik. Penulis Ayat-Ayat Cinta. Adik kata kakak penjaga toko buku itu pun sedang membacanya. Cuma kakak itu hairan mengapa adik saya tidak membeli buku-buku lain yang telah diterbitkan lama sebelum buku KCB itu seperti Pudarnya Pesona Cleopatra (2004), Di Atas Sajadah Cinta(2004) Ketika Cinta Berbuah Surga (2005) dan Dalam Mihrab Cinta (2007).

Di tangan saya adalah buku Episod 1 yang sudah merupakan cetakan ke -4 bertarikh Mac 2007. Saya telah habiskannya dalam masa satu hari sahaja. Ternanti-nanti episod ke-2. Sebagai ganti saya akan cari buku-buku Kang Abik yang lainnya di FIB.

Tentang buku ini:

Pada saya, ia sebuah cerita yang lebih dekat dengan realiti namun tetap terisi dengan aksi dan suspensnya. Bayangan kota Iskandariah yang menjadi latar pada awal cerita bagai terbayang di hadapan mata. Cinta yang bertasbih pada ombak, pada laut, pada langit, pada awan yang digambarkan tidak putus-putus melantunkan zikir. Cinta sekalian banyak manusia (karekter)dengan keadaan yang berbeza-beza sehingga hampir-hampir sahaja hero cerita iaitu Abdullah Khairul Azzam aka Ir. Azzam tenggelam di tengah-tengah persoalan cinta dan hidup orang lain. Bahagian yang membuat perasaan remuk redam adalah tatkala cinta dikatakan tidak akan pernah menzalimi. Maka, natijahnya adalah Cinta Hakiki. Juga menarik perhatian saya tentang keusahawanan hero cerita dan pengorbanannya terhadap keluarga yang jauh. Tidak lupa segala bentuk makanan dari pelbagai daerah Indonesia yang disebutkan di dalam buku ini.

Saya membaca novel ini yang masih dalam bahasa asli Indonesia. Ada sebahagian perkataan yang tidak saya fahami terpaksa saya buat-buat faham. Kepada yang boleh berbahasa arab, pembacaannya mungkin lebih mudah kerana ada sebahagian perkataannya tidak diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia.

Secara keseluruhan, buku ini saya rekomen untuk dibaca. Kalau tidak begitu faham komentar saya tentang buku ini, elok novel dibaca sendiri kerana saya tidak mahu menghampakan mereka yang tidak mahu tahu tentang hujung pangkal cerita.

Minggu Yang Singkat


Salam Takzim.

Cuti hujung minggu yang panjang tempoh hari kami sekeluarga (baca: keluarga besar) keluar kota dan keluar kampung. Kami bertemu di Kuantan atau lebih tepat lagi di Pantai Balok. Dengan kekuatan rombongan seramai 15 orang yang dengan anggota termuda berumur 2 bulan.

Kami tiba di tempat penginapan jam 12 lebih lagi tetapi tidak diberi masuk. Alasannya kerana belum sempat mengemas bilik yang kami tempah. Di saat akhir adik saya diberitahu chalet yang disuruh simpankan di'renovate'. Sampai di sana ternyata bukannya chalet direnovasi tetapi telah diduduki oleh segerombolan pegawai kerajaan yang menjalankan operasi secara besar-besaran. Wah, menjalankan operasi perlu tinggal di rumah tumpangan?

Anak-anak sudah tidak sabar mahu mandi kolam. Lalu sehingga ke petang, mereka berendam walaupun sudah ramai sekali anak-anak di dalam kolam itu. Saya sempat jenguk pantai kerana mahu meninjau tempat BBQ. Rencananya , malam itu kami akan makan ayam yang To' Ibu marinade sambil menghirup angin pantai. Sebelum maghrib, To' Ayah sudah menyalakan arang sambil dijaga secara bergiliran. Malam yang indah kerana walaupun gelap, tiada nyamuk yang menggigit. Semua orang dapat makan dengan gembira.

Keesokan hari, anak-anak sibuk lagi mahu mandi di kolam. Ditambah dengan sepupu-sepapat mereka yang tidak kurang semangatnya. Selepas itu, kami ke Kemaman. Pusing-pusing baru kami tahu tempat yang mahu dituju rata-rata hanya dibuka selepas jam 2 petang. Kami makan tengahari paling simple sebab di warung itu tiada lauk sayur, semuanya protein belaka.

Pulang petang, ada yang melihat-lihat bandar Kuantan atau alternatifnya merehatkan badan. Sebelah malamnya, kami makan makanan laut di Tanjung Lumpur setelah beberapa kali membuat U-turn kerana salah jalan.

Esoknya, kami berkemas-kemas untuk pulang. Saya dan MOH serta To'Ibu berziarah ke rumah Ude (terima kasih menjamu kami sarapan dan membuat demo buku interaktif), manakala anak-anak bermain di kolam renang. Pulang dan check out jam 12 lebih tengahari, untuk berpisah. To' Ibu ada menyebut untuk ke Cameron Highlands pula selepas ini.

Perjalanan pulang, kami singgah di Temerloh, berziarah kawan sepengajian waktu di Adelaide yang bertugas di Hospital Temerloh. Walaupun post-call, masih ceria melayan kami sekeluarga. Kemudian singgah pula di rumah bapa saudara. Kami sampai semula di KL lebih kurang jam 8 malam. Walaupun meletihkan, melihat anak-anak yang paling gembira lagi pula esok nya masih ada satu hari berbaki untuk kami menghilangkan lelah perjalanan, membuatkan kami ok-ok sahaja.


* * * * *


Hari Jumaat Ust. Hasrizal datang mengisi undangan ceramah di pejabat saya dengan tajuk " Kecemerlangan Menerusi Perubahan Sikap". Terima kasih Daun Keladi Ustaz. Jangan serik ke mari lagi.


* * * *


Sabtu dan Ahad, kami menyertai Kursus Pendidikan Awal Islam di salah sebuah universiti terkemuka negara. Penceramah adalah Dr. Saedah Siraj dan Ust. Zahazan Mohamad. Terlalu banyak yang dipelajari di samping mengingatkan perkara-perkara yang lama sudah tidak dilakukan. Kerja rumah selepas kursus terlalu panjang hendak ditulis termasuk menyediakan jadual untuk anak-anak, mengadakan aktiviti yang pelbagai seperti menulis sendiri cerita untuk anak-anak, membuat kompilasi doa, mencuba-cuba bercerita di hadapan cermin untuk dipersembahkan pada anak-anak dan banyak lagi. Ust. Zahazan sempat berpesan-pesanan bahawa wanita sangat mudah masuk syurga jika melakukan semua tugasan dengan ikhlas dan supaya wanita bekerja seperti saya harus sabar dalam menangani kehidupan seharian dan mengamalkan Tasbih Fatimah selalu. Dr Saedah pula merumuskan, pendidikan awal sangat penting untuk mengelakkan Dendam Rohani yang boleh memberi implikasi berpanjangan pada anak sehingga mereka dewasa. Utama, bagi pasangan suami isteri bersepakat dan tidak bercanggah di hadapan anak-anak dalam cara mendidik. Kalau ada yang tidak berpuashati dengan cara pasangan, mesti diselesaikan di belakang anak-anak supaya anak-anak berasa ibubapa mereka hampir sempurna.


Sekian laporan saya :)